26
Wed, Jul
17 Artikel Baru

Berita

TAHNIAH kepada warga peneroka Felda yang menerima 'durian runtuh' selepas pengumuman insentif khas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Julai.

Pengumuman itu menandakan bahawa Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) sudah hampir tiba. Malah dengan habuan yang agak besar itu Umno mengharapkan peneroka Felda akan terus menjadi benteng akhir mereka untuk berkuasa dan terus menerus menyeleweng selain membiarkan rasuah berleluasa.

Penanda aras bahawa Umno terpaksa memberi umpan besar besaran buat fixed deposit mereka iaitu Felda yang mana mereka mungkin boleh menguasai 54 kerusi Parlimen dengan cara ini.

RoslanMEKami di NGO Generasi ingin sekali menegaskan bahawa habuan sedemikian bakal memberi kesan, namun dalam masa yang sama peneroka Felda diharapkan tidak termakan umpan sebesar itu apatah lagi jika diingatkan semula bahawa Umno melalui pelbagai cara telah menjahanamkan kantung wang peneroka Felda.

Ia tidak termasuk lagi beberapa projek besar bawah FGV dan Felda yang telah memangsakan warga Felda di samping penipuan besar dalam isu hasil warga Felda.

Malah penipuan Umno BN ini tidak mengejutkan kami sebagai anak generasi kedua Felda sebaliknya kami melihat ia satu keterdesakan Umno BN yang terpaksa menggunakan wang untuk memancing semula undi peneroka selepas melihat kebangkitan anak muda generasi Felda yang tidak lagi mahu bersama Umno.

Suka kami ingatkan bahawa Umno BN yang menerajui negara masih tidak menyelesaikan lagi isu perumahan generasi kedua Felda yang dicanang selama ini.

Kami pasti bahawa selepas satu desakan dari pihak kami,  maka Umno akan bertindak mengumumkan pula peruntukan tambahan buat perumahan PGBF itu.

Ingatlah bahawa segalanya yang diumumkan ini menandakan ia umpan besar atas keterdesakan, maka sebagai warga Felda yang matang dan bijaksana, umpan yang didepan mata boleh dimakan tetapi usah tersangkut di dalam perut kerana akibatnya selepas ini peneroka akan terus menjadi mangsa pelbagai pendekatan gila pasca PRU14 andai kerajaan Umno BN terus memerintah negara.

Ambil habuan,  tetapi usah ada rasa bersalah atau terhutang budi,  kerana Umno BN telah lama berhutang dengan peneroka Felda.

Memangkin Impian Generasi

USTAZ ROSLAN MD ESA
Presiden Generasi

1. TINDAKAN Israel yang telah menutup, mengawal ketat  dan mengenakan pelbagai sekatan terhadap kemasukan orang Islam untuk beribadah di Masjid Al Aqsa adalah perbuatan yang sungguh biadab dan telah mencabuli hak asasi umat Islam Palestin.
Masjid Al Aqsa merupakan kiblat pertama penganut agama Islam, maka segala bentuk gangguan dan halangan yang dikenakan oleh Israel ini adalah provokasi yang sengaja dilakukan bagi menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

nasrudin2. Akibat daripada tindakan Zionis dan negara haram Yahudi itu, suasana ketegangan terus berlaku di Masjid Al-Aqsa dan kawasan sekitarnya sehingga telah menyebabkan kematian tiga orang remaja Palestin dan lebih 900 orang tercedera.

3. Walaupun Israel sudah mencabut alat pengesan logam di pintu masuk Masjid Al Aqsa tetapi pada masa sama kabinet Israel telah meluluskan peruntukan sebanyak 28 juta USD bagi memasang kamera keselamatan dan peralatan canggih. Ia bertujuan untuk memantau kemasukan dan pengecaman terhadap setiap individu ke masjid tersebut.
Hal ini jelas menunjukkan Israel begitu angkuh dengan kuasanya dan mahu mendominasi sepenuhnya kawasan suci umat Islam tersebut walaupun perbuatan sedemikian bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

4. Justeru, Ahli Parlimen PAS yang diwakili  oleh Ahli Parlimen Temerloh, Ustaz Nasrudin Hassan akan menghantar Usul Tergempar kepada Tan Sri Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Rabu, 26 Julai 2017 agar Parlimen Malaysia dapat membuat suatu ketetapan dan pendirian tegas yang mengutuk sekerasnya tindakan Israel dan Zionis yang berterusan menindas umat Islam Palestin.

Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
25 Julai 2017

MASJID Al-Aqsa dan sekitarnya yang merupakan tapak suci milik umat Islam sedang berterusan menghadapi tekanan daripada Zionis yang membuka negara haram Yahudi di atas tanah milik Palestin.

Tindakan provokatif dan tidak menghormati perundangan antarabangsa ini sewajarnya mendapat respon daripada umat Islam di seluruh belahan dunia.

Mutakhir ini, Masjid Al-Aqsa ditutup dan disekat daripada dimasuki oleh orang-orang Islam untuk beribadah di dalamnya kononnya atas nama mencegah keganasan. Sedangkan tindakan itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa, bertentangan dengan nilai sejagat dan mencabuli hak kebebasan manusia. Akibatnya, nyawa umat Islam menjadi korbannya.

Masjid Al-Aqsa adalah tempat ibadah bagi umat Islam dan ia adalah hak asasi bagi umat Islam di seluruh dunia untuk menunaikan kewajipan di dalamnya. Justeru, mengapa perlu ada sekatan terhadapnya seperti yang berlaku hari ini?

Adalah amat mustahak untuk Malaysia mengangkat isu keamanan dan keselamatan Masjid Al-Aqsa dan Palestin ini ke peringkat rantau Asia Tenggara sesuai dengan kedudukannya yang dihormati dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Oleh demikian, saya mencadangkan agar Kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan, mengambil kesempatan daripada penganjuran Sukan SEA 2017 yang akan diadakan pada 19 hingga 30 Ogos akan datang untuk melebarluaskan mesej keamanan dan keselamatan buat Masjid Al-Aqsa dan Palestin.

Sukan yang melibatkan 11 buah negara dan lebih 20,000 sukarelawan ini adalah platfom terbaik untuk mencetuskan kesedaran dan tindakan di rantau Asia Tenggara bagi menangani isu ini yang telah telah berlanjutan buat sekian lama.

Sekiranya Inisiatif Hijau (Green Initiatives) yang digerakkan menerusi penganjuran sukan ini adalah bertujuan menyelamatkan alam sekitar, mesej keamanan dan keselamatan buat Masjid Al-Aqsa dan Palestin pula adalah demi menyelamatkan maruah dan nyawa manusia. – HARAKAHDAILY 25/6/2017

ALHAMDULILLAH, kita sekali lagi mengucapkan syukur kepada Allah SWT dan tahniah kepada pihak kementerian kerana berjaya mengadakan pindaan terhadap akta yang cukup penting untuk kita memastikan terutama kebajikan kepada institusi keluarga. Satu institusi yang cukup penting dalam membina sebuah negara yang berjaya. Kita mengharapkan dengan pindaan akta ini supaya kita dapat menangani segala isu-isu yang berbangkit terutama yang melibatkan keganasan rumah tangga yang kita melihat statistiknya 74 peratus adalah melibatkan mangsa di kalangan kaum wanita dengan kita tidak menafikan 26 peratus mangsanya adalah di kalangan kaum lelaki.

