Bekas Pengarah P’raya BN Bachok sertai PAS

Aslani M | .

(Bekas Pengarah pilihan raya BN Bachok serah borang PAS kepada Husam)

 

 

BACHOK: Pengarah Pilihan Raya BN parlimen Bachok pada pilihan raya umum 2008, Zulkifli Zakaria malam tadi menyerah borang menyertai PAS.

 

Beliau menjejaki langkah bekas Ketua Pemuda Umno Bachok, Dr Zaiyadi Awang Noh. tampil ke pentas ceramah Pakatan Rakyat bagi mendedahkan kepincangan Umno dan kerajaan BN.

 

Zulkifli (gambar) yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Bachok dan calon BN di Dun Tawang pada 2004 meluahkan rasa kecewa terhadap Umno kerana mempersendakan agama.

 

“Banyak saya lihat kenyataan pemimpin Umno tidak serius terhadap agama. Dan paling saya tidak boleh terima apabila mereka mempersendakan hudud dan pemimpin MCA mempertikai larangan berjudi di Kelantan.

 

“Saat itu bermula kesedaran dalam diri saya. Bukan sekali-kali tuduhan pihak tertentu kononnya Haji Zul sekarang sudah tiada duit sebab itu menyertai PAS.

 

“Macam-macam tuduhan yang dilemparkan terhadap saya. Sebelum ini saya sudah tidak berminat dengan politik dan berhijrah menetap di Sabah negeri asal isteri saya.

 

“Namun kerana teruk sangat Umno memperlekehkan agama saya muncul kembali di pentas politik,” katanya pada ceramah di Kampung Keting, Dun Jelawat malam tadi.

 

Beliau menyerah borang menyertai PAS kepada Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa. Hadir sama Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamed, timbalannya, Hassan Mohamood, Naib Yang Dipertua, Abdul Aziz Kadir, Dr Zaiyadi dan Ketua Cabang PKR Bachok, Mat Yatim Ismail.

 

Kawasan tersebut merupakan kubu kuat Umno sukar ditembusi sebelum ini. Ceramah diadakan di rumah Mustapha Ahmad bekas aktivis Semangat 46.

 

Pada Januari lalu seramai 250 penyokong dan ahli Umno dari beberapa cawangan juga menyerah borang menyertai PAS pada program ceramah di Kuchelong.

 

Tahun lepas Mustapha dan bekas anggota jawatankuasa Umno Bachok, Wan Jusoh Wan Ismail juga menyerah borang menyertai PAS.

 

Difahamkan beberapa nama besar lagi dalam Umno Bachok dijangka meninggalkan parti itu dalam masa terdekat ini.

 

Zulkifli berkata, tomahan Umno mengatakan sekiranya Pakatan Rakyat menang bukan Melayu menjadi perdana menteri tidak timbul sama sekali.

 

“Kalau betullah tomahan itu mengapa ketika Umno kuat dan BN mempunyai kuasa dua pertiga di parlimen tidak melakukan pindaan perlembagaan.

 

“Umno sendiri tidak berani untuk meminda perlembagaan kerana takut hilang sokongan MCA dan MIC. Jadi dakwaan Melayu hilang kuasa hanya sekadar mahu memancing undi sahaja,” ujarnya ketika ditemui selepas itu.

Share on Myspace