14
Mon, Oct
10 Artikel Baru

Kenyataan LGE boleh cetus perbalahan kaum

Nasional
Typography

KENYATAAN Lim Guan Eng mengenai kerjasama PAS dengan Umno sebagai ‘mengisytiharkan perang’ dengan bukan Melayu boleh dianggap sebagai kenyataan yang boleh mencetuskan pertikaian antara kaum dan agama di negara ini.

Sebagai salah seorang menteri dalam kerajaan Malaysia, beliau tidak sepatutnya berkata sedemikian rupa seolah-olah negara ini sudah tidak ada keamanan dan perpaduan antara kaum dan agama.

Memang patut rakyat Malaysia menggesa Perdana Menteri mengambil tindakan ke atas Lim Guan Eng untuk meletak jawatan kerana kalau dibiarkan orang macam ini memegang jawatan penting dalam kerajaan, ianya boleh mencetuskan perbalahan antara kaum dan agama dalam negara ini.

Walaupun Lim Guan Eng sudah mengubah kenyataan dengan menukar frasa ‘mengisytiharkan perang’ kepada ‘menyasarkan’, namun beliau telah mencetuskan perasaan tidak senang hati antara kaum dalam negara ini. Kami mahu Menteri Kewangan itu supaya disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

Kerjasama PAS dengan Umno/BN bukan bertujuan untuk selamatkan Najib atau BN tetapi lebih kepada penyatuan ummah dan menjaga kepentingan Islam dan lain-lain agama dan bangsa dari terus bertelagah sesama sendiri.

Sebagai pembangkang tidaklah salah untuk bekerjasama demi kebaikan rakyat dan juga sebagai ”menyemak dan mengimbangi" kepada kerajaan sekarang. Kami mahu rakyat hidup aman dan selamat tanpa ada unsur-unsur yang boleh mencetuskan masalah perkauman dan penghinaan terhadap agama lain seperti yang berlaku sekarang.

Tindakan segera perlu diambil oleh pihak berkuasa tanpa mengira bangsa, agama dan kedudukan seseorang dalam kerajaan atau pun bukan kerajaan. Berlakulah adil untuk semua tanpa mengira pangkat seseorang dan fahaman politik kalau kita ingin melihat rakyat Malaysia hidup harmoni dan selamat.

JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 8/3/2019