PAS sambut baik, Zakir tidak langgar undang-undang

Berita
Typography

PAS menyambut baik pengesahan kerajaan, pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik tidak terlibat dalam sebarang pelanggaran undang-undang negara.

Ahli Parlimen Temerloh, Ustaz Nasrudin Hassan berkata, ia ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat, hari ini bahawa kerajaan Malaysia telah meneliti isu yang berbangkit berhubung dengan kedudukan Dr Zakir Naik.

Menurut Zahid, Zakir juga tiada sebarang kaitan dengan gerakan terrorisme dan pengubahan wang haram sebagaimana yang didakwa.

"Sehingga kini, tiada sebarang situasi yang boleh disabitkan beliau sebagai pengganas atau melanggar mana-mana peruntukan undang-undang negara," katanya.

Beliau berkata, Hak Permastautin Tetap (PR) yang dikeluarkan kerajaan kepada Zakir juga melalui syarat dan prosedur rapi yang ditetapkan.

"Pertikaian terhadap Dr Zakir Naik lebih kepada persepsi yang salah mengenai peribadi, ucapan dan aktiviti beliau, ujar Nasrudin kepada Harakahdaily.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu berkata, Timbalan Perdana Menteri telah memaklumkan kepada parlimen, pihak kementerian sentiasa memantau ucapan dan aktiviti beliau di dalam mahupun di luar negara.

Beliau berkata, sepanjang pengamatan PAS, Dr Zakir Naik sendiri menolak pemikiran terrorisme dalam ucapan atau kenyataan beliau dan menggalakkan perpaduan umah dan komitmen yang tinggi dengan kehidupan beragama. - HARAKAHDAILY 8/11/2017