15
Sun, Sep
29 Artikel Baru

Hospital: Penduduk Pendang 'mangli dikelentong'

Berita
Typography
PENDANG: Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Dr Mohd Hayati Othman, menyifatkan pengakuan Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dato' Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail bahawa Hospital Pendang bakal siap pada 2021, ibarat janji manis yang tidak tertunai.
 
Bekas Ahli Parlimen Pendang itu juga mengingatkan bahawa, pengakuan yang sama pernah diungkap sempena Sidang Parlimen pada tahun 2012, namun sehingga kini tidak menjadi kenyataan.
 
"Janji hendak mula didirikan pada tahun 2013, namun sehingga 2017, belum nampak bayang. Sama jugalah, dulu maklum akan buka tender pada September 2017 tapi sekarang tangguh pula ke November 2017," tempelak beliau.
 
Beliau juga mempertikaikan, andainya janji Timbalan Menteri juga tidak tertunai, tentulah tiada rasional janji yang dibuat oleh Exco kerajaan negeri dalam sidang dun Bajet Kedah 2018 baru-baru ini itu.
 
Justeru itu kata beliau, penduduk Pendang sudah 'mangli dikelentong' oleh pemimpin Umno-BN yang gemar menabur janji lebih-lebih lagi ketika PRU hampir tiba.
 
Pembinaan Hospital Pendang yang dianggap tidak ubah seperti projek mimpi telah tertangguh pembinaannya hampir 11 tahun lalu.
 
Janji kononnya akan didirikan pada tahun 2006 apabila peruntukannya diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-9, tidak kesampaian sehingga hari ini walaupun pernah ditegur oleh Al-Marhum Tunku Sultan Abdul Halim Muazzam Shah pada sidang dun penggal lalu.