20
Tue, Aug
31 Artikel Baru

Pencemaran: Rakyat cemas jawapan tidak konsisten

Berita
Typography

PASIR GUDANG: PAS Negeri Johor meminta kerajaan negeri mengambil langkah yang serius dalam mengatasi masalah pencemaran udara yang berlaku di Pasir Gudang.

Pesuruhjayanya, Ustaz Abdullah Husin berkata, kejadian yang berlaku itu sangat serius perlu diambil perhatian kerana telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

"Kita sangat mengharapkan kerajaan, bukan kerana politik tetapi demi kepentingan rakyat supaya benar-benar menangani isu ini.

"Ia sangat serius kerana menimbulkan keresahan kepada masyarakat," katanya ketika ditemui membuat lawatan di Stadium Perbandaran Pasir Gudang yang dijadikan Pusat Gerakan Operasi Pemantauan di sini, hari ini.

Katanya, jawapan yang tidak konsisten diberikan oleh pihak kerajaan negeri juga membuatkan rakyat semakin cemas.

Beliau berkata, pihaknya telah menghantar memorandum kepada Menteri Besar Johor jam 10 pagi tadi bagi mendesak kerajaan mengambil langkah proaktif dan berkesan dalam mengatasi kejadian yang berlaku.

Katanya, insiden ini merupakan kali kedua selepas pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim tiga bulan lalu.

Beliau meluahkan rasa terkilan berikutan masalah itu masih tidak ditangani sebaiknya oleh pihak yang bertanggungjawab.

Turut hadir sama dalam lawatan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Pasir, Kapten (B) Najib Lep; Setiausaha Khidmat Malaysia Johor, Ab Aziz Abdullah; Timbalan Ketua Muslimat Johor, Normala Sudirman bersama ahli jawatankuasanya, anggota Jabatan Amal Pasir Gudang dan Briged Muslimat.

Sementara itu, Ustaz Abdullah juga turut mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang dan menziarahi rumah mangsa pencemaran serta memberi sedikit sumbangan.

Pada 20 Jun lalu, 14 pelajar dan dua orang dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), manakala 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang (4), mengalami sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara. – HARAKAHDAILY 26/6/2019

abd1