Dasar MBI diterima pelbagai kaum

Berita
Typography

KELANTAN berjaya mengubah dua perkara besar dalam pemikiran masyarakat dalam tempoh 27 tahun pentadbirannya.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata pertama Kelantan telah berjaya membuktikan golongan ulama mampu memerintah.

Kedua, dasar pentadbiran Kelantan Membangun Bersama Islam (MBI) berjaya diterima masyarakat pelbagai kaum di negeri itu.

"Alhamdulillah setakat ini tidak ada bantahan yang besar daripada masyarakat berkenaan.

"Bagi kita ini sebuah pencapaian besar dalam tempoh 27 tahun," katanya kepada media selepas program sambutan ulangtahun pentadbiran MBI ke-27 di Kota Darulnaim hari ini.

Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob menyampaikan ucap tama pada program tersebut. Hadir sama Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan.

Mohd Amar juga berkata, kepimpinan diasaskan almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berjaya membuktikan ulama mampu mentadbir.

Malah kata beliau ia mungkin lebih baik berbanding golongan bukan ulama.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat pula berkata, pertumbuhan ekonomi Kelantan mencapai tahap 4.8 peratus, melebihi pencapaian peringkat negara 4.2 peratus.

Katanya, berlaku lonjakan ekonomi tahun ini berbanding 3.5 peratus pada 2015.

“Kedudukan itu setanding Selangor yang juga mencatat lonjakan 4.8 peratus,” katanya. - HARAKAHDAILY 22/10/2017