Bukankah Melayu hilang kuasa angkara Umno?

Harakahdaily | .

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyifatkan Tun Mahathir Mohamad ketinggalan keretapi dan masih memutar pita rakaman lama untuk mempengaruhi pengundi di dalam Pilihan raya Umum (PRU) akan datang.

 

“Beliau cuba membawa budaya takut di dalam masyarakat supaya jangan tolak Umno kerana nanti Melayu hilang kuasa.

 

“Bukankah Melayu hilang kuasa semua angkara Umno?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

 

Beliau juga mempersoalkan kenapa Mahathir menjadi Perdana Menteri tidak menambah kerusi Parlimen di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah ketika persempadanan semula 2004.

 

“Kenapa baru sekarang bercakap Melayu hilang kuasa?” tanya beliau lagi.

 

Katanya, Umno telah terbukti merosakkan Melayu setelah berkuasa selama 55 tahun.

 

Jelasnya, PAS mempunyai data dan fakta kemusnahan Melayu angkara tangan Umno yang mana tanah rezab Melayu daripada 3 juta hektar (1957) hilang  seluas 1.3 juta (1995) hektar.

“Kenapa Tun menuding jari kepada Pakatan Rakyat, sedangkan Pakatan Rakyat tidak pernah memerintah kerajaan pusat.

 

“Beri Pakatan Rakyat memerintah dahulu, jika sama perangai macam Umno bolehlah rakyat memilih Umno kembali di dalam PRU14,” katanya.

 

Beliau juga bertanya kenapa Tun begitu takut sangat dengan perubahan kerajaan.

 

“Beliau tidak perlu takut jika beliau tidak bersalah ketika 22 tahun memerintah,” kata Idris.

 

Tambahnya lagi, jika Tun mengeluh kerana Melayu berpecah kepada tiga kelompok, ia angkara siapa.

 

“Umnolah bapa perpecahan buktinya kelahiran Parti Negara, Parti Semangat 46, Team A dan Team B sehingga Umno diharamkan oleh mahkamah,” katanya lagi.

 

Katanya lagi, jangan menganggap Umno parti Melayu pertama, sedangkan sebelum Umno ditubuhkan 1946, sudah ada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada 1945 oleh Ibrahim Yaakob, Dr Burhanudin al-Helmi dan Ahmad Boestamam.

 

Justeru, ujarnya kenapa perlunya Umno, sedangkan sudah ada parti Melayu sebelumnya.

 

Idris menambah, Tun Mahathir juga cuba hendak memutar belitkan sejarah kononnya PAS ditubuhkan kerana pimpinannya tidak puas hati dengan kepimpinan Tunku yang tidak memberi PAS bertanding 10 kerusi di dalam pilihanraya 1955.

 

“Sedangkan PAS ditubuhkan oleh orang agama di dalam Umno kerana tidak puas hati dengan pimpinan Umno yang tidak ambil peduli teguran ulama terutama di dalam isu judi,” katanya.

 

Katanya, pembohongan Tun bukan perkara luar biasa kerana sewaktu beliau menjadi Presiden Umno beliau menuduh PASditubuhkan oleh penjajah.

 

“Fakta sebenarnya Umno adalah restu penjajah. Buktinya ketika semua parti politik di Tanah Melayu diharamkan pada tahun 1948, hanya Umno sahaja yang dibenarkan hidup,” katanya lagi.

 

Share on Myspace