25
Tue, Jul
21 Artikel Baru

Tindakan tegas banteras pelindung jenayah

Tanah Air
Typography

PENAHANAN 16 pegawai kanan dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang dipercayai terlibat melindungi sindiket pengedaran dadah menunjukkan amalan korupsi dan salahguna kuasa berlaku dalam pasukan keselamatan itu.

Ia 'tragedi' amat menggerunkan apabila pasukan yang dianggap pelindung rakyat dan negara menjadi dalang dan penyangak yang bersekongkol melindungi jenayah. Lebih mencemaskan, ia berlaku atas mereka yang bertugas di Ibu Pejabat utama Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Bermakna bukan sahaja mencalar imej PDRM, tetapi menimbulkan kesangsian terhadap kemungkinan wujud jaringan lebih besar yang terselindung hingga ke negeri dan daerah. Jika benar, bererti masyarakat dan negara sedang berada dalam ancaman menakutkan.

Apatah lagi jenayah dadah adalah 'penjana' kepada pelbagai jenayah lain yang menular menggugat keharmonian dan ketenteraman awam. Maka pelancaran Operasi Kabaddi yang diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar belum cukup menjamin ia terhenti.

Kemungkinan barah ini telah menjangkiti rangkaian lain dalam pengurusan, siasatan dan penguatkuasaan PDRM adalah potensi yang tidak dapat ditolak lagi. Maka reformasi menyeluruh mesti dilakukan segera untuk mengekang dan menyelamatkannya daripada semakin parah.

Langkah serius melalui penubuhan segera Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) sebagaimana terkandung dalam Suruhanjaya DiRaja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM pada 2005 dahulu mesti disegerakan.

Selain melibatkan ahli politik, ahli perundangan, ahli akademik dan mereka yang layak serta berkredibiliti dalam suruhanjaya itu nanti, kami syorkan agar para mufti turut menganggotainya agar panduan menurut Islam dapat digariskan juga ke arah melakukan perubahan itu kelak.

Tindakan segera bukan sahaja memastikan supaya 'nasi tidak menjadi bubur', tetapi agar negara tidak ditimpa nasib seperti kata pepatah 'kalah jadi abu, menang jadi arang'.

IR KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia
16 Mei 2017/19 Sya'ban 1438 – HARAKAHDAILY 17/5/2017