26
Wed, Jul
17 Artikel Baru

Latih kakitangan awam Pemanduan ‘Defensive’

Tanah Air
Typography

DALAM kita menginsafi hakikat kehidupan serta mengingati kepulangan Dr Mohammad Faizal dan Dr Nurul Huda ke Rahmatullah akibat kemalangan jalan raya, sekali lagi kita terpanggil untuk bermuhasabah mencari penyelesaian terbaik buat semua.

Pada tahun 2014 sahaja, terdapat 25 juta kenderaan berdaftar di Malaysia. Menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM, tahun 2015 mencatatkan 2.8% peningkatan kemalangan jalan raya dan 0.5% peningkatan bilangan kematian. Statistik menunjukkan kebanyakan kemalangan berlaku di antara pukul 4 hingga 6 petang dan 6 hingga 8 pagi.

Kita sedia maklum waktu tersebut merupakan waktu kemuncak bagi kakitangan awam yang bergegas ke tempat kerja selain menghantar anak ke sekolah. Kerenah birokrasi dan kurangnya fleksibiliti pada pengurusan sumber manusia menyebabkan ramai kakitangan awam yang terpaksa memandu dalam jarak jauh pada waktu yang kritikal. Akibatnya seperti yang kita sedia maklum, kemalangan, kerugian dan kehilangan insan tersayang yang pastinya dirasai oleh semua.

Lajnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar Pemuda PAS Malaysia secara dasarnya menyokong saranan Jabatan Kesihatan PAS supaya diwujudkan satu garis panduan bagi mengenal pasti faktor keletihan dan mengurus risiko berkaitan waktu kerja kakitangan perubatan. Selain itu, kami mencadangkan Kementerian Sumber Manusia supaya mengenal pasti kakitangan awam yang berisiko tinggi dan mewajibkan mereka menjalani latihan pemanduan ‘defensive’.  

Dalam industri minyak dan gas asli yang sangat menitikberatkan aspek keselamatan pekerjaan, sememangnya menjadi kewajipan kepada kakitangan yang memandu jarak jauh untuk menjalani latihan sebegini. Oleh kerana modal insan lebih berharga daripada segalanya, maka menjadi tanggungjawab kerajaan juga untuk memastikan kakitangan awam diterapkan dengan latihan pemanduan dari semasa ke semasa.

Apakah itu pemanduan ‘defensive’?
Barangkali bagi kebanyakan kita, kali pertama dan terakhir kita duduk dan benar-benar belajar memandu adalah sewaktu mengambil lesen memandu selepas tamat persekolahan dahulu. Selepas itu kita memandu apa sahaja dan ke mana sahaja, dengan izin Allah kita selamat. Namun sebenarnya, sebagaimana kemahiran lain, kemahiran memandu juga memerlukan ilmu dan latihan yang terancang.
 
Pemanduan ‘defensive’ adalah tabiat pemandu yang proaktif untuk mengenalpasti bahaya berkaitan memandu di jalan raya. Teknik dan strategi yang ditekankan dalam pemanduan ‘defensive’ dapat mengurangkan risiko kemalangan, mengurangkan kos bahan api dan servis kenderaan. Di antara prinsip yang ditekankan adalah pencegahan kemalangan dengan meramal dan mengenal pasti bahaya serta mengurus insiden jalan raya bagi mengelakkan kemudaratan.  

Oleh itu, bagi membela hak dan menghargai sumbangan kakitangan awam, kami berpandangan amalan pemanduan ‘defensive’ perlu dijadikan kelaziman melalui latihan yang serius dan berstrategi oleh kerajaan. Program Transformasi Minda yang dijalankan saban tahun pastinya akan lebih bermakna dan membawa hasil yang berlipat kali ganda jika ia menambah nilai keselamatan dan unsur profesionalisme kepada kakitangan awam. Dan, bukannya menjadi alat propaganda semata.

NAZMAN CHE IBRAHIM
Lujnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar,
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 20/5/2017