Adu 'projek sakit' Akademi Usahawan Tani ke SPRM

Harakahdaily | .

MARAN: PAS akan mengemukakan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung 'projek sakit' Akademi Usahawan Tani di Kg Awah di sini.

Semalam, Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bersama kepimpinan PAS Negeri Pahang melawat kawasan pembinaan tersebut.

Menurut beliau, tindakan membawa perkara tersebut ke SPRM akan dibuat dalam masa terdekat.

"Kita sedang menimbang untuk memanjangkan perkara ini kepada SPRM.

"Kita mahu SPRM menyiasat kemungkinan wujud penyelewengan dalam projek ini," kata Tuan Ibrahim.

Kegagalan projek itu siap mengikut jadual turut ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.

Projek Pembinaan Akademi Usahawan Tani ini sebenarnya telah mula dirancang untuk dilaksanakan di bawah RMKe-9.

Projek ini merupakan projek Jabatan Pertanian Negeri Pahang yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Pahang.

Ianya bertujuan untuk melahirkan usahawan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi serta progresif bagi membawa industri pertanian lebih maju dan berdaya saing.

Projek pembinaan Fasa 1 telah disiapkan pada 18 Oktober 2006 dengan kos berjumlah RM6.86 juta.

Manakala, tarikh siap projek Fasa 2 mengikut kontrak adalah pada 16 April 2010 dengan kos berjumlah RM2.53 juta.

Laporan audit menyebut, tahap pelaksanaan Fasa 1 projek ini adalah tidak memuaskan kerana berlaku kesilapan reka bentuk, kualiti kerja pembinaan yang rendah dan kerja pembinaan tidak mengikut spesifikasi.

Selain itu, ketiadaan perancangan awal yang teliti telah menyebabkan banyak pengubahsuaian dilakukan setelah projek siap dilaksanakan dan pihak kontraktor juga telah menggunakan Table Tender Drawing dan bukan Construction Drawing sebagai rujukan semasa menjalankan kerja pembinaan.

Share on Myspace