Pelajar Tahfiz Ittifaqiyyah, Allah menyayangi kalian

Berita
Typography

ZUN NUN, sungguh indah nama diberi. Menurut Fatimah, ibu kepada adik Zun Nun, nama itu diambilnya dari buku Sirah Nabi yang dibacanya ketika sedang mengandung Zun Nun. Zun Nun adalah anak kedua Fatimah yang juga merupakan salah seorang pelajar Tahfiz Ittifaqiyyah yang terselamat dari kebakaran lima bulan yang lalu.

Sabtu yang lalu, pada 25 Februari 2018, Skuad Prihatin Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia (LKK DMPM) sekali lagi meneruskan ziarah serta menyampaikan sumbangan orang ramai yang masih berbaki kepada mangsa dan waris mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Ittifaqiyah Dato Keramat.

Kira-kira pukul 10 pagi, kami bersama Timbalan Pengerusi LKK DMPM, Zurina Din sampai di rumah Fatimah di PPR Desa Rejang Kuala Lumpur. Kami disambut dengan ramah sekali oleh Fatimah. Kami dibawa ke ruang tamu dan duduk bersama Zun Nun yang sedang menikmati sarapannya.

Zun Nun kelihatan sihat semasa ziarah pagi itu, namun siapa tahu apa yang tersembunyi di hatinya berikutan tragedi kebakaran tersebut. Pada mulanya, Zun Nun keberatan untuk berkongsi cerita tentang hari kejadian, namun setelah beberapa ketika, dengan tenang dia mula menceritakan sedikit demi sedikit tentang keadaan yang dia sendiri alami semasa kejadian itu.

Zun Nun merupakan pelajar tingkatan tiga yang cedera terbakar di bahagian belakangnya. Dia juga antara pelajar yang telah berjaya menyelamatkan diri dengan menggelongsor melalui batang paip di tepi bangunan Pusat Tahfiz. Menurut Zun Nun, dia adalah orang yang terakhir turun pada ketika itu.

Bahagian belakang adik Zun Nun melecur teruk, sambil dia mengangkat bajunya dan menunjukkan pada kami keadaan bahagian belakangnya. Menurut ibunya, apa yang peliknya, baju Zun Nun tidak terbakar langsung pada hari kejadian. Tetapi badannya melecur hanya akibat bahang panas asap kebakaran.

Saya tergerak untuk bertanya pada Zun Nun kenapa tadi pada mulanya Zun Nun tidak mahu berkongsi cerita dan Zun Nun kata kalau boleh hendak lupakan semuanya. Dia hanya tersenyum kecil dan tunduk ke lantai.

Fatimah menjawab bagi pihak Zun Nun kata, Fatimah, dia masih belum dapat menerima kehilangan adiknya yang juga salah seorang syahid dalam kebakaran tersebut. As-Syahid Muhammad Nizamudin satu-satunya adiknya yang paling akrab dengannya.

Ke mana sahaja mereka pergi, mereka sentiasa bersama. As-Syahid Nizamudin merupakan seorang anak yang sangat baik, berakhlak dan taat kepada ibu bapa. Zun Nun dapat tahu bahawa adiknya sudah tiada selepas 5 hari dia terlantar di atas katil hospital.

Bermula dari hari pertama lagi dia sering bertanya tentang adiknya selepas kejadian itu. Tetapi, atas nasihat doktor sebaik-baiknya perkara itu dirahsiakan dahulu dari Zun Nun sehingga emosinya benar-benar stabil. Namun, hati seorang ibu tidak sampai hati melihat Zun Nun yang sering merindui adiknya dan setiap hari minta untuk berjumpa adiknya. Akhirnya Puan Fatimah memberitahu kepada Zun Nun tentang adiknya dengan penuh hikmah.

Zun Nun pada ketika itu, hanya mampu menerima berita itu dengan lelehan air mata. Semenjak itu, Zun Nun tidak dapat melelapkan matanya pada waktu malam. Bila ditanya ibunya kenapa tidak tidur? Jawapan Zun Nun sangat meluluhkan hati; Sebab Zun Nun seorang abang yang gagal ummi. Zun Nun gagal untuk selamatkan adik.

Disebabkan itu juga, Zun Nun hampir putus asa dan tidak mahu lagi ke sekolah. Katanya, dia tidak ada kawan rapat. Satu-satunya kawan rapatnya adalah adiknya as-Syahid Muhammad Nizamudin.

Mujur ada kakaknya yang juga pelajar tahfiz yang selalu memberi motivasi kepadanya. In shaa Allah Zun Nun akan mula semula ke sekolah tahfiz yang sama dengan kakaknya di Shah Alam bulan hadapan. Zun Nun kemudiannya masuk ke dalam dan meninggalkan kami di ruang tamu yang sedang khusyuk mendengar perkongsian dari ibunya.

