TS Noh Omar jangan dera rakyat

Nasional
Typography

ZAMAN perhambaan sudah berlalu. Zaman berpolitik secara tidak demokrasi sudah tidak sesuai. Rakyat sudah mual dengan gelagat pemimpin seperti ini. Jangan mendera rakyat yang memilih wakil rakyat pembangkang, ini ialah hak demokrasi. Parti pembangkang juga parti yang sah dan dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihan raya.

Terbaru, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membatalkan semua kelulusan projek kerajaan tempatan di kawasan Parlimen di mana BN tewas. Ini adalah mengikut pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah jabatan Kerajaan Tempatan, Abu Bakar Johar, yang bertarikh 17 Mac.

Arahan itu meliputi semua projek BP 1 yang menurut laman web KPKT, merujuk kepada projek-projek infrastruktur berskala kecil di peringkat majlis. Keputusan itu dibuat pada mesyuarat 9 Mac lalu untuk "penyelarasan peruntukan projek BP 1 2017" yang dihadiri oleh Menteri KPKT, Tan Sri Noh Omar bersama datuk bandar dan yang dipertua pihak berkuasa tempatan Malaysia.

Wakil rakyat pembangkang tidak kisah, jika perlaksanaan projek  diberikan  kepada kontraktor tegar Umno, asalkan manfaat untuk rakyat.  Kesianlah kepada rakyat yang berada di dalam  kawasan Parlimen pembangkang. Mereka juga pembayar cukai, tiba-tiba manfaat tidak diperoleh oleh mereka. Apa dosa mereka? Kerajaan BN perlu ingat, bukan semua mereka ini menyokong pembangkang, ada juga yang masih tegar menyokong BN.

Tindakan ini menambah lagi "khazanah alam", diskriminasi  kerajaan BN terhadap parti yang tidak sealiran dengan BN. Selama ini peruntukan untuk Ahli Parlimen sebanyak RM1 juta setahun tidak diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang menang, sebaliknya diserah kuasa kepada Ketua Umno bahagian.

Insya-Allah di dalam PRU akan datang mereka yang selama ini menyokong BN akan menolak BN. – HARAKAHDAILY 20/4/2017