25
Tue, Jul
21 Artikel Baru

Anggota Amal bantu Bomba temui lelaki hilang

Tanah Air
Typography

SEORANG penoreh getah yang hilang Sabtu lepas ketika keluar menoreh di ladang Kampung Relang, Batu Kurau telah dijumpai pagi ini oleh anggota Jabatan Amal Malaysia.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Mohd Taufiq Abd Sattar sebelum ini memaklumkan mangsa dikenali sebagai Zainal Omar berusia lingkungan 50-an, keluar dari rumahnya di kampung itu kira-kira pukul 8 pagi pada Sabtu, 14 Mei dan dimaklumkan hilang pada keesokan hari.

Menurut beliau, mangsa tidak pulang ke rumah sejak Sabtu lepas dan usaha mencari tidak menemuinya setelah usaha dilakukan selama 2 hari.

Difahamkan sepasukan anggota bomba, polis dan penduduk kampung telah melakukan operasi mencari dan menyelamat termasuk menggunakan anjing pengesan sehinggalah mangsa ditemui oleh sepasukan sokongan sukarelawan dari Amal Negeri Perak, pagi tadi.

Menurut ketua pasukan misi mencari dan menyelamat Jabatan Amal Negeri Perak yang lebih dikenali sebagai Pak Rahim, beliau bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat maklumat  yang mana mangsa sudah masuk hari ketiga hilang.

Beliau yang sebelum ini pernah dilatih dalam Gerak Khas, Angkatan Tentera Malaysia dalam ilmu mencari mangsa hilang dengan penuh rasa tanggungjawab terus bergegas ke sana seawal pagi tadi untuk mencari mangsa sehingga mangsa ditemui beliau kira-kira jam 11 pagi tadi.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Mohd Nazree Mohd Aris, Jabatan Amal Malaysia adalah sebuah unit kepanduan di bawah DPPM yang sentiasa membantu agensi kerajaan seperti Bomba, APM dan Polis dalam misi kebajikan dan penyelamat.

"Kita ada anggota yang berkemahiran dan sedia membantu sebagai pasukan sokongan kepada agensi penyelamat kerajaan," ujarnya. - HARAKAHDAILY 17/5/2017

kurau1

kurau3