26
Fri, Apr
17 Artikel Baru

WINS 2051 terbaik untuk rakyat Sabah

Nasional
Typography

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah merasakan bahawa Wawasan Induk Negara Sejahtera(WINS) yang dilancarkan oleh PAS sewaktu Himpunan Fastaqim 2.0 di Terengganu 30 September lepas amat sesuai menjadi teras kepada hala tuju pembangunan Malaysia khususnya di Sabah.

WINS mencadangkan satu model pembangunan yang berteraskan prinsip-prinsip Islam yang mempunyai semangat kesejagatan atau melangkaui sempadan kaum dan agama.

Jika diteliti, pada peringkat awal WINS 2051 menawarkan untuk menyelesaikan masalah-masalah kronik dalam masyarakat khususnya menyelesaikan masalah keperluan rakyat dan kemudian merancang untuk membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju bersama dengan kemajuan rakyat.

Dua (2) Dasar teras WINS 2051 adalah Sejahtera dan Berkebajikan. Sejahtera dengan membawa maksud mengamalkan konsep keadilan yang sebenar, toleransi serya keharmonian antara agama dan kaum.  Manakala Berkebajikan pula menumpu kepada konsep kerjasama terhadap semua institusi sama peringkat rakyat atau pemerintah. Berkebajikan ini juga dengan makna akan menggalas tanggungjawab memelihara dan memakmurkan Malaysia.

WINS 2051 merupakan satu harapan yang diletakkan oleh PAS untuk menyelamatkan negara dan seluruh rakyatnya daripada terus hanyut dengan pelbagai kepincangan.

PAS Sabah amat yakin dengan pandangan jauh yang dilakukan oleh PAS ini akan melahirkan sebuah negara yang adil dan saksama.

PAS Sabah amat kecewa dengan kerajaan yang ada sekarang. Pelbagai tangkapan dan dakwaan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan bahawa nilai kemanusiaan dan kasih sayang sejagat semakin terhakis. Situasi sekarang seolah-olah menjadikan kuasa di pelbagai peringkat semata-mata untuk mengumpul harta dan kekayaan.

Rakyat terus tersiksa dan terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang serta kekurangan kemudahan asas.

MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Sabah
03 November 2017 – HARAKAHDAILY 3/11/2017