Kongsi gelap: Ada unsur perlindungan?

Abdul Aziz Mustafa | .

KUALA LUMPUR: Kewujudan begitu banyak kumpulan kongsi gelap bukan sahaja mencetuskan rasa lebih tidak selamat di kalangan rakyat malah menguatkan kecurigaan kepada pihak polis, kata Naib Presiden PAS, Datuki Mahfuz Omar.

"Apa yang berlaku itu begitu membimbangkan rakyat dan ia jelas menunjukkan ada masalah di dalam pasukan polis sendiri," kata beliau.

Kementerian Dalam Negeri semalam mengumumkan nama 49 kongsi gelap yang antara lainnya terlibat dalam kegiatan mengedar dadah, peras ugut dan pergaduhan dengan kumpulan kongsi lain, melakukan huru-hara, pembunuhan termasuk dengan senjata api.

Mahfuz berkata, bila begitu banyak kumpulan kongsi gelap wujud sejak berpuluh-puluh tahun lalu, ia pasti ada unsur-unsur perlindungan.

"Bila ada unsur perlindungan, siapa yang melindungi? Ahli politik yang berkuasa? Polis?" beliau mempersoalkan.

Sebab itulah, katanya, semua itu menguatkan lagi rasa tidak percaya dan kecurigaan rakyat.

"Polis jangan melenting. Rasa percaya bukan boleh dipaksa-paksa.

"Bila wujud begitu banyak kumpulan kongsi gelap dan nampak jelas gagal dibanteras dengan munasabah sejak berpuluh-puluh tahun lalu, polis tidak boleh memaksa rasa percaya rakyat kepada mereka," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz yakin, perkara itu dapat diselesaikan jika kerajaan serius menstrukturkan semula organisasi polis sehingga tidak timbul lagi cerita pegawai polis dipelihara oleh kongsi gelap, ketua kongsi gelap boleh menentukan kenaikan pangkat pegawai polis dan pelbagai pendedahan negatif yang lain.

"Dengan pendedahan-pendehan sedemikian, yang sebahagian besarnya didedahkan oleh anggota-anggota polis sendiri, kerajaan dilihat amat bersalah oleh rakyat kerana keengganan mewujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC)," katanya.

Mahfuz juga kesal dengan sikap Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar terhadap laporan media yang mendedahkan ahli politik ternama menyokong kumpulan kongsi gelap.

Khalid menafikan laporan tersebut.

"Adakah sikap Khalid itu merupakan ulang tayang kes Kugan?" Mahfuz mempersoalkan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini memutuskan Khalid bertanggungjawab ke atas kematian A Kugan ketika berada dalam tahanan polis, kerana didera secara fizikal semasa soalsiasat polis.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk V. T. Singham mengatakan, Khalid yang pada ketika itu merupakan Ketua Polis Selangor, cuai untuk memastikan keselamatan tahanan dalam kes ini.

Share on Myspace