PAS Selangor seru ahli sertai Himpunan 12 Jan

Saidah Hairan | .

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Othman menyeru seluruh ahli dan kepimpinan PAS negeri turut serta dalam Himpunan 1 juta rakyat pada 12 Januari yang dirancang diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.  

Beliau berkata, himpunan 1 juta rakyat itu merupakan kemuncak himpunan yang telah diadakan di seluruh negara bagi menuntut pilihan raya yang bersih dilaksanakan.

"Saya mengarahkan semua ahli dan pimpinan PAS cawangan, kawasan dan negeri serta penyokong PAS dan Pakatan Rakyat mesti turun menyatakan kehendak untuk mendapatkan pilihan raya yang bersih," katanya.

Beliau menjamin ahli dan pimpinan PAS Selangor tidak akan melakukan sebarang provokasi sebaliknya hanya berkumpul secara aman di Stadium sebagaimana yang pernah dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ahli PAS dan seluruh rakyat Selangor mesti komited menuntut pilihan raya bersih dan adil untuk kita tawan Putrajaya nanti," katanya.

Dalam masa yang sama beliau mengingatkan seluruh ahli dan pimpinan PAS supaya bekerja keras mendekati seluruh pengundi supaya memberi sokongan dan undi kepada calon PAS dan Pakatan Rakyat.

Pada Himpunan 1 juta rakyat hadiri digalakkan memakai kuning mewakili Bersih, merah untuk R yang menuntut royalti Petroleum Kelantan, hijau mewakili Anti Lynas manakala oren mewakili Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).


Share on Myspace