20
Tue, Aug
28 Artikel Baru

Malaysia Baharu sekadar pandai tukar istilah

Nasional
Typography

PADANG RENGAS: Malaysia Baharu yang gah dilaungkan rupa-rupanya sekadar menukar nama, demikian bidas Pengarah Strategi Pemuda PAS Malaysia, Syahir Sulaiman membahas ketidaktentuan politik pasca PRU14.

Perkara tersebut dinyatakan beliau semasa Ceramah Kebangkitan Ummah anjuran Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang dilangsungkan di Kampung Stor, di sini semalam.

“Ini 'trend' Menteri-menteri baru yang tidak ada idea, sekadar tukar nama sahaja rupanya. Dulu dia (PH) kata BR1M tak elok, (jadi perlu) tukar nama. Daripada BR1M kepada BASAH. (Hakikatnya) sama sahaja.

“Saman AES, (dulu) dia (PH) jaja kepada orang muda perlu tukar kerajaan sebab dia (kerajaan) saman kita. (Kini) bukan AES, namanya (terbaru) AWAS. Benda sama saja. Elok-elok ada program pra sekolah PERMATA, ditukar kepada nama GENIUS.

“Tak cukup itu, ada cadangan tukar nama KLIA. Alasannya, KLIA tidak berada di Kuala Lumpur. Tapi di Sepang. Hendak tukar kepada SIA. SIA ni ok lagi. Kalau KLIA2 nak tukar apa? SIA2? Tidakkah nanti bunyi dah macam ‘sia-sia’?” ujarnya.

Hakikatnya kata beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS, segala keporak-perandaan terhadap agama, ekonomi dan negara akibat dari pemerintahan PH selama hampir setahun, pastinya panjang untuk dibahaskan.

Oleh kerana itu, Syahir menggariskan empat tindakan yang perlu digerakkan oleh setiap penyokong PAS dan Umno, iaitu, pertama, perlu eratkan ukhuwah dan silaturahim melalui program-program kebajikan bersama.

Kedua katanya, memperbetulkan kefahaman Islam yang sebenar kepada anak-anak dan ahli keluarga; dan ketiga, menolak segala keraguan melibatkan kerjasama PAS dan Umno.

Manakala keempat menurutnya, memandang jauh nasib masa depan generasi muda yang bakal mewarisi tanah air ini jika negara terus-menerus diperlakukan sebegini oleh PH.

Turut serta adalah Naib Ketua Umno Bahagian Padang Rengas, Khairuddin Mohamed Azahar dan Naib Yang Dipertua PAS Padang Rengas, Ustaz Azizi Ridzuwan. - HARAKAHDAILY 20/4/2019