Perlantikan Mavani akan terus aniaya peneroka

| .

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak sepatutnya terus mengkhianati peneroka Felda dengan melantik orang yang dipertikai kelulusan dan kemampuannya menerajui Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Adakah ini sambungan dari apa yang dilihat rakyat sebagai siri-siri pemangsaan ke atas peneroka-peneroka Felda di bawah kerajaan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak)?" beliau mempersoalkan.

Malah, katanya, tokoh Umno, Tengku Razaleigh Hamzah sendiri pernah mengingatkan bahawa peneroka akhirnya akan hanya tinggal sehelai sepinggang sahaja.

"Rakyat juga tidak pernah lupa kemerosotan rizab tunai Felda di zaman Najib yang tinggal hanya RM1.35 bilion sahaja berbanding RM4.5 bilion dalam tahun 2001 dan tiada hutang.

"Sejak Najib mengambil alih penyeliaan Felda pada tahun 2005, bukan sahaja rizab tunai turun malah Felda berhutang pula sehingga RM6.5 bilion dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," kata Salahudin (gambar).

Sebab itulah, kata Salahuddin, pihaknya bimbang perlantikan orang yang yang dipertikai kelulusan dan kemampuannya menerajui FGV akan menambah parah lagi apa yang telah pun merosot dan tidak henti-henti dipersoalkan.

Baru-baru ini, seorang blogger Umno mendakwa Dr Mohd Emir Mavani Abdullah yang bakal dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FGV mempunyai kelulusan yang diragui.

Di dalam butir-butir diri Mavani yang disiarkan dalam laman web FGV, beliau dinyatakan mendapat PhD dari Warnborough University di United Kingdom.

Bagaimanapun, dalam tulisan terbaru di dalam blognya, bigdogdotcom.wordpress.com, blogger tersebut menyatakan, melalui cariannya, tidak wujud Warnborough University di United Kingdom.

Blogger tersebut yang memperkenalkan dirinya sebagai Biggum Dogmannsteinberg atau ringkasnya Big Dog berkata, yang wujud hanyalah Warnborough College di mana alamat ibu pejabatnya ialah di Kent.

"Apa yang menarik untuk diketahui ialah 'Warnborough College' atau 'Warnborough University' berada dalam senarai institusi pengajian tinggi yang tidak mendapat akreditasi," katanya.

Big Dog yang dianggap salah seorang blogger elit Umno yang dilaporkan rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Datuk Mukhriz Mahathir juga mendedahkan, ini bukanlah kali pertama seseorang yang mempunyai "kelayakan akademik yang diragui" dilantik memegang jawatan strategik di dalam organisasi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Sebelum ini kami telah membangkitkan mengenai Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim," kata beliau.

Di dalam butir-butir diri Abdul Azeez yang disiarkan dalam portal rasmi Lembaga Tabung Haji, beliau dinyatakan mendapat MBA dari Preston University di Amerika Syarikat.

Preston University juga berada dalam senarai institusi pengajian tinggi yang tidak mendapat akreditasi, kata Big Dog.

Mengulas lanjut, blogger tersebut berkata, Mavani  akan mengambil alih jawatan CEO dari Datuk Seri Sabri Ahmad yang berpengalaman luas dalam bidang perladangan pada 15 Julai akan datang.

"Laman web FGV tidak menyebut Mavani mempunyai sebarang pengalaman yang berkaitan perniagaan perladangan atau produk-produk hiliran dari bidang perladangan," kata Big Dog.

Menurut beliau lagi, Mavani dijangka akan menerajui "agenda transformasi" FGV.

"Malah telah dinyatakan bahawa beberapa 'konsultan' Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) seperti Muhammad Hudhaifa Ahmad, Farisan Mokhtar, Mohd Zaidi Sharif dan Syahrilazli Mahammad telah diarahkan untuk bertugas di pejabat CEO FGV serta merta.

"Dan mereka diberikan kuasa dan pakej ganjaran sebagai Pengurus Besar," katanya.

Big Dog menyatakan keraguannya bagaimanakah Mavani dan "young cikus" dari Pemandu itu akan memanfaatkan FGV memandang syarikat itu, bagi beliau, mempunyai prestasi yang "sangat baik" dalam suku pertama 2013 di bawah pengurusan mereka yang profesional di dalam bidang perladangan.

Share on Myspace