Kerajaan bayar rakyat atau rakyat bantu kerajaan?

Nasional
Typography
KUALA LUMPUR : Rakyat harus cerdik dan jangan mudah terpedaya dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) kerana wang tersebut bukan daripada kerajaan tetapi hasil cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikumpulkan. 
 
Ahli Parlimen Rantau Panjang, YB Siti Zailah Mohd Yusof menegaskan, hasil GST yang dikenakan kepada setiap rakyat dikumpulkan dan wang itulah yang digunakan untuk memberi bantuan BRIM. 
 
Beliau memaklumkan, jumlah kutipan GST untuk tahun 2015 sebanyak RM27 bilion; tahun 2016 RM 41.2 bilion manakala tahun 2017 dalam anggaran RM 47 bilion.
 
"Duit kutipan cukai  GST itu yang dibelanjakan diantaranya untuk bayaran BRIM. Bayaran BR1M keseluruhan hanya RM8.4 bilion untuk 7 juta penerima sahaja," katanya. 
 
Tambah beliau, bayaran bantuan untuk pekebun kecil sebanyak RM10 bilion untuk 444 ribu orang penerima manakala penerima bantuan sara hidup untuk golongan nelayan berjumlah 55 ribu orang dengan bayaran setakat RM200 sebulan. 
 
Katanya, hanya RM132 juta atau RM1.32 bilion iaitu tidak sampai RM2 bilion untuk memberi bantuan kewangan kepada golongan nelayan. 
 
"Bayaran bantuan yang diberikan kepada pekebun kecil getah dan golongan nelayan hanya diberi ketika musim tengkujuh," katanya. 
 
 Beliau mempersoalkan bayaran yang sedikit untuk seorang nelayan dan pekebun kecil di saat rakyat sedang bertarung dengan kos sara hidup yang semakin tinggi dan harga barangan semakin mahal terutama ketika musim tengkujuh. 
 
"Ramai pekebun getah tidak dapat menoreh begitu juga nelayan tidak dapat turun ke laut. Sudah tentu rakyat amat mengharapkan bantuan untuk meringankan hidup mereka.
 
Beliau menegaskan, di masa yang sama rakyat terus terbeban dengan cukai GST sedangkan kutipan GST yang dikumpulkan itu melebihi RM40 bilion setahun.
 
Sehubungan itu katanya, rakyat perlu menyedari semua pemberian bantuan kewangan tersebut adalah dari poket rakyat iaitu melalui cukai yang dikutip. 
 
"Sebenarnya rakyat yang beri kepada kerajaan bukan kerajaan yang membantu rakyat. Kutipan GST itu ternyata ada lebihan jika ditolak daripada peruntukan BRIM dan bantuan sara hidup untuk pekebun kecil dan nelayan," tegasnya. 
 
Beliau mengingatkan seluruh rakyat dapat memberikan kesedaran di peti undi untuk menyokong PAS pada pilihan raya umum ke-14 nanti.