Tok Guru berjaya urus kemelut politik

Nasional
Typography
KOTA BHARU: Biarpun berlaku kemelut awal dalam kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah di Kelantan pada 1990, namun Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berjaya mengurusnya.
 
Polemik awal berlaku apabila Semangat 46 menuntut jawatan Timbalan Menteri Besar selepas Angkatan berjaya membentuk kerajaan pada Oktober 1990.
 
Pensyarah Sains Politik Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, PAS berjaya keluar daripada kemelut tersebut yang berlaku di awal pentadbiran Angkatan Perpaduan Ummah.
 
Katanya, Tok Guru Nik Abdul Aziz mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar II bagi melantik wakil Semangat 46 mengisi jawatan tersebut.
 
“Begitu juga tuntutan jawatan Exco oleh Semangat 46 selepas Berjasa gagal pada PRU 1995. Sebelum itu wakil Berjasa, Datuk Wan Hashim Wan Ahmad berada dalam barisan Exco kerajaan negeri.
 
“Namun selepas Berjasa gagal mempertahankan kerusi pada 1995, Semangat 46 pula mahu calon daripada parti itu dilantik bagi mengisi kuota
Berjasa,” katanya di sini semalam.
 
Menurutnya juga krisis agak menggemparkan negara berlaku apabila Tok Guru mengarah laluan masuk ke projek Empangan Hidro Elektrik Pergau
disekat selepas Kerajaan Pusat enggan membayar pampasan.
 
Katanya, kerajaan negeri menuntut pampasan sebanyak RM90 juta daripada projek tersebut.
 
“Pada awalnya Kerajaan Pusat enggan membayar pampasan. Namun selepas sekatan ke tapak projek dilakukan agensi kerajaan negeri menyebabkan Kerajaan Pusat terpaksa akur,” katanya. -HARAKAHDAILY 15/2/2018