14
Mon, Oct
10 Artikel Baru

PAS mahu selamatkan Malaysia - Presiden PAS

Nasional
Typography
KUALA TERENGGANU: PAS mahu selamatkan negara ini dengan memperkenalkan kepada rakyat Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) agar tidak berlaku peperangan dan pergaduhan.
 
Presidennya, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, dalam berpolitik dibenarkan berbeza pendapat tetapi tidak boleh berperang dan bergaduh.
 
Justeru, katanya melalui BPMS yang diperkenalkan itu boleh menghalang dari menimbungkan pergaduhan di kalangan rakyat.
 
"Hari ini, PAS hendak perkenalkan kepada rakyat Budaya Politik Matang Sejahtera. Politik kita boleh berbalah, berkelahi tetapi tidak boleh berperang dan tak boleh bergaduh. 
 
"Beza pendapat boleh tetapi bergaduh tidak boleh dan kita (PAS) nak halang sebab-sebab yang boleh menimbulkan pergaduhan itu. 
 
"Islam sebenar mengajar pengikut-pengikutnya bagaimana kaum Cina, kaum India mereka boleh hidup di kampung-kampung Melayu. Boleh hidup berkedai satu keluarga Cina di kampung Melayu. 
 
"Di Kelantan, Terengganu, Kedah dan di Perlis. Ketika berlakunya huru-hara dalam peristiwa 13 Mei 1969. Terengganu tidak ada 13 Mei, di Kelantan tiada 13 Mei, Kedah tak ada 13 Mei. 
 
"Tetapi, huru-hara berlaku di Pulau Pinang, berlaku di Singapura bergaduh kaum. Tempat yang orang Islam sungguh-sungguh pegang dengan Islam, tak ada gaduh dan tak ada huru-hara," tegasnya. 
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Jamuan Sempena Tahun Baharu Cina 2018 di perkarangan Pejabat Penyelaras Parlimen PAS Kuala Terengganu, Jalan Banggol, di sini semalam. 
 
Hadir sama pada majlis itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato Hussain Awang dan seluruh kepimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Penyelaras Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, Ketua Muslimat dan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustazah Zarani Othman dan Ustaz Kamaruzzaman Abdullah serta Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kuala Terengganu, Jefri Chua.
 
Justeru, kata Dato Seri Abdul Hadi, pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 ini PAS berusaha menang untuk memerintah Terengganu semula dan Malaysia amnya.
 
"Kita (PAS) cuba di Kelantan, cuba di Terengganu, cuba di Kedah tetapi kita tidak kuasa yang lebih. Jika boleh, kita (PAS) hendak kuasai sampai ke kerajaan pusat. 
 
"Dalam pilihan raya ini (PRU14), PAS akan bertanding 130 kerusi Parlimen, kerana untuk memerintah negara kita (PAS) memerlukan 112 kerusi. Jika PAS boleh 112 kerusi Parlimen, PAS boleh memerintah negara. 
 
"Maka, kaum Cina, kita minta supaya memberi kepercayaan kepada PAS, bukan sahaja di Terengganu juga kita mahu peringkat Malaysia. 
 
"Kita (PAS) mahu menjadi sebuah parti yang kuat, parti yang gagah, yang boleh menghalang orang yang hendak buat huru-hara, buat kacau dalam negeri kita ini," jelasnya disambut dengan tepukan gemuruh warga Tionghua. 
 
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mengimbau kembali ketika pemerintahan PAS Terengganu tahun 1999-2004 lalu.
 
"PAS pernah memerintah (Terengganu) tahun 1999 dan saya dilantik menjadi Menteri Besar ketika itu. Banyak benda yang kita buat antaranya kita (PAS) hapus cukai pintu rumah kediaman. 
 
"Kita hapus cukai peniaga-peniaga kecil. Kita beri geran tanah kepada rakyat tidak kira kaum apa termasuk orang Cina, India, Melayu. 
 
"Di sana ada Kampung Baru Cina Bukit Berangan (Tepoh), ada Kampung Batu Lima, Dungun dan ada Kampung Air Putih, Kemaman. Mereka (orang Cina) dikurung oleh British dahulu. 
 
"Walaupun (negara) kita telah merdeka, kerajaan tidak beri mereka geran tanah sehinggalah kita memerintah, kita (PAS) beri geran tanah. Kita bantu sekolah-sekolah rakyat termasuk sekolah Cina, sekolah Tamil, kita tolong," ujarnya. 
 
Ini kerana, kata Dato' Seri Abdul Hadi, pendidikan merupakan hak semua manusia bagi menggunakan bahasa ibunda masing-masing.
 
Tambah beliau, meskipun berlaku perbezaan agama dan bangsa tetapi manusia semua dari satu keluarga asalnya Adam dan Hawa. 
 
Pada majlis itu, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi turut menerima serahan borang keahlian DHPP Kuala Terengganu seramai 60 ahli baharu kaum Cina serta mengagihkan Ang Pau kepada warga Tionghua.
 
Sebelum itu, ketibaan Presiden PAS pada majlis tersebut disambut dengan tarian Singa dari Kumpulan TRG Lion Dance Centre dan pembakaran mercun sebagai tanda penghormatan masyarakat Tionghua. -HARAKAHDAILY 23/2/2018