Himpunan 1 Juta Rakyat di stadium sahut seruan PM

Harakahdaily | .

KUALA LUMPUR: Angkatan WargaAMAN Malaysia (WargaAMAN) merasa kecewa apabila pihak penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) masih tidak mendapat sebarang respons daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung permohonan menggunakan Stadium Merdeka pada 12 Januari depan.

 

Setiausaha Agungnya, S.Barathidasan berpendapat pihak DBKL dan polis tidak mempunyai masalah untuk memberi kelulusan kerana pihak penganjur hanya menyahut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu rakyat berhimpun di stadium jika ingin menyatakan sebarang tuntutan terhadap kerajaan.

 

“Secara terang-terang ini membuktikan keikhlasan serta sikap murni pihak penganjur yang sedia bekerjasama dan menghormati saranan Perdana Menteri untuk berkumpul di Stadium Merdeka,” ujarnya dalam satu kenyataan.

 

Justeru, ujarnya WargaAMAN meminta agar pihak kerajaan, DBKL dan polis jangan berdolak dalik dan berselindung di sebalik pelbagai alasan seperti akan berlaku huru-hara kononnya, mencetuskan pergaduhan, kemusnahan harta benda, kesesakan lalu-lintas serta bermacam-macam alasan.

 

“Padahal Himpunan 1 Juta Belia di Putrajaya yang dianjurkan oleh Barisan Nasional tidak ada sebarang masalah dari segi permit dan alasan,” ujarnya.

 

Katanya, apa yang penting ialah kerjasama yang baik daripada pihak berkuasa seperti polis dan DBKL membantu menjaga lalu lintas, keselamatan dan menjamin keamanan pada perhimpunan itu nanti.

 

Share on Myspace