20
Thu, Jun
39 Artikel Baru

MKK bertemu, sedia gerak peranan al-Malak

Berita
Typography
GURUN: Majlis Tindakan Dun (MTD) Gurun telah menganjurkan majlis pertemuan semula (reunion) khas bekas Pengerusi dan Setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK) yang diadakan di MTD Gurun, Batu 3 Jening, di sini kelmarin.
 
Inisiatif majlis tersebut diadakan sebagai mengenang jasa-jasa mereka yang pernah berkhidmat dengan cemerlang semasa PAS  memerintah Kedah dahulu. 
 
Pengarah Pilihan Raya Dun Gurun, Muzaini Azizan dalam ucapan mengakui pengorbanan MKK selama sepenggal bersama Kerajaan PAS, malah kewujudan organisasi itu pernah mendapat pujian dari Pejabat-pajabat Daerah.
 
Menurut bekas Pegawai Khas Menteri Besar Kedah itu, pengiktirafan tersebut kerana MKK begitu istiqamah dengan tugas dan tidak mengambil peluang untuk kepentingan peribadi dari jawatan dijawat. 
 
Majlis turut diserikan lagi dengan taujihat yang diberikan oleh Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Jerai, Ustaz Mohd Azam Abd Samat yang juga Adun Sungai Limau.
 
Beliau menyifatkan MKK sebagai al-Malak yang menjadi pemudah cara dan penyambung lidah masyarakat di mana mengharapkan peranan sebagai daie diteruskan.
 
Antaranya ujar beliau adalah dengan menerangkan kepada masyarakat peranan PAS yang telah melangkah terkehadapan berbanding parti-parti lain seperti mengemukakan Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera. 
 
"Dalam Dokumen Hijau PAS mempunyai jalan keluar untuk mengatasi masalah GST yang membebankan rakyat. Mengatasi masalah kos harga rumah yang meningkat. Masalah pengangguran, pendidikan dan sosial.
 
"Ini perlu diterangkan kepada masyarakat. 
Dalam memartabatkan Mahkamah Syariah, PAS berharap semua orang Islam sepatutnya sekata agar Mahkamah Syariah seiring dengan mahkamah-mahkamah lain di Malaysia," jelasnya.
 
Peringatnya juga, sebagai individu yang pernah menjadi wakil parti, MKK tidak perlu melayan fitnah-fitnah yang dilemparkan kepada PAS.