ZAILAHIni bermakna akta ini bukan semata-mata untuk membela wanita malah membela kedua-dua tidak kira lelaki dan wanita dan kita mengharapkan kerjasama daripada seluruh masyarakat untuk memastikan pindaan yang kita buat ini, akta yang kita buat ini benar-benar dapat menjadi penyelesaian terhadap pelbagai isu terutamanya yang berkaitan dengan keganasan rumah tangga.

Institusi perkahwinan adalah institusi yang cukup penting. Satu ikatan yang ikhlas, yang suci, yang diikat dengan ikatan perkahwinan semata-mata untuk mendapat kalau dalam Islam untuk mendapat redha Allah SWT. Seharusnya perkahwinan ini adalah satu yang boleh mencapai kebahagiaan antara dua insan dan bukannya meletakkan keganasan menjadi perkara yang menjadi isu dalam keluarga. Ini kerana isu ganas ini tidak sepatutnya berlaku pada insan. Sepatutnya isu ganas ini berlaku pada binatang ataupun makhluk yang bukan manusia. Akan tetapi hari ini apabila manusia tidak berpegang kepada agama, kita melihat bagaimana institusi ini begitu parah dan paling malang sekali mangsanya adalah di kalangan anak-anak. Ramai anak-anak yang terabai hasil daripada keganasan dan membawa kepada penceraian rumah tangga.

Angka 15,617 keluarga yang terlibat dengan keganasan dalam tempoh dua tahun daripada tahun 2014 sehingga 2016 adalah satu angka yang cukup besar. Maknanya purata kita melihat di sini 650 kes sebulan ataupun lebih daripada 21 kes sehari. Angka ini mungkin akan bertambah lagi dalam masa-masa yang akan datang. Jadi pindaan rang undang-undang ini cukup tepat dengan keadaan yang masih ada pada hari ini. Cuma saya ingin penjelasan di sini ialah sejauh mana kementerian melihat pindaan akta ini menjadi penyelesaian yang menyeluruh terhadap permasalahan yang ada. Ini kerana kita lihat banyak perkara yang tidak hanya selesai dengan undang-undang. Banyak perkara yang perlu selesai dengan melalui pendidikan, melalui ilmu kefahaman yang perlu kita terapkan terutama di kalangan pasangan atau keluarga yang terlibat.

Merujuk kepada akta yang telah dipinda, saya ingin penjelasan sejauh mana perkara ini, undang-undang yang telah digubal ini dapat memberi pembelaan terhadap terutama kepada kaum wanita khususnya. Saya bagi contoh sekiranya suami di penjara dan dikenakan hukuman sebagai mana yang disebut dalam undang-undang ini. Apabila suami ataupun isteri yang terlibat dengan kesalahan ini, mana-mana orang yang terlibat, mereka akan didenda tidak melebihi RM2,000 atau di penjara dalam tempoh tidak melebihi enam bulan ataupun mana-mana sengaja melanggar perintah, diberi denda sebanyak RM4,000 atau penjara ataupun selama tidak lebih daripada satu tahun. Ketiga, di penjara tidak lebih daripada dua tahun dan juga didenda tidak melebihi RM5,000. Ini pelanggaran terhadap perlindungan perintah. Jadi saya ingin tahu sejauh mana undang-undang yang kita tetapkan ini dapat betul-betul boleh memberi pengajaran kepada pesalah. Mungkin pesalah yang melakukan keganasan ini orang yang kaya, orang yang berharta. Bagi mereka denda RM2,000 dan RM5,000 ini tidak ada apa-apa. Jadi sudah tentulah tidak memberi kesan terhadap penyelesaian.

Jadi saya ingin tahu sejauh mana undang-undang ini dilihat dapat menyelesaikan segala masalah. Bagi yang melibatkan keluarga-keluarga miskin, adakah ada inisiatif daripada kerajaan untuk memberi elaun kepada mangsa-mangsa yang terlibat terutama isteri ataupun keluarga yang menjadi mangsa penderaan oleh suami yang ganas yang mereka tidak boleh mencari sara hidup sendiri. Jadi dalam keadaan apabila suami di penjara, ibu pula dalam keadaan mungkin cedera kerana keganasan, maka anak-anak terabai. Jadi dalam keadaan ini, apakah satu alternatif bagi keluarga ini untuk menyara kehidupan mereka dalam keadaan suasana keluarga yang dalam bermasalah seperti ini.

Saya ingin tahu juga sekiranya kes ini berulang, sekiranya keganasan ini berlaku berulang kali, jadi apakah tindakan yang akan dilakukan kepada pesalah? Apakah solusi terhadap permasalahan yang ada? Adakah akhirnya keluarga ini akan bercerai ataupun sebagainya.

Ini saya ingin jawapan daripada pihak kementerian. Saya ingin tahu juga apakah wanita boleh menuntut pampasan atau kerugian daripada pihak suami sekiranya disebabkan keganasan dilakukan menyebabkan kecacatan. Saya bagi contoh ada satu kes seorang wanita yang didera oleh suami sehingga membawa kepada maut. Satu kes yang cukup menyentuh hati. Ini akibat daripada suami yang mungkin terlibat dengan masalah mental, ada juga mungkin terlibat dengan dadah dan sebagainya. Dia baling isteri dia melalui tingkap, ini kes real sehingga patah tulang tengkuk dan perkara ini diketahui lebih daripada setengah hari makna lebih kurang enam jam selepas berlaku baru jiran dia sedar. Maknanya isteri dia pengsan terus. Jadi apabila perkara ini dibawa ke hospital dan setelah beberapa bulan di hospital dirawat, akhirnya isteri dia meninggal dunia yang menjadi mangsa adalah anak-anak.

Jadi amat malang sekiranya perkara ini berlaku. Sekiranya berlaku isu-isu yang seperti ini apakah pampasan ataupun ganti rugi ataupun apa yang patut oleh pihak isteri supaya maknanya keganasan yang dilakukan ini yang boleh membawa kecacatan kekal dan sebagainya. Jadi saya ingin penjelasan daripada pihak Yang Berhormat Menteri dan sekiranya berlaku saya ingin tahu juga berlakunya unsur penipuan.

Dalam dunia akhir zaman ini bermacam-macam orang boleh buat. Ada yang mungkin curang dengan suami. Dia sengaja membuat kes-kes penipuan mengatakan dia didera dengan suami kerana dia hendak suaminya menceraikan dia, sedangkan suaminya tidak pukul dia mungkin dia boleh buat macam-macam supaya nampak bahawa ada kesan-kesan.

Jadi di sini dalam kes ini apakah selain daripada laporan yang dibuat oleh isteri, saksi-saksi apakah perlu untuk memastikan bahawa pengadu itu tidak melakukan penipuan apabila didakwa dia didera supaya tidak ada berlaku penipuan dan apakah suami juga akan dikenakan tindakan dengan cara lain untuk mengesahkan.

Kalaulah suami dia itu tidak bersalah, sekiranya dibawa ke mahkamah alhamdulillah perkara ini tidak dibuktikan bersalah tetapi sekiranya mungkin suaminya kerana pandai pujuk rayu, pandai dia buat helah menyebabkan suaminya ataupun pasangannya dijatuhkan hukuman, jadi apakah tindakan adakah prosedur dalam undang-undang ini untuk kes-kes yang saya sebutkan seperti ini.

