24
Sat, Aug
21 Artikel Baru

Ramadhan inspirasi kuatkan roh perjuangan

Nasional
Typography

ALHAMDULILLAH, segala puji bagi Allah, Rabb Yang Maha Mulia, Pentadbir seluruh sekalian alam yang mengizinkan kita sekali lagi hadir ke madrasah Ramadhan, bulan penuh keberkatan, kerahmatan dan dilimpahi rahmat pengampunan-Nya.

Kesempatan ini hendaklah direbut oleh semua kaum muslimin dan muslimat dengan meningkatkan ketaqwaan serta keimanan menerusi amal soleh yang difardukan. Selain ibadah puasa khusus yang difardukan jangan kita melupakan ibadah umum yang lain seperti melipatgandakan amalan bersedekah, memelihara pancaindera daripada melakukan kemungkaran, membaca al-Quran serta sentiasa berzikir dan beristighfar kepada-Nya.

Sayugia diingatkan pelbagai peristiwa bersejarah terjadi di dalam bulan yang mulia ini, menggamit penganutnya menginsafi dan menjadikannya sebagai inspirasi menguatkan roh perjuangan umat Islam, antaranya ialah peristiwa penurunan Al-Quran, peperangan Badar, pembukaan kota Mekah, dan peperangan Ain Jalut yang begitu menyentuh sanubari umat Islam.

Justeru itu, ibadah puasa menjadikan kita muslimin yang kental, istiqamah, meningkatkan daya juang melawan hawa nafsu dan kehendak peribadi, di samping melatih diri meningkatkan amalan sunat.

Oleh itu, amat wajar untuk kita agar berterusan mengingati dan berdoa ke hadrat Allah SWT agar diberikan kemudahan dan kemenangan kepada para mujahidin yang berjuang mempertahankan hak mereka di bumi Palestin pada ketika ini.

Sehubungan itu, marilah bersama-sama memanfaatkan seluruh kudrat memenuhi ruang Ramadhan sepenuhnya, mudah-mudahan kita tergolong di kalangan umat yang cemerlang.

DR AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI
Pesuruhjaya PAS Kedah
1 Ramadhan 1440 – HARAKAHDAILY 6/5/2019