15
Sun, Sep
30 Artikel Baru

Notis larangan solat jadi kegelisahan umat

Berita
Typography
PAS Kawasan Kapar amat mengambil berat berkaitan kegelisahan penduduk di Parlimen Kapar, khususnya yang beragama Islam berkaitan tular suatu notis daripada majikan yang dikatakan berbentuk peringatan yang mengehadkan pekerja beragama Islam menunaikan solat fardhu lima waktu ketika waktu bertugas. Perkara ini mencetuskan kegelisahan merentas negeri ke seluruh negara. 
 
Saya tidak ingin mengulas panjang berkaitan kesahihan notis atau maklumat yang diperkatakan tersebut, malah menyerahkan kepada pihak berkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Selangor serta Kementerian Sumber Manusia untuk menjalankan siasatan yang adil dan telus.
 
PAS Kawasan Kapar mengambil kesempatan ini, mendesak agar pihak majikan, dalam apa jua keadaan mestilah sentiasa peka dan prihatin kepada keperluan pekerja dan menghormati hak para pekerja secara adil dan saksama sebagaimana diperuntukkan akta dan Perlembagaan. 
 
Kepada pihak-pihak tertentu, saya nasihatkan, dalam menangani isu rakyat seperti ini, turunlah kepada rakyat seadilnya. Selamilah sentimen, hati dan emosi sebenar mereka. Jagailah rakyat ini bagi menepati amanah yang diperturunkan kepada kalian. 
 
Wajar diinsafi, situasi ini menggambarkan betapa sensitifnya isu-isu sebegini pada masa ini di kalangan umat Islam. Suasana pemerintahan dan pentadbiran pada masa ini, baik di peringkat negeri mahupun Persekutuan dilihat terlalu lemah dalam menangani perkara-perkara mendasar sehinggakan menghakis kepercayaan masyarakat dan rakyat terhadap kebolehupayaan kerajaan menjaga kemuliaan agama Islam dan kemaslahatan rakyat. 
 
Politik populis dengan pelbagai janji namun pelaksanaannya bersifat melepaskan batuk di tangga bukanlah penyelesaian kepada keresahan hati rakyat dan terhakisnya kebolehpercayaan rakyat kepada pemimpin yang dilantik yang dilihat semakin hari semakin menebal.   
 
Kepada pihak-pihak yang kelihatan gigih usahanya mencapai matlamat yang tidak selari dengan hasrat Perlembagaan Negara yang telah lama menyusun atur suasana harmoni masyarakat Malaysia ini, saya ingin berpesan agar berpadalah dan janganlah terlalu jauh melangkah sehingga tiada lagi ruang untuk berundur.   
 
Ingatlah, pemerintahan dan pentadbiran adalah satu tanggungjawab berumpun pemerintah untuk memelihara agama dan mengatur urusan dunia kedua-duanya sekali (hirasat  ad-din  wa  siyasat  addunya). Semoga Allah S.W.T mempermudahkan urusan agama ini.   
 
“Islam Memimpin Perpaduan”
“Pemurnian Fikrah Memangkin Perjuangan"
 
NOOR NAJHAN MOHAMAD SALLEH
Yang DiPertua 
PAS Kawasan Kapar - HARAKAHDAILY 2/8/2019