Begitu juga saya ingin penjelasan berkaitan dengan pasangan kurang upaya, orang OKU yang mungkin berlaku juga keganasan di kalangan pasangan bisu. Pasangan bisu ataupun pasangan pekak ataupun pasangan yang cacat penglihatan. Jadi mungkin maknanya macam mana pembuktian yang membuktikan mereka ini hendak mengadu, hendak memberitahu, hendak membawa maklumat ini kepada pegawai kebajikan sebab mereka tidak boleh berbicara macam orang biasa. Jadi apa prosedur yang dibuat dalam undang-undang ini untuk memastikan golongan ataupun pasangan seperti ini juga mendapat pembelaan yang sepatutnya.

Seterusnya saya ingin tahu tentang persediaan pegawai sebab kita tahu dalam menangani isu yang berkaitan dengan keganasan rumah tangga ini bukan mudah sebagaimana isu-isu yang lain sebab ia melibatkan sentimen kekeluargaan dan sudah tentulah pasangan yang mengalami ini akhirnya tidak mustahil akan membawa kepada perceraian selepas di penjara dan sebagainya. Mungkin suaminya sudah tawar hati atau isterinya dan sebagainya dan akhirnya berlaku perceraian jadinya mangsa kanak-kanak.

Jadi saya ingin tahu apakah prosedur latihan khusus diberi kepada pegawai kebajikan masyarakat ataupun pihak polis yang akan mengendalikan keganasan ini sebab kadang-kadang mereka memerlukan juga bimbingan, kaunseling dan sebagainya untuk memastikan supaya tidak berlaku lebih ganas lagi. Takut-takut selepas daripada itu dia akan ulang dengan keadaan dendam yang lebih teruk lagi.

Jadi perkara ini perlu kita beri perhatian yang serius. Kalau kita lihat dalam Islam mengajar kita dalam apabila berlaku pertembungan masalah kekeluargaan ini patutnya pihak ibu bapa sama ada pihak ibu bapa sendiri ataupun mertua seharusnya memainkan peranan.

Jadi di sini adakah pihak dalam akta ini mengambil perhatian terhadap peranan keluarga ataupun pihak ketiga dalam keluarga ataupun pihak ibu bapa kedua-dua pasangan ini untuk memastikan keluarga ini tidak terus menjadi mangsa keganasan.

Saya mengambil kesempatan ini juga terutama untuk kita sebagai ibu menasihatkan kepada anak-anak muda yang berkahwin supaya kita kena bina rumah tangga ini dengan rasa “mawaddah warahmah”, rasa kasih sayang kerana Allah. Itu sangat penting jangan jadikan kebiasaan menggunakan tangan ataupun penampar ataupun menggunakan aksi fizikal yang ganas untuk menyelesaikan apa-apa isu. Jadi dalam inilah perlunya pendidikan daripada rumah.

Jadi untuk penyelesaian terhadap semua ini rang undang-undang sangat penting, akta juga penting tetapi ia bukanlah penyelesaian terhadap segala-galanya. Ia perlu bermula daripada pendidikan agama dan saya mengharapkan insya-Allah kerajaan boleh menyusun program-program pendidikan rumah tangga ini lebih kerap tidak cukup hanya dua hari kursus untuk mendapat sijil sebelum berkahwin tetapi kita mengadakan program berkala.

Program keibubapaan, program untuk melahirkan kasih sayang sebagaimana kita buat di Kelantan, program hari suami isteri. Mungkin kita boleh buat di peringkat negara untuk melahirkan rasa mawaddah kasih sayang di antara suami dan isteri kita mungkin programkannya untuk merapatkan lagi ukhuwah dan kasih sayang, saling bertanggungjawab, suami ada peranannya, isteri ada peranannya, ibu bapa juga ada peranannya supaya kita dapat melahirkan keluarga yang mawaddah, keluarga yang sentiasa diberkati oleh Allah yang akan menjadi tempat berlindung anak-anak dan untuk membimbing generasi masa depan.

Ucapan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff semasa membahaskan Rang Undang-undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 di Dewan Rakyat pada 24 Julai 2017.

1. PADA petang ini, Rang Undang-Undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 telah diluluskan setelah melalui proses Bacaan Kali Kedua dan Ketiga.
Tujuan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) ini dipinda adalah untuk:
(a) Mempertingkatkan perlindungan kepada mangsa dengan mengadakan peruntukan:
(i) Bagi perintah perlindungan kecemasan sebagai tambahan kepada perintah perlindungan interim dan perintah perlindungan sedia ada; dan
(ii) perluasan tafsiran keganasan rumah tangga untuk membolehkan mangsa mendapat perintah perlindungan interim dan perintah perlindungan
(b) Membantu memulihkan institusi kekeluargaan dengan mengadakan program pemulihan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Hajah Rohani binti Abdul Karim, ketika membentangkan RUU ini ada menyatakan statistik Polis Diraja Malaysia, bermula pada tahun 2014 sehingga Disember 2016, sebanyak 15,617 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan. Daripada jumlah ini, sebanyak 74 peratus adalah mangsa wanita dan selebihnya 26 peratus adalah mangsa lelaki termasuk suami.

2. Seramai 3 orang Ahli Parlimen PAS iaitu YB Rantau Panjang, YB Bukit Gantang, dan YB Temerloh membahaskan RUU ini.
Para Ahli Parlimen PAS yang berbahas telah menyuarakan perspektif Islam dalam menyelesaikan masalah keganasan rumah tangga.

YB Rantau Panjang memohon penjelasan sejauh mana pindaan akta ini menjadi penyelesaian yang menyeluruh terhadap permasalahan yang ada dan memberi pembelaan terhadap terutama kepada kaum wanita khususnya.
Beliau berpandangan selain daripada undang-undang, penyelesaian dengan melalui pendidikan dan kefahaman turut perlu diutamakan.

3. YB Rantau Panjang turut menyatakan dalam Islam mengajar kita apabila berlaku pertembungan masalah kekeluargaan ini sepatutnya pihak ibu bapa sama ada pihak ibu bapa sendiri ataupun mertua seharusnya memainkan peranan untuk memastikan keluarga ini tidak terus menjadi mangsa keganasan.

Beliau turut menasihatkan kepada anak-anak muda yang berkahwin supaya membina rumah tangga dengan rasa “mawaddah warahmah”, rasa kasih sayang kerana Allah.
Itu sangat penting jangan jadikan kebiasaan menggunakan tangan ataupun penampar ataupun menggunakan aksi fizikal yang ganas untuk menyelesaikan apa-apa isu. Jadi dalam inilah perlunya pendidikan daripada rumah.

4. Beliau berpandangan pendidikan agama amat penting dan mengharapkan kerajaan boleh menyusun program-program pendidikan rumah tangga secara berkala selain daripada kursus praperkahwinan.
Sebagai contoh, program yang telah dibuat di Kelantan iaitu Hari Suami Isteri dapat dilaksanakan di peringkat negara untuk melahirkan rasa mawaddah kasih sayang di antara suami dan isteri.

5. YB Bukit Gantang pula dalam perbahasan beliau menyatakan antara punca berlakunya keganasan rumah tangga ialah sikap ego lelaki, bahana alkohol dan dadah, kurang pegangan agama, masalah ekonomi, berkahwin lebih tetapi tidak mampu, dan peranan pihak ketiga.

