Kesatuan Ulama, Majlis Hukama dalam persaingan Qatar-UAE

Dunia
Typography

SEBELUM kemunculan Mohammed bin Salman, (MBS) seorang penggerak dasar luar yang berjaya, Syeikh Mohammed bin Zayed al-Nahyan (juga dikenali MBZ) telah terlebih dahulu membina dan menggerakkan dasar luar Emiriyah Arab Bersatu sehingga mencapai tahap yang dilihat pada hari ini.

Putera mahkota Abu Dhabi itu, yang juga timbalan ketua tertinggi tentera negaranya, telah memainkan peranan seperti yang dilakukan Mohammed bin Salman hari ini.

Malah dalam kerjasama Riyadh-Abu Dhabi, negara jauh lebih kecil itu lebih ke hadapan dalam beberapa hal, termasuk dalam mengukuhkan penguasaan di Mesir dan Yaman, terutama di bahagian selatan Yaman.

Emiriyah menubuhkan Majlis Hukama, sebagai satu instrumen dasar luar menyaingi Kesatuan Ulama Islam Sedunia di Doha, Qatar (yang juga digelar kesatuan ulama Ikhwan Muslimin).

Dua pertubuhan ini masing-masing menjadi instrumen “soft power” bagi kedua-dua kuasa Teluk terbabit.

Majlis Hukama dianggotai agamawan yang berpendirian anti-Ikhwan, terutama dari institusi pendidikan Islam ternama, al-Azhar di Mesir. Majlis ini kini diketuai oleh Dr Ahmad al-Tayeb.

Agamawan terkenal Syaikh Abdallah bin Bayyah meninggalkan Kesatuan Ulama dan kini menganggotai Majlis Hukama, tindakan yang dianggap satu kejayaan bagi Majlis Hukama.

Peranan-peranan seperti ini menjadikan Abu Dhabi sangat penting kepada agenda dasar luar yang digerakkan oleh Arab Saudi pada masa ini. (http://ulamasedunia.org)