26
Wed, Jul
17 Artikel Baru

Peruntukan pilih kasih, kerajaan zalimi rakyat

Tanah Air
Typography

DEWAN Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menempelak sikap zalim dan pilih kasih yang diamalkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam mengagihkan peruntukan kepada rakyat melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).

Hal ini merujuk kepada pembocoran sepucuk surat yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan bertarikh 17 Mac yang menyatakan pembatalan semua projek PBT di kawasan-kawasan ‘bukan BN’.

Ternyata tindakan ini semata-mata bermotifkan politik dan kuasa. Menteri KPKT, Tan Sri Noh Omar harus membezakan urusan kerajaan dan urusan parti politik. Sekiranya sikap pilih kasih ini diamalkan, adakah boleh sekiranya rakyat yang tidak menyokong BN tidak membayar cukai kepada kerajaan? Sudah semestinya tidak boleh.

Oleh itu, peruntukan bajet yang dicukai daripada seluruh rakyat harus diagihkan semula kepada rakyat tanpa mengira warna politik. Jangan kerana berbeza sokongan politik, kerajaan berlaku zalim dalam menyalurkan peruntukan kepada rakyat.

DPPWP turut menolak alasan yang diberikan oleh Noh Omar kononnya kerajaan tidak mempunyai dana. Sekiranya kerajaan tidak mempunyai dana, prioriti harus diberikan kepada keperluan atau kepentingan sesuatu projek, bukan kepada kawasan BN sahaja.

Tindakan ini sama sepertimana kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan terhadap Negeri Kelantan dan Negeri Terengganu yang pernah dimenangi oleh PAS dalam isu pembayaran royalti minyak serta peruntukan tahunan yang disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (Persekutuan) (JKKK(P).

DPPWP mendesak supaya arahan tersebut dibatalkan. Prioriti projek harus diberikan kepada kepentingan atau keperluan rakyat yang mendesak tanpa mengira kawasan yang dimenangi oleh BN atau tidak. Amalkan budaya pentadbiran kerajaan yang adil dan telus.

Mohd Farkhan Md Zain
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
24 Rejab 1438 | 21 April 2017 - HARAKAHDAILY 21/4/2017