6. YB Temerloh pula menyatakan betapa pentingnya hak dan tanggungjawab dilaksanakan oleh pasangan suami isteri bagi mengelakkan keretakan institusi keluarga.
Antara punca utama keganasan rumah tangga ialah pengambilan alkohol dan dadah. Beliau mendesak agar Kerajaan mengawal ketat penjualan alkohol yang menjadi punca kepada segala kemungkaran. Pengedaran dadah yang masih berleluasa turut perlu diberi perhatian serius agar punca kepada masalah ini dapat diselesaikan, bukan sekadar meminda undang-undang sahaja.

Catatan oleh:
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
25 Julai 2017

ANTARA pemerhatian yang sangat penting pasca Ijtima AntaraBangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia (IAPU) pada tahun ini ialah 10 resolusi yang telah diisytiharkan dalam persidangan Nadwah Ulama Antarabangsa. Pengisytiharan 10 Resolusi Nadwah Ulama Antarabangsa tersebut harus diberi penumpuan khusus oleh setiap yang telah menumpukan pemerhatian sepanjang berlangsungnya IPU.

Sebanyak 10 resolusi tersebut harus diberi satu lonjakan strategik agar ia tidak hanya menjadi resolusi yang hanya dilulus dan diisytihar di atas kertas. Apatah lagi ia punyai siknifikan tersendiri bilamana ia telah disepakati oleh gerakan Islam serantau tatkala umat Islam berhadapan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi.

Tidak hanya ujian yang berbentuk fizikal yang memakan darah dan nyawa, lebih dari itu umat Islam ketika ini berhadapan dengan pelbagai mehnah dalam pembentukan nilai-nilai pemikiran.

Mampukah umat Islam bertahan dengan asakan pemikiran yang pelbagai hari ini yang mensasarkan umat Islam kian jauh dari Islam? 10 resolusi yang diluluskan punyai kekuatan tersendiri dan ia harus dicerna dengan penuh strategi agar kesannya mampu menjadi benteng buat umat Islam mempertahankan diri dan aqidah.

Secara umumnya saya suka memberi perhatian kepada beberapa aspek dari 10 resolusi tersebut. Ia mencakupi sudut pandang antarabangsa, kepelbagaian segmen dalam masyarakat, cabaran semasa umat Islam dalam memahami Islam dan peranan ulama dalam mencetus perubahan.

Kekuatan IAPU yang menghimpunkan gerakan Islam serantau harus menyediakan suatu alternatif kepada dunia bagi memastikan Islam dilihat sebagai penyelesaian kepada seluruh isu kehidupan. Kerangka dan struktur dunia hari ini perlu disesuaikan dengan syariat seberapa mampu yang dapat. Sekurang-kurangnya umat Islam mampu menampilkan suatu contoh untuk dilihat dan diikut.

Sebagai contoh, gerakan Islam sangat perlu memberi perhatian terhadap komitmen masyarakat antarabangsa dalam pelbagai perundangan yang turut mengikat negara-negara umat Islam. Antara yang sangat diberi perhatian termasuklah Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women atau disebut CEDAW, Convention on the Rights of the Child atau CRC, dan Convention On The Rights Of Person With Disabilities atau disebut CRPD.

Negara-negara umat Islam tidak hanya sekadar menuruti program dan ketentuan negara-negara yang berkuasa dengan membelakangi kepentingan Islam dan syariat. Gerakan Islam harus berpadu menerusi persetujuan mengadakan sekretariat khusus bagi mengenengahkan pandangan dan cadangan penyelesaian di dalam Islam.

Ia termasuklah dalam hal-hal yang berkaitan warga emas, wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya. Sangat diperlukan dewasa ini cadangan-cadangan penyelesaian yang bersifat konstruktif dan terserlah dalam pelbagai isu dan permasalahan masyarakat.

Begitu juga dalam menyantuni cabaran kumpulan-kumpulan rentan yang disebutkan di atas, sekretariat baru kelak dan gerakan Islam secara umumnya harus mampu menangani program-program antarabangsa yang telah dimulai dengan Millennium Development Goals’ MDGS yang berakhir 2015 lalu. MDGS pada waktu ini telah digantikan dengan Sustainable Development Goals SDG yang meliputi 17 sasaran yang saling berkaitan.

Kesatuan gerakan Islam seharusnya mampu menyantuni pelbagai segmen komuniti yang ada dalam masyarakat secara lebih dekat. Bebunga indah yang terdapat di dalam khazanah dan sumber syariat perlu dibajai hingga buahnya mampu dirasai oleh komuniti yang pelbagai.

Dalam pada itu, cabaran pemikiran yang melanda umat dewasa ini memerlukan pelarasan gerak kerja yang lebih berstrategik. Kepelbagaian gerakan Islam kadangkala hanya menumpukan segmen-segmen komuniti yang terhad dan terbatas.

Kepelbagaian kumpulan yang ada harus diselaraskan dan mampu disatukan agar penggembelingan tenaga dan sumber akan lebih cekap dan berkesan. Hal ini juga wajar menjadi perhatian sekretariat ummah kelak agar Islam terampil sebagai penyelesaian.

Dari situlah kita akan mampu menyerlahkan dan menzahirkan corak kehidupan dan penyelesaian isu secara lebih menepati syariat. Peranan para alim dan ulama dalam menyelongkar dan mengkaji sumber dan khazanah Islam perlu disusun atur agar tenaga yang ada tidak hanya berperanan di medan-medan yang terhad dan terbatas.

Islam itu harus dirasai oleh setiap jiwa insan. Kekuatan gabungan gerakan Islam yang telah dirintis sedapat mungkin perlu dijadikan satu gerakan strategik untuk menzahirkan syariat.

Bukanlah masanya lagi untuk kita menyatakan Islam ada itu dan ini sedang perlaksanaan penyelesaian permasalahan di tangan mereka yang lain. Kalau pun kita belum mampu menguasai seluruh keadaan, memadailah kita usahakan alternatif untuk ditawarkan. – HARAKAHDAILY 25/7/2017

RASANYA Perdana Menteri dan Datuk Mustapa Mohamed tak perlu meletakkan syarat BN tawan Kelantan sebagai umpan untuk menawarkan pelbagai limpahan projek pembangunan kepada Kelantan.

Sehingga ke detik dan saat ini, Kelantan masih sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia. Orang Kelantan membayar pelbagai cukai dan hasil kepada Kerajaan Persekutuan. Orang Kelantan juga menyumbang pelbagai tenaga dan kepakaran untuk Kerajaan Persekutuan.

Di Kelantan ada Jabatan Persekutuan dan Jabatan Kerajaan Negeri. Ada jalan persekutuan dan ada jalan negeri walau kualiti jalan persekutuan di Kelantan khususnya yang menghubungkan Kota Bharu ke sempadan Terengganu di Bukit Yong kelihatan tak sepadan dengan tarafnya sebagai jalan persekutuan. Beza yang sangat ketara antara kualiti jalan persekutuan di sebelah sempadan Negeri Terengganu berbanding Kelantan padahal ia dibina oleh Kerajaan Persekutuan yang sama. Saya adalah salah seorang pengguna tegar laluan ini dengan kekerapan biasa dua kali sehari.

Dr Azman2Pernah saya bawa seorang tetamu Mindanao melalui jalan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu yang secara spontan bertanya kenapa keadaan jalan tiba-tiba berubah selepas melintasi sempadan Kelantan - Terengganu di Bukit Yong. Kata tetamu ini, "Kalau di tempat kami di Mindanao, jalan yang melalui kampung orang Kristian cantik sebaliknya jalan yang melalui kampung orang Islam sangat teruk walau ia sebenarnya sebatang jalan yang sama." Saya hanya senyum.

