24
Wed, Jul
34 Artikel Baru

Majlis Yaasiin erat Muslimat PAS, Wanita Umno

Komuniti
Typography
LUMUT: Wanita Umno dan Muslimat PAS dalam Parlimen Lumut telah mengadakan majlis bersama bacaan Yaasin di Dewan Pejabat Umno Bahagian Lumut, Sitiawan, di sini semalam.
 
Menurut Ketua Muslimat PAS Kawasan Lumut, Rohawati Abidin berkata, program seumpama itu dilihat sebagai platform yang baik ke arah pengukuhan ukhwah kedua-dua pihak.
 
Bahkan menurut beliau, dikesempatan majlis tersebut, wakil beberapa Cawangan PAS dan Umno telah berbincang dan bercadang untuk mengadakan majlis yang sama di Cawangan masing-masing.
 
Sementara itu, beberapa Muslimat PAS yang hadir melahirkan rasa terharu dan gembira dengan pertemuan julung kali diadakan melibatkan dua entiti tersebut setelah lebih 60 tahun ‘berlawan’ di arena politik.
 
Begitu juga rata-rata Wanita Umno amat menghargai kesudian Muslimat PAS untuk hadir menjejaki kaki ke program yang diadakan di premis milik Umno ini di mana berbeza dengan program sebelum ini diadakan di Markas-markas PAS.
 
Bacaan Yaasin telah dipimpin oleh Ketua Penerangan Umno Bahagian Lumut, Ustaz Hairul Abdul Karim yang seterusnya menyampaikan tazkirah menyentuh mengenai janji Allah S.W.T terhadap orang beriman dan beramal soleh. 
 
Majlis yang dihadiri lebih 50 anggota Muslimat dan Wanita itu diakhiri dengan jamuan minum petang dan sesi bergambar. - HARAKAHDAILY 20/3/2019