23
Fri, Jun
17 Artikel Baru

MH3.0 hasil 85 cadangan manifesto anak muda PRU14

Tanah Air
Typography

1. MYHACKTHON 3.0 (MH3.0) anjurkan bersama Jabatan Strategi, Institut Polisi Studi (IPS) dan Jabatan Profesional Muda (JPro) telah berjaya mengumpul 85 cadangan manifesto menerusi diskusi berfokus melibatkan 40 pemikir muda yang berkampung di SRITI Bangi pada 17 dan 18 Jun semalam.

2. Bertujuan untuk mengenalpasti kehendak dan keperluan anak muda, para peserta MH3.0 ditugaskan untuk memerah idea bagi menghasilkan cadangan manifesto anak muda, khususnya dalam skop Tujuh Agenda Anak Muda Berkebajikan. Iaitu, pendapatan boleh guna, keupayaan sara hidup, pendidikan berkebajikan, keusahawanan belia, rumah mampu milik, capaian pengangkutan, dan kesejahteraan hidup.

3. Berucap pada majlis perasmian MH3.0, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi melahirkan rasa syukur dan bangga dengan keterlibatan profesional muda PAS dalam proses penyediaan Manifesto Anak Muda Malaysia itu. Katanya, ia sebagai kesinambungan daripada usaha Pemuda PAS menterjemahkan konsep Kerajaan Teknokrat yang digagaskan oleh Presiden PAS.

4. Di dalam ucapannya, beliau mengingatkan para peserta akan kepentingan memahami prinsip dan konsep bernegara yang terkandung di dalam Al-Quran. Juga tuntutan mengutamakan agenda penyelesaian Islam sebagai alternatif kepada kegagalan sistem rekaan manusia. Ujar beliau, ini bertujuan untuk mewujudkan kehidupan yang sejahtera dan diberkati di dalam negara, khususnya di kalangan generasi muda.

5. Penjenamaan MyHackathon yang telah masuk siri ketiga ini adalah suatu inisiatif JPro dengan konsep pertandingan atau bengkel yang melibatkan peserta daripada pelbagai kepakaran. Mereka berkumpul untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang lazimnya berlangsung tanpa henti selama 24 jam.

6. Program MH3.0 kali ini melibatkan para peserta yang dijemput daripada pelbagai latarbelakang akademik dan kerjaya, antaranya Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia, Kluster JPro, penyelidik IPS, wakil NGO dalam bidang akademik dan perubatan, serta wakil mahasiswa daripada GAMIS. Segala hasil perbincangan akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Manifesto PAS Pusat sebagai persiapan menghadapi PRU14.

"Sejahtera Bersama Islam"
"Mara Menuju Cita"

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi Dewan Pemuda PAS Malaysia
19 Jun 2017 | 24 Ramadan 1438 - HARAKAHDAILY 19/6/2017