Walau Kelantan diperintah oleh PAS, Kerajaan Kelantan tentunya sedia bekerjasama sepenuhnya dengan Kerajaan Persekutuan demi membangunkan Kelantan. Contohnya Kerajaan Kelantan telah bersetuju untuk menjadikan kawasan pantai Bachok sebagai tempat industri gas tetapi akhirnya kerajaan Umno/BN pimpinan Mahathir mendaratkan gas yang dilombong dari perairan Kelantan ke Songkhla, Thailand yang jaraknya kira-kira 270 km dari pelantar carigali gas berkenaan berbanding dengan jarak untuk ke Pantai Bachok hanya 170 km. Saya pernah berkesempatan hadir memberikan kuliah di pelantar gas yang dimaksudkan. Sebab itu saya tahu jaraknya dari pantai Kelantan. Saya juga mengesahkan bahawa pelantar gas berkenaan berada dalam perairan Kelantan.

Lebuhraya Pantai Timur setakat ini hanya melalui negeri Pahang dan Terengganu sahaja. Sedangkan sedia maklum bahawa yang dimaksudkan dengan negeri Pantai Timur ialah Pahang, Terengganu dan Kelantan. Kenapa tak disambung sampai ke Kelantan?

Umum sedia maklum, jumlah penerbangan sehari di Lapangan Terbang Kota Bharu ke pelbagai destinasi mencecah 47 penerbangan berbanding hanya 7 penerbangan sahaja sehari di Lapangan Terbang Kuala Terengganu. Tapi kalau banding saiz lapangan terbang dan kemudahan serta kelengkapan, tentunya Lapangan Terbang Kuala Terengganu jauh meninggalkan Kota Bharu. Kita tak pertikaikan projek pembesaran dan pemodenan Lapangan Terbang Kuala Terengganu tetapi persoalannya kenapa Lapangan Terbang Kota Bharu tidak dibesarkan dan dimodenkan sama berdasarkan keperluan?

Saya buat bandingan antara Kelantan dan Terengganu kerana dua negeri ini mempunyai latar belakang masyarakat dan sosioekonomi yang hampir sama serta hubungan yang dekat dan erat lalu saling memerlukan.

Pembangunan mesti dibina berdasarkan keperluan, bukan meletakkan sentimen perbezaan politik sebagai alasan.

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
25 Julai 2017 - HARAKAHDAILY 25/7/2017

1. HARI ini bermulanya Mesyuarat Kedua Sidang Dewan Rakyat bagi Penggal Kelima Parlimen Ketiga Belas.
Setiap kali sidang dewan, para Ahli Parlimen dibenarkan untuk menghantar 10 soalan bagi jawapan lisan dan 5 soalan bagi jawapan bertulis yang perlu dijawab oleh pihak Kerajaan.

2. Parlimen merupakan institusi agung bagi setiap negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Di sinilah para ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang boleh duduk bersemuka, bertanya, berbahas hal yang berkait dengan undang-undang negara dan isu semasa rakyat.

3. Parlimen adalah cabang ketiga selain daripada Eksekutif (Kerajaan) dan Judisiari (Mahkamah) yang sepatutnya bergerak seiring dengan prinsip pemisahan kuasa (separation of power).
Sepertimana yang diamalkan di negara-negara maju, di Parlimen sepatutnya pihak Kerajaan dengan beraninya mengemukakan dasar, memberikan penjelasan dan menjawab segala tuduhan yang dikemukakan oleh Pembangkang.

4. Namun, di Malaysia ini agak aneh lagi pelik kerana pihak Kerajaan mempergunakan institusi Parlimen untuk menyelindungkan rahsia di sebalik 1MDB.
Apa sahaja soalan yang dikemukan oleh Ahli Dewan yang mempunyai perkataan "1MDB" dan "DOJ" telah ditolak oleh Dewan atas alasan kononnya ia bersifat sangkaan jahat, andaian, subjudice, sinis, dan menyakitkan hati. Lawak bukan?

5. Kerajaan sering mendakwa 1 MDB ini tidak ada salah, ia menjadi mangsa fitnah bagaikan masih suci lagi mulia, tetapi mengapa pula pihak Kerajaan kelihatannya begitu takut untuk tampil mengemukakan jawapan bagi menghuraikan kekusutan yang berlaku?

6. Untuk rekod, terdapat 7 soalan Ahli Parlimen PAS yang telah ditolak dan enggan dijawab oleh Kerajaan.
Soalan ini dikemukakan oleh YB Marang, Bukit Gantang, Kota Bharu, Temerloh, Kuala Nerus, Kubang Kerian dan Pokok Sena.
Saya lampirkan di sini senarai soalan dan juga surat balas daripada Parlimen yang menyatakan penolakan soalan ini.
Ia penting agar dapat lah menjawab tohmahan pimpinan Pakatan Harapan kononnya PAS membisu dalam 1MDB, PAS sudah makan dedak dan PAS menyokong pemimpin zalim.

7. Berikut adalah senarai soalan Ahli Parlimen PAS Yang Ditolak oleh Dewan:

a. YB Dato' Seri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang] minta PERDANA MENTERI menyatakan sejauhmana hasrat kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyelesaikan skandal 1MDB sebagaimana yang dilakukan dalam isu Forex?

b. YB Idris Bin Haji Ahmad [Bukit Gantang] minta PERDANA MENTERI menyatakan bilakah kerajaan hendak menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat isu 1MDB supaya semua pihak berpuas hati apabila laporan ini dibentangkan memandangkan isu ini telah menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat antarabangsa dan menjadi polemik masyarakat.?

c. YB Dato’ Takiyuddin Bin Hassan [KOTA BHARU] minta PERDANA MENTERI nyatakan apakah pendirian serta tindakan Kerajaan berhubung Saman Sivil yang telah diambil oleh DoJ Amerika Syarikat terhadap kepentingan syarikat 1MDB atau sebarang kaitan dengannya?

d. YB Tuan Haji Nasrudin bin Hassan [ Temerloh ] minta PERDANA MENTERI menyatakan bidang kuasa atau peranan dan status siasatan oleh Jabatan Peguam Negara, Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu 1MDB.?

e. YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali [ Kuala Nerus ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan menyatakan status siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung isu ketirisan kewangan 1MDB dan kaitannya dengan siasatan oleh DoJ.?

f. YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali [ Kuala Nerus ] minta PERDANA MENTERI menyatakan justifikasi tidak menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi membolehkan siasatan terhadap kerugian urus niaga oleh 1MDB boleh diteruskan dengan lebih telus dan menyeluruh?

g. YB Ahmad Baihaki Bin Atiqullah minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah langkah-langkah yang telah pihak Kerajaan lakukan, untuk menangani isu-isu yang ditimbulkan oleh pihak Department Of Justice (DOJ) Amerika Syarikat, agar kepercayaan rakyat terhadap kredibiliti Kerajaan tidak terhakis?

Catatan Oleh:
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
24 Julai 2017 - HARAKAHDAILY 24/7/2017

TAHNIAH peneroka Felda atas agihan 'durian runtuh'. Harap dahan pokok durian yang runtuh itu akan menumbuhkan tunas baru dan berbuah semula. Kalau runtuh dan tak tumbuh tunas baru, bimbang tahun depan durian tak berbuah lagi.

