Tolak parti politik abai Islam dan Melayu - UMMAH

Nasional
Typography
KUALA LUMPUR: Parti politik di negara ini tidak lagi boleh diharapkan apatah lagi kerajaan tidak punya suara kuat untuk mempertahankan hak-hak Bumiputera, Melayu dan Islam yang dilihat semakin parah dan terpinggir.
 
Demikian itu, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam dan Melayu perlu bangkit bersama kerana keberadaan NGO di seluruh negara akan menyedarkan rakyat pihak yang akan mereka undi dan pilih pada pilihan raya nanti.
 
Ketua Sekretariat Pembela Ummah, Aminuddin Yahya dalam ucapan aluannya pada Konvensyen Kebangkitan Ummah (KKU) memberi amaran akan mengenepikan mana-mana parti politik yang enggan meletakkan agenda umat Islam dan Melayu di dalam manifesto mereka.
 
"Andai kata mereka tidak meletakkan agenda Islam dan Melayu dalam manifesto mereka, kita beritahu rakyat, kita beritahu kepada NGO-NGO kita, ketepikan mereka ini. Nyahkan mereka daripada kerusi Parlimen, mereka tidak layak memimpin negara kita. 
 
"Ini bukan perkara kecil, kita tidak berbicara soal individu mungkin kita sudah selesa tetapi kita sedang berbicara soal generasi akan datang. Mana kita pernah dengar Melayu mengaku mereka gay, tetapi sudah biasa sekarang ini kita dengar.
 
"Sudah ada majlis gay yang dirancang akan dibuat, di mana parti politik? Islam dihina secara terang-terangan kita selaku NGO minta tolong ambil tindakan. Parti politik kata tak boleh, kita negara majmuk," katanya pada KKU yang diadakan di Dewan Muktamar, Pusat Islam, di sini semalam.
 
Ujarnya lagi, lebih membimbangkan apabila ada pihak yang berani mempertikaikan bahawa negara ini bukan negara Islam tetapi adalah negara sekular. 
 
Tegasnya, kanun Melaka pernah terpakai dalam sistem pemerintahan Kerajaan Melaka dan jelas menunjukkan negara ini sebagai negara Islam.
 
"Tetapi bila penjajah datang, Portugal, Belanda, British, Jepun, 450 tahun kita dikuasai dan kekalkan seolah kita ni negara sekular. Sebab itu kita nak kerajaan kita tegas perkara ini, tetapi kita tahu bahawa kita ini berkokok ibarat ayam di pagi hari, ada orang dengar, ada orang tak dengar.
 
"Kita menyeru NGO sekalian dan seluruh rakyat Malaysia bahawa kita akan letakkan tuntutan kita kepada sesiapa sahaja yang akan memerintah, kita bukan politik kita tidak kisah yang penting agenda mereka mestilah memartabatkan Melayu dan Islam di samping agenda lain-lain," katanya.
 
Dalam pada itu, lebih 300 NGO hadir pada program Konvensyen Kebangkitan Ummah bagi menyatakan hasrat dan pandangan terhadap senario yang berlaku kepada umat Islam dan Melayu.
 
Konvensyen membangkitkan tujuh teras kritikal iaitu undang-undang dan syariah, pendidikan, dakwah, ekonomi, sosial, tanah rezab dan hak Melayu serta belia dan anak muda. - HARAKAHDAILY 14/1/2018