Masuk pilihan raya dulu pun tumpang kita

Fikrah
Typography

JANGAN cemburu dengan keluangan masa yang mereka ada. Mereka tak ada kerja macam kita.

Mereka tak buat daftar pemilih sebab mereka yakin boleh menang hanya dengan plan A, B dan C.

Mereka tak perlu habiskan masa untuk perkukuhkan cawangan sebab memang mereka tak ada cawangan yang nak diuruskan.

Mereka tak perlu buat mesyuarat agung cawangan dan mesyuarat agung bahagian sebab mereka tak ada cukup korum nak buat mesyuarat.

Tak buat mesyuarat maknanya mereka tak perlu buang masa hantar laporan kepada ROS.

Mereka tak perlu atur program tarbiyah ahli sebab tarbiyah hanya kerja parti lebai. Mereka parti profesional dan progresif!

Mereka tak perlu buat program santuni ahli dan penyokong sebab ahli mereka hanya wujud di alam bunian.

Mereka tak perlu fikir macam mana nak susun program untuk hidupkan markas sebab mereka memang tak ada markas untuk dihidupkan.

Mereka tak perlu turun ke bawah berjumpa rakyat. Cukup sekadar buat kajian dengan panggilan telefon sahaja. Lepas itu keluarkan statement, sokongan kepada parti ini menurun berapa peratus, sokongan kepada parti itu naik berapa peratus.

Mereka tak perlu ramai jentera sebab seorang macai boleh jaga 20 akaun fb. Sudah cukup untuk memeriahkan alam maya dengan persepsi dan fitnah.

Mereka tak ada gerak kerja untuk buka markas peti undi dan bilik gerakan sebab mereka memang tak pernah buat kerja ini. Masuk pilihan raya dulu pun tumpang kita punya.

Maka sebab itulah kita tengok mereka banyak masa lapang. Kerja mereka dari pagi sampai ke pagi ialah merapu, mencipta persepsi dan memfitnah. Pergi himpunan salah, tak pergi pun salah kerana mereka mempunyai jiwa yang serba salah. – HARAKAHDAILY 23/12/2017