Sepanjang saya survey tanya khabar dengan peneroka Felda Selasih di Jabi, tak ada peneroka yang tanya "Felda bagi 5k, apa yang PAS boleh bagi?" Sebab mereka dah cukup faham bahawa PAS bukan kerajaan. Malah kata mereka sepatutnya hak kami untuk dapat lebih banyak lagi.

Seorang tua peneroka asal Felda Selasih berkata, "Apa yang kami dapat dari Felda selama ini, semua kami bayar. Tak ada yang diberi percuma oleh Felda. Walau hanya sebuah kereta sorong dan sebilah sabit yang Felda bagi kepada kami, semua masuk dalam penyata dan kami bayar."

Saya yang bukan anak peneroka boleh memahami apa yang ingin disampaikan oleh peneroka tua tersebut. Walau Felda dah berimejkan sebuah syarikat konglomerat, ia tak dapat lari dari jasa dan bakti seorang peneroka tua seperti beliau.

Masyarakat Felda dah semakin sedar apa hak mereka. Apatah lagi dalam konteks Felda Selasih, di dalam Dewan Undangan Negeri Jabi,  Terengganu. Sebahagian besar geran tanah mereka bertarikh tahun 2003. Mungkin ada orang terlupa bahawa tahun 2003 ialah zaman Kerajaan PAS Terengganu. Kot ada orang yang tak tahu maka sukacita saya maklumkan bahawa walau siapapun yang duduk di Negeri Terengganu atau di mana-mana negeri, kuasa untuk bagi geran hak milik tanah ialah kuasa kerajaan negeri. Kalau Perdana Menteri Malaysia atau Presiden Donald Trump sekalipun mari duduk di Terengganu, kuasa untuk bagi geran hak milik tanah tetap kuasa Kerajaan Terengganu. Jangan ingat geran tanah Felda diberi oleh Felda dan atas geran tersebut ada logo Felda.

Durian runtuh RM5k pemberian Felda perlu disyukuri dan diucapkan terima kasih. Tapi jangan lupa juga jasa Kerajaan PAS Terengganu memberikan hak milik tanah kepada lebih 150 keluarga peneroka di Felda Selasih. Biarlah kita jadi insan yang tahu berterima kasih.

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
24 Julai 2017

PAS menyambut baik pelbagai insentif kerajaan kepada peneroka Felda, dan ia adalah petanda hampirnya Pilihan raya Umum ke-14. 

Sebahagian dari insentif itu akan melegakan peneroka buat seketika, sebelum ianya kembali kepada keadaan asal. Ia ibarat pesakit yang tengah sakit, akan merasa lega apabila diberi ubat penahan sakit.

Pemberian insentif khas sebanyak RM5,000 diterima dengan penuh rasa syukur. Alangkah baiknya kalau pemberian begini dilaksanakan setiap tahun sambutan Hari Peneroka, lebih beruntung kalau ada pilihan raya kecil di kawasan Felda, tentu banyak lagi anugerah yang akan menhujani peneroka.

Manakala sebahagiannya yang lain adalah perisa tambahan bagi menyedapkan makanan. Secara asasnya, budaya menganugerahkan pelbagai pemberian menjelang PRU masih menjadi budaya kerajaan Umno-BN.

Insentif kepada Felda bukanlah lahir dari kajian teliti bagi mengatasi pelbagai masalah rakyat secara mampan. Akibatnya, ia akan hanya menimbulkan pelbagai permasalahan yang lain.

Sebagai contoh, tindakan kerajaan melupuskan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang memilih untuk tanam semula melalui Felda melibatkan peruntukan keseluruhan RM519 juta.

Keputusan itu melahirkan suara kekesalan dari sesetengah peneroka yang berjaya melangsai segala hutang mereka. Apakah mereka tidak layak diberi ganjaran sebagaimana kerajaan memberi ganjaran kepada peminjam hutang pembelian saham FGV?

Kalau kerajaan sanggup memberi kepada 1,626 peneroka yang telah melangsaikan bayaran saham FGV dengan ganjaran tunai RM1,820, bagaimana pula dengan para peneroka yang berjaya melunaskan hutang dengan Felda mengikut jadual?

Memberi anugerah hanya kepada peneroka yang menyerahkannya kepada Felda adalah sesuatu yang sangat tidak adil kerana sekalipun mereka membuat pilihan untuk menanam sendiri, segala hasil ladang mereka juga dihantar ke kilang Felda dan potongan hasil terus dilaksanakan.

Sementara itu, langkah memberi kelulusan kepada warga Felda bagi mendirikan lebih dari sebuah rumah di atas satu tapak adalah satu pengakuan kerajaan secara tidak rasmi akan kegagalannya dalam menyediakan perumahan untuk generasi kedua sebagaimana diwar-warkan sebelum ini.

Apapun, PAS menyokong langkah ini meskipun ia sesuatu yang sepatutnya dibuat dari awal.

Susulan itu, saya menggesa agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan tindakan menyekat bekalan elektrik kepada kedai atau rumah kediaman yang berlaku di wilayah Jengka diharap dapat ditarik balik serta-merta. Tindakan zalim ini bukan sahaja menyekat peluang generasi kedua mencari rezeki, bahkan menyebabkan warga asing dilihat menerima layanan dan kemudahan yang lebih baik dari generasi kedua dan ketiga Felda.

Apapun pemberian anugerah ini, PAS percaya ia tidak akan menjadikan warga Felda menjadi penyambung tali hayat Umno. Kebangkitan warga peneroka sejajar dengan majunya teknologi maklumat tidak mampu dibendung lagi dengan pemberian-pemberian sebegini setiap kali menjelang pilihan raya.

Warga peneroka akan bangkit untuk masa depan warga Felda yang lebih berjaya. Dengan kenaikan kos sara hidup yang mendadak didarab dengan kesedaran politik dan semangat perubahan yang kini ditunjukkan oleh warga Felda khasnya generasi kedua dan ketiga, mereka sedar bahawa pelbagai anugerah ini hanya datang apabila Umno berada di dalam keadaan tersepit atau memerlukan undi mereka.

Apakah anugerah terbaik untuk para peneroka? Berdikari, dan diharap berubah ke PAS, dan kita sama-sama membangun dengan Islam.

Seperti kata Almarhum Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz, PAS lebih gemar menggunakan pendekatan ilmu dalam mengajak orang ramai berkumpul, sebaliknya Umno didakwa menggunakan pendekatan mengagihkan wang untuk menarik perhatian rakyat.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
24 Julai 2017- HARAKAHDAILY 24/7/2017

ANTI Islam yang ditunjukkan DAP bukanlah lagi satu rahsia, iaitu penentangan itu kian kuat dan ketara tanpa mereka dapat selindungkan lagi kepura-puraan dilakukan. Malah, umat Islam di negara ini semakin mengenali sikap DAP lantaran angkuh dan berani campur tangan terhadap hal ehwal Islam, Melayu dan juga urusan Raja-raja secara biadab, kurang ajar dan menghina.

Malangnya, terdapat kalangan orang Islam terutama dalam Pakatan Harapan (PH) yang terlalu memihak, membela, bahkan menyanjung tinggi DAP. Mereka itu sama ada terpesona oleh retorik dan impian bak sarang labah-labah, atau mendakwa mahu menjadikan DAP sebagai sasaran dakwah, atau sebenarnya telah tertelan kenyang segala budi mewah dan enak disuap parti cauvinis itu.

Hinggakan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang dahulu tersohor begitu kuat bermusuhan, kini dilihat sangat akrab, serasi dan saling memasyhurkan antara sesama sendiri. Terbaharu, Mahathir menyifatkan Kit Siang sebagai pendakwah terbaik dan tidak lagi perlu didakwahkan.

