Calon Pakatan yakin tidak terjejas dengan ramai calon bebas

| .

(Calon-calon Pakatan di Parlimen Kapar)

 

KLANG: Calon-calon Pakatan Rakyat (PR) di Parlimen Kapar yakin kebanjiran ramai calon bebas di situ tidak akan menghalang kemaraan Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Pakatan dan Barisan Nasional (BN)  menyaksikan pertembungan enam penjuru bagi Parlimen Kapar melibatkan tiga dari Bebas, Berjasa, PKR dan BN.

Manakala kerusi Dun Sementa pula berlaku pertandingan tiga penjuru melibatkan calon PKR, Bebas dan BN.

Bagi kerusi Dun Meru, Selat Klang dan Sungai Pinang hanya menyaksikan pertandingan satu lawan satu iaitu PAS dan DAP yang menentang calon BN.

Temubual Harakahdaily dengan calon-calon yang mewakili Pakatan Rakyat mendapati pertanding yang melibatkan calon Bebas ini tidak menimbulkan sebarang masalah kepada mereka.

Menurut mereka, perpecahan undi itu pasti berlaku tetapi Pakatan Rakyat mempunyai pengundi yang sentiasa memyokong Pakatan Rakyat dan juga pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor di bawah pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim

Calon Dun Meru, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman (PAS) yang memberi nasihat agar kempen yang bermula hari tidak dicemari dengan provokasi ataupun serangan kepada peribadi calon parti lawan.

Malah jelasnya, setiap calon perlu membawa isu-isu nasional dan juga negeri dalam kempen mereka terutamanya kejayaan kerajaan negeri dalam membela rakyat di Selangor.

"Sebagai Pesuruhjaya PAS saya berharap kempen yang bermula hari ini tidak ada serangan kepada peribadi parti lawan.

"Perkara utama yang perlu kita bawa adalah berkaitan isu nasional dan juga kejayaan kerajaan negeri dalam membela nasib rakyat," jelas beliau ketika ditemui selepas pengumunan calon.

Menurut beliau, pertandingan enam penjuru bagi Parlimen Kapar tidak memberi apa-apa kesan kepada calon Pakatan Rakyat.

Malah katanya, ia dapat memberi peluang yang cerah untuk calon Pakatan Rakyat menang pada PRU13 nanti.

Semantara itu, bagi Dun Selat Kelang, Halimah Ali (PAS) yakin dengan kejayaan Pakatan Rakyat di Selangor sepanjang tempoh 5 tahun membuktikan Pakatan Rakyat berjaya memberi kebajikan kepada rakyat.

Namun jelasnya lagi, melihat kepada penambahan pengundi baru yang melebihi 500 ribu pengundi baru di daftarkan di Selangor dan lebih 20 peratus pengundi yang tidak dikenali akan turut mempengaruhi keputusan.

"Saya melihat peluang berada dalam keadaan seimbang (50-50) apabila lebih 20 peratus pengundi tidak kita kenali.

"Namun saya berkeyakinan rakyat dan penyokong Pakatan Rakyat akan akan membuat keputusan yang bijak dengan memilih Pakatan Rakyat demi masa depan negara dan juga Selangor," katanya.

Tambah beliau lagi, penglibatan calon Bebas ini hanya berlaku di Parlimen dan ia tidak menganggu keputusan kepada peringkat Dun.

Menurutnya lagi, walaupun ada kekeliruan dari segi mereka berkempen, ini sedikit sebanyak akan ada pecah undi bagi Melayu dan India tapi beliau pasti jika pengundi mendapat maklumat yang tepat mereka akan bersama Pakatan Rakyat.

Manakala Dun Sementa, Dr Daroyah Alwi (PKR) menjelaskan walaupun wujud tiga penjuru di kawasan yang dipetandingi olehnya tapi itu tidak mematahkan semangat beliau untuk memastikan kerusi tersebut menjadi milik PKR.

Beliau yakin dengan sokongan serta gerak kerja yang dilakukan sepanjang tempoh lima tahun sebelum ini dapat memberi keputusan terbaik kepada Pakatan Rakyat.

"Saya yakin PKR akan menang untuk Dun Sementa, tiga penjuru tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkempen serta memberi penjelasan kepada rakyat apa akan kita berikan kepada mereka.

"Walaupun ini pertama kali saya bertanding tetapi saya sudah bersedia sepenuhnya, fokus akan saya berikan kepada pengundi Melayu, bagi pengundi Cina dan India saya yakin dengan sokongan mereka yang sentiasa bersama kita," jelas beliau.

Bagi calon kerusi Parlimen Kapar, G Manivannan a/l Gowindasamy (PKR), pertandingan enam penjuru sesuatu yang tidak mengejutkan beliau.

Malah jelasnya, penyertaan calon Bebas memberi petanda yang baik dalam sistem demokrasi negara ini.

"Penyertaan calon Bebas bagi kawasan Parlimen merupakan petanda baik kepada sistem demokrasi negara, tetapi ia tidak memberi masalah kepada saya.

"Berapa ramai calon yang bertanding, kita di Parlimen Kapar memberi fokus kepada perjuangan yang dibawa Pakatan Rakyat untuk meneruskan perjuanan dengan mempertahankan Selangor dan tawan Putrajaya," kata beliau.

Kata beliau lagi, penglibatan calon Bebas pasti berlaku perpecahan undi, tetapi beliau memberi fokus kepada strategi yang telah dirancangkan.

"Fokus saya adalah untuk menyentuh 100 ribu tangan pengundi, di Parlimen Kapar kita 144,369 ribu pengundi dan sasaran saya paling kurang 100 ribu tangan untuk saya sentuh bagi membentuk satu hubungan antara saya dengan mereka," sambung beliau.

Walaupun pecahan peratusan kaum iaitu 51 peratus Melayu, 14 peratus India dan 35 peratus Cina, beliau merasakan peratus kaum tidak menjadi masalah kerana rakyat negara ini sudah melangkah ke suatu era baru iaitu melepasi konsep perkauman.

Manivannan yakin rakyat Parlimen Kapar akan memberi sokongan kepada beliau dan calon-calon Pakatan Rakyat di peringkat Dun.

Share on Myspace