Muhyiddin tidak faham struktur cukai kereta

Harakahdaily | .

 

KUALA LUMPUR: Kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa harga kereta akan turun apabila Perjanjian Perdagangan Bebas Asean (Afta) dilaksanakan sepenuhnya membayangkan beliau tidak memahami struktur cukai kereta yang dilaksanakan sendiri oleh BN.

 

Sekarang pun, kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, Afta sudah dilaksanakan apabila pembelian kereta-kereta yang dikilang di Asean tidak dikenakan sebarang cukai import.

 

Jelasnya, Afta dilaksanakan untuk menghapuskan halangan dagangan (trade barriers) dalam bentuk tarif import supaya barangan boleh bergerak bebas tanpa diskriminasi harga di dalam lingkungan pasaran besar Asean.

 

Beliau berkata, yang menyebabkan harga kereta naik melambung adalah cukai eksais dan cukai jualan yang dikenakan dari kadar minima 85% hingga ke 115% ke atas harga asal kereta.

 

“Cukai eksais dan cukai jualan inilah yang menjadikan harga jualan kereta bertambah satu kali ganda, bukannya cukai import kerana Afta telah pun menghapuskan cukai import ke atas kereta-kereta dari negara Asean,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Jelas rafizi lagi, setiap tahun, 90% dari kereta yang dijual di Malaysia dikilang di Malaysia atau negara-negara Asean.

 

Oleh yang demikian, katanya untuk menurunkan harga kereta, dasar percukaian negara perlu ditukar dengan menghapuskan cukai eksais ke atas kereta seperti yang dicadangkan oleh PKR.

 

Sebab itu, ujar beliau apabila Muhyiddin sendiri tidak memahami faktor yang meningkatkan harga kereta sekali ganda, ini menimbulkan keraguan sama ada Barisan Nasional betul-betul ikhlas dengan janjinya untuk menurunkan harga kereta.

 

Lebih membimbangkan, kata Rafizi kenyataan Muhyiddin yang mengaitkan penurunan harga kereta dengan pelaksanaan Afta membayangkan bahawa janji itu hanya satu gimik politik yang tidak akan dilaksanakan oleh Barisan Nasional sekiranya menang nanti.

 

Justeru, Rafizi menyeru supaya Muhyiddin memberi penjelasan sama ada beliau tidak faham tentang struktur percukaian negara dan tersilap membuat kenyataan apabila menyebut pelaksanaan Afta akan menurunkan harga kereta.

 

“Atau beliau tahu rancangan Barisan Nasional untuk mengaitkan janji menurunkan harga kereta dengan Afta tetapi bukan cukai eksais, sekaligus mengesahkan bahawa Barisan Nasional tidak ikhlas untuk melaksanakan penurunan harga kereta,” katanya lagi.

 

Sehubungan itu, beliau tidak akan memberi sebarang maklum balas terhadap kenyataan Muhyiddin bahawa Pakatan Rakyatlah yang menciplak Manifesto BN.

 

“Itu satu kenyataan bertaraf kebudak-budakan yang tidak selayaknya datang dari seorang bekas menteri kanan, maka ia tidak layak untuk diambil serius oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Share on Myspace