Pujian tersebut berikutan dua ayat surah al-Baqarah yang dipetik Ahli Parlimen Gelang Patah itu terhadap Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali. Kit Siang menjadikan ayat 42 dan 60 dari surah tersebut sebagai tempelakan terhadap Apandi yang sebelum itu menjawab kritikan Mahathir berhubung keberaniannya bertindak ke atas isu 1MDB.

Hanya Senjata Politik

Hakikatnya, pendekatan Kit Siang itu hanyalah mainan bibir beliau semata-mata yang sekadar menjadikan ayat al-Quran sebagai hiasan, rencah atau alat untuk mengatasi lawannya secara hawa nafsu. Sedangkan selama ini beliau dan partinya menunjukkan permusuhan yang padu terhadap agenda al-Quran.

Misalnya yang terdekat, apabila Kit Siang menyerang secara bertali arus dan bertubi-tubi kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, juga dalam isu 1MDB. Sedangkan Tuan Guru mengemukakan surat terbuka berupa ingatan agar tidak mengundang campur tangan asing.

Seterusnya disusuli oleh tulisannya menegaskan pendirian PAS bertajuk “Awas! Buta al-Quran”, diikuti artikel berjudul “Selesaikan 1MDB Dengan al-Quran Memandu Perubahan” yang sarat dengan petikan ayat al-Quran berserta huraiannya. Namun, Kit Siang bukan sahaja memahami surat terbuka itu secara salah, tetapi juga paling pantas membentak artikel tulisan tokoh ulama itu.

Beliau secara sinikal mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Abdul Razak kerana berjaya memujuk Presiden PAS untuk menjadi ketua pembelanya dalam isu skandal 1MDB. Malah, artikel berdalil naqli itu dibidas dengan dakwaan Tuan Guru mahu mempertahan dan mewajarkan semua penyalahgunaan serta rasuah kuasa kerajaan Najib.

Penasihat DAP itu bukan sahaja telah mengambil kesempatan membuat tuduhan dan persepsi jahat kepada Presiden PAS, tetapi juga menunjukkan sokongan pembelaannya kepada Tun Mahathir yang terkait dalam tulisan tersebut. Kit Siang juga berterusan memutar belit seruan dan penjelasan mengenai ‘campur tangan asing’.

Emosi meluap-luap Kit Siang kian ketara apabila dalam beberapa hari selepas itu kembali menghamburkan pertikaian kepada Tuan Guru Abdul Hadi. Beliau mempersoal pendirian Presiden PAS itu terhadap tawaran Amerika Syarikat untuk mengembalikan dana yang didakwa diseleweng daripada 1MDB.

Bila Al-Quran Ditentang

Begitu radikal sekali Kit Siang menghadap serangannya terhadap Tuan Guru, walhal dia juga mengecam ulama itu bersikap tidak adil dalam mentafsir isu tersebut. Tetapi di mana adil dan demokratiknya Kit Siang dalam melihat hujah diutarakan Presiden PAS? Bahkan diperlakukannya secara melulu dan membabi buta.

Usah kata Kit Siang mahu merujuk dalil-dalil dikemukakan itu pada mereka yang bertauliah atau membahasnya secara aqli, bahkan langsung tidak menghormati pedoman tertinggi umat Islam itu. Di mana salah Tuan Guru Abdul Hadi untuk berpegang, merujuk dan mengikat pendirian serta keimanannya kepada petunjuk dari tuhannya itu?

Malah, perjuangan PAS selama ini untuk mengadaptasi seluruh kandungan al-Quran itu dalam pemerintahan, telah mendapat penentangan hebat dari DAP. Itu termasuk cuba menghalang dan menggagalkan usaha-usaha berkaitan pelaksanaan kanun syariah yang merupakan perundangan dari al-Quran.

Hingga setiap urusan berhubung kepentingan Islam, DAP turut campur tangan antaranya menjadi dalang belakang tabir kepada kumpulan penentang Islam yang memutar belitkan isi kandungan al-Quran. Hatta Kelantan yang telah lama mempraktikkan pentadbiran Islam juga mahu ‘dirampas’ melalui khadam proksi.

Sibuknya beliau terhadap Tuan Guru, tetapi tidak pula dilihat dirinya yang jelas berdiam, memendam dan menyembunyikan kemarahan popularnya terhadap penyelewengan Mahathir dalam skandal mata wang asing USD10bilion. Skandal tahun 1992 itu diikrar lagi Kit Siang pada tahun 2012 untuk dibuka penyiasatan.

Bahkan, segala rantaian isu kewangan di zaman Mahathir antaranya skandal Bumiputra Malaysia (BMF), Perwaja Steel, Tabung Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, Petronas, Skyhawk, Maika Holdings, Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan lainnya, langsung tidak pernah disebut Kit Siang.

Mendustai Kalam Allah

Terlalu banyak untuk dinyatakan mengenai trauma dan fobia cuba dimomokkan DAP terhadap hal ehwal Islam yang dizahirkan melalui panduan al-Quran. Tetapi paling ketara adalah golongan tertipu yang mudah kagum melihat sepatah dua ayat al-Quran menjadi titipan bibir kaum kufar.

Lebih malang, didokong oleh individu tertentu atas jawatan ‘Penasihat Syariah’ dan sewaktunya secara komparatif luar konteks dan tidak menjejak permasalahan dibicarakan. Paling mengharukan, mereka sebenarnya membiarkan kalam Allah diperolok oleh lakonan golongan sesat yang sombong kepada Allah.

Jika mereka jujur dengan keimanan kepada Allah, cukup dengan mengambil dua ayat dipetik Kit Siang tersebut untuk dilihat hakikat penyataan Allah itu terhadap tindak tanduk DAP. Jika tidak mampu mengungkapkan kebenaran, ada baiknya diam sahaja dari ghairah memuji kerana mengampu bodek si ‘Tuan Besar’.

Juga jika tidak diucapan kalian, cukuplah dihati mengakui bahawa ulama dengan takwa pada dirinya telah mengagung dan mengambil al-Quran sebagai petunjuk yang memandu kebijaksanaan hidup, hingga merasa kebesaran dan keimanan kepada Allah, lalu mereka berlari menuju wawasan Hari Akhirat bersama segala janji-Nya.

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Kami telah mengutuskan para utusan Kami dengan keterangan-keterangan yang jelas dan Kami turunkan bersama mereka al-Kitab dan neraca agar umat manusia menegakkan keadilan.” (al-Hadid: 25) – HARAKAHDAILY 24/7/2017

SAYA membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Barisan Nasional Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed di dalam akhbar Sinar Harian hari ini halaman 36 yang menyatakan bahawa PAS Kelantan telah gagal bela rakyat dan menyebabkan sebahagian rakyat Kelantan berhijrah keluar mencari pekerjaan.

Pertamanya, tahniah wajar diucapkan kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed yang sekurang-kurangnya masih membuktikan bahawa UMNO Kelantan masih wujud di negeri ini. Setidak-tidaknya dalam serangan bertali arus dari parti baru seolah-olah menggambarkan bahawa UMNO sudah hilang tenggelam ghaib dalam lautan biru. Justeru, apabila sekali sekala pimpinan Barisan Nasiona dan UMNO khususnya melontarkan peluru, ia boleh mengingatkan rakyat bahawa rupa-rupanya masih ada lagi parti UMNO dan komponen Barisan Nasional bernafas di negeri ini.

