Tuan Ibrahim ketuai skuad PAS beri bantuan banjir

| .

 

(Skuad bantuan banjir Pahang menurunkan bahan bantuan untuk mangsa banjir)

 

KUANTAN: PAS Pahang mengerah seluruh petugasnya agar bergerak ke Kuantan bagi membantu mangsa banjir yang disifatkan paling buruk dalam sejarah negeri itu.

 

Arahan supaya jentera PAS digerakkan di semua kawasan banjir itu dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mempengerusikan mesyuarat Perhubungan PAS Pahang di Temerloh hari ini.

 

"Kita telah pilih Masjid Al Fatah, Kuantan sebagai Bilik Gerakan Bantuan Banjir kita," kata Tuan Ibrahim kepada Harakahdaily.

 

Tuan Ibrahim berkata, mereka akan memberikan pelbagai bantuan dalam bentuk tenaga, makanan dan nasihat kepada mangsa.

Antara bahan makanan yang diedarkan adalah berupa roti, biskut, makanan segera, sardin dan lain-lain lagi di samping air bersih.


(Petugas PAS sibuk membungkus bahan makanan untuk diedarkan kepada mangsa banjir)


Bandar Kuantan dilanda banjir kilat paling teruk dalam sejarahnya sehingga melumpuhkan keseluruhan bandar itu.

Kenderaan tidak dapat bergerak dan rosak ditenggelami air manakala rumah yang dilanda banjir pula penuh dengan lumpur.

Kedatangan banjir yang mengejut itu menyebabkan banyak harta benda dan barangan milik mangsa tidak dapat di selamatkan.

(Anggota Unit Amal turun menemui mangsa banjir dengan membawa bantuan. Baju hijau adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Yusof Embong.)

 

Menurut wartawan Harakahdaily yang berada di Chendor iaitu sempadan dengan Terengganu, air banjir dikatakan semakin naik sekarang ini.

Ia menyebabkan bantuan agak sukar disampaikan tanpa kenderaan yang sesuai khasnya bot.

Share on Myspace