Biar berbeza agama, Arun tetap sayang keluarganya

Harakahdaily | .

KUALA LUMPUR: Perbezaan agama dan kepercayaan tidak menghalang hubungan silaturahim dan kasih sayang dalam sebuah keluarga.

Itulah yang ditunjukkan Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor Arun @ Harun Abdullah yang merupakan 'saudara baru' yang turut bertungkus lumus menjayakan perkahwinan anaknya yang beragama Hindu.

Arun memeluk Islam pada 2008 atas kesedaran dan pilihan dirinya. Beliau tidak pernah memutuskan hubungan keluarga walaupun bekas isteri dan anak-anaknya masih beragama Hindu.

Beliau juga merupakan antara orang terawal menyertai Kelab Penyokong PAS ketika kelab itu ditubuhkan yang kini dikenali sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Beliau juga pernah menyandang jawatan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Puchong.

Semalam, salah seorang anaknya melangsungkan perkahwinan bertempat di Taman Maluri, Cheras.

Beliau selaku bekas suami dan ayah, telah menunjukkan contoh yang baik kepada keluarga bahawa hubungan kekeluargaan mereka tidak pernah terpisah biarpun berbeza kepercayaan.

Turut hadir meraikan perkahwinan anak Arun termasuklah beberapa orang wakil Dewan Pemuda PAS.

Antara mereka termasuklah Pengarah Jabatan Undang-undang & Hak Asasi Manusia (Juham) Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi, Exco Adram Musa, Naib Yang Dipertua PAS Petaling Jaya Utara Abd Rahman Sadikin serta beberapa yang lain.

Share on Myspace