Oleh kerana Mustapa Mohamed mengambil sudut kegagalan PAS dengan mendakwa bahawa ia penyebab ramai rakyat Kelantan keluar berhijrah, maka setidak-tidaknya beliau perlu merujuk kepada fakta dan angka. Apatah lagi sebagai seorang Menteri, sudah tentu beliau mempunyai akses terhadap maklumat-maklumat yang telah dikeluarkan oleh agensi-agensi kerajaan sendiri. Apatah lagi dengan kemudahan pegawai-pegawai yang ramai di sekeliling beliau, adalah tidak susah untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan benar barulah menyusun peluru dan senjata untuk menyerang.

Berhubung penghijrahan keluar rakyat Kelantan akibat kegagalan PAS mentadbir negeri, suka saya merujuk kepada Laporan Penyiasatan Migrasi Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia setiap tahun. Ia boleh didapati dengan percuma setelah mendaftar nama pengguna dan kata laluan yang disediakan oleh laman jabatan tersebut. Adalah mustahil pegawai-pegawai di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri tidak boleh membantu menteri mereka untuk mendapatkan maklumat ini. Saya boleh menghulurkan bantuan jika perlu dengan sedikit bayaran ikhlas. Mari kita merujuk kepada laporan untuk enam tahun terakhir.

Sebelum itu, perlu diketahui bahawa migrasi terbahagi kepada tiga kategori iaitu migrasi dalaman (dari satu kawasan ke satu kawasan di dalam negeri yang sama), migrasi antara negeri dan migrasi antarabangsa. Saya percaya hanya migrasi antara negeri yang ‘valid’ dalam hujah Mustapa kerana asas perbandingannya ialah Kelantan sebagai negeri yang ditadbir oleh PAS dan negeri-negeri lain yang ditadbir oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Di dalam Laporan Penyiasatan Migrasi Malaysia 2011, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah negeri penghantar utama migrasi bagi tempoh 2010–2011. Penduduk yang berhijrah keluar kebanyakkannya menuju ke negeri jiran iaitu Selangor (34.4%). Selain itu, mereka juga memilih Kelantan (9.8%) dan Pulau Pinang (9.7%) sebagai negeri destinasi. Johor merupakan negeri penghantar kedua tertinggi. Aliran migran keluar bagi Johor adalah sama seperti W.P. Kuala Lumpur iaitu lebih tertumpu ke Selangor (37.4%). Selain Selangor, penduduk Johor juga memilih Melaka (10.8%) dan Perak (7.1%) sebagai negeri destinasi penghijrahan.

Di dalam Laporan Penyiasatan Migrasi Malaysia tahun 2012 iaitu tahun berikutnya, tiga negeri tersebut masih kekal sebagai negeri penghantar utama migran untuk tempoh 2011-2012 iaitu W.P. Kuala Lumpur, Johor dan Perak masing-masing mencatatkan migran bersih keluar sebanyak 11,200, 10,700 dan 7,900 orang. Manakala Selangor masih merupakan negeri destinasi utama migran dengan jumlah migran bersih sebanyak 22,400 orang, meningkat sebanyak 26.5 peratus berbanding tahun sebelumnya. Migran masuk bersih kedua tertinggi ialah Kelantan (8,100) diikuti Sarawak (7,100) dan Pulau Pinang (5,200) orang.

Di dalam Laporan Penyiasatan Migrasi Malaysia tahun 2013 pula untuk tempoh 2012-2013 pula, tiga negeri yang menjadi negeri penghantar migran utama dengan jumlah migran keluar bersih tertinggi dicatatkan oleh W.P. Kuala Lumpur (26,800 orang), Negeri Sembilan (9,200 orang) dan Perak (7,700 orang). Manakala tiga negeri yang mencatat penerimaan migran tertinggi ialah Selangor  sebagai negeri penerima migran utama dengan jumlah migran masuk bersih sebanyak 31,000 orang, diikuti Sabah sebanyak 6,500 orang dan Kelantan 4,400 orang.

Di dalam Laporan tahun berikutnya, Selangor telah mencatatkan pergerakan keluar migrasi tertinggi dengan 36,400 orang keluar dari negeri tersebut diikuti dengan Wilayah Persekutuan iaitu seramai 33,500 orang. Bagaimanapun, Selangor mencatatkan kemasukan migrasi lebih ramai berbanding migrasi keluar iaitu seramai 63,800 menjadikan jumlah migrasi bersih ialah seramai 27,400 orang.

Untuk tahun berikutnya iaitu di dalam Laporan Penyiasatan Migrasi Malaysia tahun 2015, Wilayah Persekutuan masih kekal sebagai negeri tertinggi penghantar migrasi dengan jumlah 32,300 orang untuk tempoh 2014-2015, diikuti dengan Perak seramai 6,200 orang dan Negeri Sembilan seramai 3,400 orang. Kelantan hampir mencatat sifar migrasi keluar dengan angka anggaran migrasi bersih hanya 500 orang keluar bagi tempoh tersebut.

Di dalam Laporan Penyiasatan Migrasi Malaysia tahun 2016 iaitu edisi yang terkini, Wilayah Persekutuan masih mencatatkan migrasi bersih dengan angka keluar tertinggi dengan angka 37,700 orang diikuti Perak seramai 9,800 orang dan Pahang seramai 3,200 orang. Manakala migrasi bersih Kelantan telah menjadi negeri penerima migrasi dengan angka 1,600 orang migrasi masuk berhijrah ke Kelantan.

Jelas sekali di dalam angka-angka di atas, Kelantan tidak pernah menjadi negeri pengeluar migrasi yang tertinggi bahkan tidak menduduki tempat tiga atau lima negeri tertinggi. Bahkan Kelantan pernah menjadi negeri penerima migrasi yang utama dan ia berlaku ketika negeri ini ditadbir oleh PAS. Justeru, adalah jelas sekali kenyataan Pengerusi Barisan Nasional negeri ini tidak berasas dan wajar ditolak sama sekali.

Adalah tidak dinafikan bahawa ramai rakyat Kelantan berada di luar negeri ini namun angkanya tidaklah jauh berbeza jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain. Kesungguhan rakyat Kelantan pulang ke kampung halaman setiap kali menjelang cuti sekolah juga menjadikan seolah-olah hanya rakyat negeri ini berada di luar negeri ditambah pula dengan dialek percakapan yang tidak diubah sekalipun berbelas tahun tidak berada di kampung halaman.

Realitinya, di Kelantan dengan harga rumah yang masih mampu dimiliki, rakyat di negeri lain berimpikan untuk tinggal dan menetap di sini. Bukan seorang yang datang dan mengeluh betapa untungnya rakyat Kelantan masih dapat memiliki rumah banglo dengan kos RM250,000 berbanding di negeri lain yang sudah mencecah RM400,000 hanya untuk rumah semi-D di kawasan yang sama tarafnya.

Barangkali untuk PRU-14 ini adalah penggal terakhir untuk Datuk Seri Mustapa Mohamed mencuba nasib menawan Kelantan. Selepas itu, berehatlah Datuk Seri. Orang baik seperti Datuk Seri tempatnya bukan di dalam Barisan Nasional yang penuh dengan rekod hitam menjahanamkan negara.

AHMAD FADHLI SHAARI
24 Julai 2017 - HARAKAHDAILY 24/7/2017

Penulis ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Advertisement