Amanat Haji Hadi: Kenapa Baru Sekarang?

| .

Isu kafir mengkafir menerusi ”Amanat Haji Hadi” dihangatkan lagi diambang PRU ke 13.  Isu yang berlegar pada tahun 1981 cuba dihangatkan kembali oleh media dan akhbar tertentu. Bayangkan, sudah 31 tahun, ia kembali dihebohkan seolah-olah berlaku baru setahun dua.

Memang ia merupakan isu yang menjadi petanda kepada paluan kompang pilihanraya.

Antara yang terlibat menimbulkannya adalah seorang ustaz muda, Fathul Bari, yang ketika isu ini bermula, baru berusia setahun dua.

Dalam tulisannya dalam akhbar Sinar, beliau menekankan soal tabayyun (memastikan kedudukan sebenar) dalam menangani isu ini.

Dengan membawakan contoh kisah Ammar dan keluarganya, soal takfir perlu disiasat sebelum hukuman dijatuhkan.

Kita bersetuju bahawa soal takfir bukan soal yang boleh dipermudah-mudahkan lantaran ia melibatkan soal batas iman dan kufur.

Oleh sebab itulah, umat Islam perlu sentiasa diingatkan tentang batas-batas akidah. Pada masa yg sama, hukum kafir juga tidak boleh dijatuhkan sewenang-wenangnya.

Justeru, para ulama hanya menekankan soal kaedah dalam batas iman tanpa menentukan secara khusus kepada siapa individu yang telah melanggar batas itu.

Bahkan menjadi kewajipan ulama untuk sentiasa memperingatkan umat supaya batas iman itu sentiasa dipelihara. Adapun yg berhak menjatuhkan hukum kafir atau murtad adalah bidang kuasa qadhi atau hakim di mahkamah.

Ketika sahabat Nabi, Ammar Bin Yasir melafazkan kata kufur, kita tidak ada di sana dan tidak ada pada waktu itu. Sama seperti isu takfir ini bermula 31 tahun dulu, penulis ruang Nasihah pun belum dapat mengikutinya.

Kalau Rasulullah Saw pun bertanya kepada Ammar tentang keadaan dirinya ketika melafazkan kata kufur itu, mengapa kita tidak bertanya kepada ulamak yang didakwa mengeluarkan fatwa takfir tentang keadaan masyarakat ketika itu agar kita memahami situasinya?

Penulis Nasihah boleh bertanya kepada ulama itu kalau dia mahu, atau merujuk kepada beberapa kitab seperta Mustika Hadith terbitan Jabatan Perdana Menteri yang diterbitkan sekitar tahun-tahun isu itu bermula.

Kalau Ammar mengucapkan lafaz kufur kerana terpaksa dan diancam bunuh, ketahuilah bahawa ketika fatwa takfir itu dikeluarkan pelbagai tuduhan terhadap Islam dilemparkan oleh tokoh tertentu.

Ada yang mengatakan Islam sudah ketinggalan. Ada pula yg mengatakan Al Quran sudah lapuk, hukum potong tangan zalim & sebagainya.

Justeru menjadi tanggungjawab seorang ulama, teguran disampaikan melalui ceramah dgn memberikan kaedah tanpa menentukan siapakah orangnya.

Mengapakah masih ada orang yang mahu mempertahankan konsep politik suku, agama suku? Mengapa pula perlu disediakan dalih politik fitnah dan tuduh menuduh? Sedangkan nasihat yg diberi adalah bersifat umum, tanpa menyebut sebarang nama individu.

Mengapa selepas 31 tahun nasihat itu diberi, baru pihak tertentu meminta penjelasan?

Jemputannya terbuka, tetapi sesinya tertutup? Berikanlah ruang terbuka kepada ulama tersebut untuk memberi penjelasan setelah isunya dihangatkan secara terbuka juga.

Ketahuilah bahawa Rasulullah Saw telah mendengar & menerima penjelasan Ammar terlebih dahulu, tanpa menghangatkan ucapannya secara terbuka.

Bukan seperti dilakukan oleh rakan-rakan Penulis An Nasihah Sinar, sejak 31 tahun dahulu. Hari ini baru meminta penjelasannya.


* Penulis adalah Pengerusi Ulamak Pelapis PAS (Pusat).

Share on Myspace