Kubur 'menangis': Mantap akan jumpa Mufti

| .

 

(Peserta sidang meja bulat isu Pengerang bergambar sebelum sidang media)

 

JOHOR BAHRU : Badan Bertindak Penduduk Pengerang (Mantap) akan menyerahkan memorandum kepada Mufti negeri ini bagi mendesak supaya proses pemindahan perkuburan Islam yang terbabit dengan Projek Rapid Petronas di Pengerang, dihentikan serta merta.

Desakan ini dibuat berikutan dakwaan kegagalan kontraktor yang dilantik menjalankan kerja-kerja pemindahan kubur ini mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa agama negeri ini sehingga menyedihkan waris terbabit.

Demikian dinyatakan Timbalan Pengerusi Mantap, Mazlan Aliman, pada sidang media selepas mempengerusikan Sidang Meja Bulat berkaitan isu Pengerang yang diadakan di sini, kelmarin.

Hadir sama dalam sidang media itu adalah 41 lagi yang terdiri dari pemimpin Ngo, parti-parti politik, pengamal undang-undang serta orang perseorangan yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

Menurut beliau, sidang tersebut diadakan bagi mendapat input terkini daripada pihak-pihak berkaitan berhubung perkembangan yang berlaku di Pengerang mutakhir ini.

“Isu yang membabitkan proses pemindahan perkuburan Islam yang dikesan gagal mematuhi prosedur ditetapkan Majlis Fatwa Jabatan Agama Islam Johor sangat menyedihkan kita.

“Kontraktor yang dilantik menjalankan kerja-kerja pemindahan kubur ini telah gagal mematuhi arahan ditetapkan pihak berkenaan sebab itu kita akan meminta Jabatan Mufti supaya mengarahkan kerja-kerja pemindahan kubur ini dihentikan serta merta,” kata Mazlan.

Sebagai contoh dakwa Mazlan, kedalaman kubur baru yang disediakan kontraktor terbabit hanya 15 inci sahaja sedangkan kedalaman yang ditetapkan adalah tiga kaki.

“Selain itu kita juga mendapati kontraktor terbabit tidak mematuhi adab-adab Islam dalam proses pemindahan kubur ini, mereka mencampuradukkan bungkusan dari kubur yang hendak dipindahkan ini dengan peralatan lain seperti cangkul dan lain-lainya di dalam satu kenderaan untuk dbawa ke tapak perkuburan yang baru.

“Perbuatan ini sama sekali telah melanggar adab dan tata susila yang ditetapkan oleh Islam dalam proses pemindahan kubur," katanya.

Seterusnya Mazlan yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri turut mendakwa, kerja-kerja pemindahan kubur ini juga tidak dipantau oleh pihak-pihak berkaitan, ini membolehkan kontraktor terbabit menjalankan kerja mengikut sesuka hati mereka.

“Walau pun kita dimaklumkan kerja-kerja pemindahan kubur ini telah ditangguhkan atas desakan penduduk sejak dua minggu lalu tetapi kita tidak pasti sampai bila tempoh penangguhan ini.

“Sekiranya kerja-kerja ini diteruskan, apakah ianya telah mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa agama negeri ini.

“Justeru memorandum yang akan kita serahkan pada 4 Januari 2013 ini akan mendesak JAIJ menghentikan serta merta proses pemindahan kubur ini sehingga satu siasatan secara terperinci dilakukan oleh pihak-pihak berkenaan,” jelas beliau.

Share on Myspace