Karnival Dakwah kikis persepsi negatif terhadap Islam

Berita
Typography

KUALA NERUS: Karnival Dakwah anjuran PAS Kawasan Kuala Nerus bertujuan mengikis persepsi negatif masyarakat khususnya orang non-Muslim terhadap salah faham mengenai Islam agama yang syumul diperjuangkan PAS.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Negeri Terengganu, Dr Alias Razak berkata, persepsi yang dibentuk sebegitu rupa hingga menyebabkan orang Islam menyerang agama sendiri, apatah lagi orang bukan Islam.

Oleh itu katanya, tanggungjawab sebagai orang Islam adalah supaya tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan persepsi negatif yang sengaja dibuat untuk menyerang PAS dan dalam masa sama Islam juga terkena tempiasnya.

"Kita nak beri kesedaran kepada seluruh pendokong PAS dan rakyat Malaysia di mana kita juga ada tanggungjawab yang kita laksanakan dengan teratur dan terancang sepanjang masa. Antaranya tanggungjawab dakwah kita mengajak manusia nak memperkenalkan Islam kepada golongan non-Muslim.

“Tanggungjawab ini mesti kita teruskan khususnya pada masa ini kita tengok ada golongan-golongan tertentu yang pada asalnya mereka dengki dengan kemajuan PAS dalam bidang politik. Mereka melihat orang Melayu dan orang Islam semakin ramai memberi sokongan kepada perjuangan kita ini,” ujar beliau.

Tambah Dr Alias lagi, tanpa sedar pihak yang menyerang PAS telah tersasar menyerang juga Islam dan mula melebarkan Islam sebagai suatu agama yang tidak bertoleransi, keras dan sebagainya.

Perkara itu tegasnya, adalah persepsi buruk dicipta musuh-musuh PAS baik daripada parti politik bukan Islam, mahupun dalam kalangan orang Islam sendiri bagi memberikan imej buruk.

“Oleh itu, PAS Kawasan Kuala Nerus mengambil satu pendekatan yang agak besar-besaran dalam satu program perjumpaan dengan masyarakat komuniti non-Muslim.

“Kita pergi ke kampung mereka, perumahan mereka untuk berjumpa dengan mereka dan kita panggil satu selebriti khas iaitu Dr Ann Wan Seng seorang yang dulunya tak Islam, kini dia masuk Islam.

"Beliau sendiri menjelaskan kepada komuniti ini khususnya apa itu Islam yang sebenarnya,” ujar beliau dalam ucapan pada program Karnival Dakwah Kuala Nerus di Padang Bola Buluh Gading, Teluk Pasu, di sini semalam.

Katanya lagi, masyarakat Islam hari ini melihat Islam tidak betul kerana mereka tengok perlakuan rasuah melibatkan ramai orang Islam, dengan tangkapan melibatkan kalangan orang Islam juga.

Kerana itu ujarnya, PAS berperanan menangani isu haramnya rasuah, juga lainnya seperti peminuman arak, penzinaan dan pergaulan bebas.

“Baru tidak timbul konflik dan tidak timbul salah faham antara agama. Kita juga mesti berubah dan ubah negara kita daripada terus diterajui oleh pemimpin yang mengamalkan amalan yang bercanggah dengan Islam.

“Ini tidak kita tengok pemimpin tipu duit rakyat, pemimpin juga rasuah, pemimpin juga buat perkara yang bercanggah dengan Islam. Ini memang menjauhkan mereka daripada Islam apatah lagi perjuangan PAS bawa,” kata Dr Alias. -HARAKAHDAILY 2/2/2018