PRU14 tolak sekular pertahankan Islam

Nasional
Typography

SEKULARISMA adalah satu fahaman yang mahu memisahkan agama dari urusan negara. Kerajaan dan urusan negara tiada kaitan dengan agama. Agama sekadar amalan ritual yang merupakan urusan persendirian dan terhad pada premis rumah ibadat dan rumah sendiri tidak dibawa lebih dari itu.

Di Malaysia sebarang usaha untuk memperkasa dan memartabatkan Islam walau di kalangan para penganutnya yang merupakan majoriti penduduk dalam negara akan dilihat kontra dan bertentangan dengan fahaman ini.

Islam bagi kita adalah ad deen atau satu cara hidup. Ia sesuatu yang baik dan harus dihidupkan sebagai amalan dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat. Ia memberi keadilan buat semua hatta di kalangan yang bukan Ialam.

Namun bagi penganut fahaman sekular sebarang inisiatif ke arah menghidupkan Islam dilihat negatif dan mengancam hak dan kebebasan pihak lain.

PAS jelas istiqamah dalam menghidupkan Islam sebagai formula penyelesaian buat permasalahan ummah dan negara. Dan PAS berhadapan dengan beberapa kumpulan ini termasuk dari kalangan Muslim yang bersungguh mahu mewujudkan masyarakat Malaysia yang sekular.

DAP contohnya ke hadapan dalam membawa perjuangan sekularisma ini dan menjaja tokoh sekular Melayu umpama Zaid Ibrahim bagi menjual idea mereka.

Arahan terbaru Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan yang mahu mewajibkan solat berjemaah kepada para pelajar sekolah sebelum pulang ke rumah sebagai langkah memperkukuhkan ketahanan diri anak-anak ini adalah satu inisiatif yang murni dan wajar digalakkan malah lebih baik diwajibkan seluruh negara.

Tetapi bagi pendukung dan pengamal sekularisma usaha ini dicemuh.

Antara yang ke hadapan menentangnya adalah Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim yang melihat usaha ini bertentangan dengan semangat kebangsaan. Sekolah kebangsaan bukan sekolah agama dakwanya.

Setiausaha Sekretariat PH dari PKR Saifuddin Abdullah pula mendakwa jika perkara ini diteruskan kononnya ibu bapa pelajar bukan Islam akan membawa anak-anak mereka masuk sekolah-sekolah jenis kebangsaan kerana sekolah kebangsaan akan dilihat sebagai sekolah agama.

Demikianlah dangkal dan sempitnya fikiran puak-puak sekular ini. Malang sungguh buat umat Islam.

Ianya arahan terhadap pelajar-pelajar Islam sahaja. Mereka lupa Perlembagaan Persekutuan menjamin hak menganut dan mengamalkan agama masing-masing. Jika solat berjemaah itu sebahagian amalan Islam siapa mereka untuk menentang dan mengkritk.

Sekularisma sangat mudarat buat Islam serta masa depannya dan kita semua bertanggungjawab memastikan Islam sebagai agama Persekutuan terus didaulat dan dihormati.

Pilihan raya sudah semakin hampir. Jangan izinkan puak-puak sekular ini dipilih dan mendapat tempat.

Bersatulah umat Islam.Tolak sekular dan kembalilah kita semua pada Islam. - HARAKAHDAILY 3/12/2017