Menurut Fatimah, tidak terungkap bagaimana perasaan beliau kehilangan anak bongsunya, as-Syahid adik Muhammad Nizamudin. Pada hari kejadian, dia dan suaminya bergegas ke tempat kejadian. Mereka hanya mampu melihat dari bawah bangunan, api yang sedang marak di tingkat tiga bangunan tersebut.

Pada ketika itu, matanya tidak beralih dan hanya memandang ke arah tingkap tempat anaknya tidur. Sambil di dalam hatinya tidak putus berdoa dan berharap akan nampak kelibat anaknya keluar dari bangunan tersebut.

Tidak mengapa kalau keluar dalam keadaan cedera asalkan anaknya masih hidup dan sempat melihat senyuman anaknya. Lama dia memandang ke arah tingkap yang berjeriji tersebut, tiba-tiba Allah makbulkan doanya.

Dia melihat Nizamudin sedang berdiri di tingkap di sebalik jeriji sambil melambai-lambai tangan ke arahnya. Terukir senyuman di wajah bersih Nizamudin sehingga menampakkan giginya yang putih dengan pakaian yang serba putih. Lambaian tersebut seolah-olah dia ingin menyatakan selamat tinggal kepada ibunya.

Beberapa saat kemudian, Nizamudin berlalu pergi sehingga hilang dari pandangan ibunya. Kemudian, suami Fatimah datang dan memberitahu Fatimah bahawa Nizamudin sudah tiada. Fatimah menafikan berita yang disampaikan suaminya kerana dia baru sahaja melihat adik Nizamudin berdiri di tingkap tersebut dalam keadaan baik sahaja.

Anak sulung Fatimah, Zun Nur yang juga merupakan pelajar tahfiz, sama seperti Zun Nun yang pada mulanya sukar menerima akan kehilangan adik mereka. Semangat belajar dan menghafaz kian pudar.

Mereka sangat merindui adik mereka. Melalui perkongsian Zun Nur pada ibunya; Satu malam, sedang Zun Nur menghafaz Quran, dia tertidur di atas rehal. Tidur yang hanya lima minit itu terasa sangat panjang kerana dia bermimpi bertemu adiknya as-Syahid Nizamudin.

Dia melihat adiknya diterbangkan di tempat yang tinggi sambil dia melambai-lambaikan tangannya pada kakaknya. Wajahnya sangat tenang dan bersih sambil tersenyum pada kakaknya.

Agak lama dia berborak-borak dan melepaskan kerinduan pada adiknya di tempat yang indah tersebut. Di akhir mimpi, adiknya ingin mencapai tangan kakaknya, namun kemudian Zun Nur terjaga dari tidur dalam keadaan tersenyum.

Pada ketika itulah, Zun Nur sedar bahawa itu merupakan hadiah yang paling istimewa dari Allah kerana menemukan dia dan mengubat kerinduannya pada adiknya. Mimpi tersebut ternyata memberi satu semangat baru kepada Zun Nur untuk meneruskan hafazannya dan akan terus memberi motivasi kepada adiknya Zun Nun.

Fatimah juga sering berdoa kepada Allah agar dikurniakan mimpi bertemu anak bongsunya, dan alhamdulillah, Puan Fatimah sudah beberapa kali mengalami mimpi indah bertemu anaknya di tempat yang sangat indah dalam masa lima bulan ini. Di akhir pertemuan itu, Puan Zurina selaku Timbalan Pengerusi LKK DMPM menyampaikan sumbangan kepada Puan Fatimah.

Terdahulu dari ziarah Zun Nun ini juga, LKK DMPM bersama Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh telah menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada beberapa keluarga adik-adik Tahfiz Ittifaqiyyah yang terlibat dalam kebakaran itu.
Mereka adalah:

1. Adik Muhammad Haqimie Hairul Izwan, 11 tahun di Keramat Hujung. Sumbangan disampaikan kepada ibunya Puan Norazlin Abd Aziz.

2. Adik Azkar Abiedi F. Zaska, 11 tahun dan Adik Azkar Dariemi F. Zaska, lapan tahun di Klang. Sumbangan disampaikan kepada ibu mereka Puan Emmi Farizah Aziz.

3. Adik Muhammad Aidil Aqmal Mohd Zamzuri, 10 tahun di Keramat Hujung. Sumbangan disampaikan kepada bapanya iaitu Sarjan Zamzuri. - HARAKAHDAILY 4/3/2018