20
Tue, Aug
21 Artikel Baru

Ramadan: Madrasah menuju ketinggian takwa

Fikrah
Typography
MAFHUM Firman Allah S.W.T: 
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."
(al-Baqarah: 183) 
 
Fadhilatus-Syeikh Darwis Mustafa Hasan dalam kitabnya Haqiqatus-saum menggariskan bahawa hakikat  puasa ialah untuk mencapai ketinggian takwa.  
 
Puasa bukan hanya menahan diri daripada makan minum dan menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa.  
 
Dan bagi mencapai aspirasi ketakwaan itu, bukan sekadar menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa sahaja, bahkan meliputi pengislahan dan pembinaan diri dengan melaksanakan apa yang diperintah Allah S.W.T dan sekaligus meninggalkan segala larangan-Nya.
 
Untuk mencapai akhlak dan martabat takwa tersebut maka perlulah diamalkan amalan-amalan yang disyari’atkan terutama puasa. Kemudian diikuti dengan qiyamulail, zikrullah, doa, tilawah al-Qur’an, solat sunat tarawih, istighfar,  iktikaf di masjid, infaq, menghidupkan sepuluh malam akhir, mencari lailatul  qadar dan amalan-amalan lain yang disyari’atkan.
 
Puasa mendidik sifat ikhlas (jujur) dan sedar bahawa Allah Maha Mengetahui dan Maha Melihat terhadap apa jua yang kita lakukan.
 
Fadhilatus-Syaikh Said Hawwa di dalam kitabnya al-Islam menjelaskan bahawa ibadah puasa adalah antara rukun dalam Islam dan ibadah ini adalah salah satu jalan bagi mencapai hakikat takwa.
 
Bahkan dalam kitab yang sama, Syeikh Said Hawwa telah membuat penjelasan bahawa "takwa itu adalah suatu akhlak yang Allah SWT letakkan atasnya kejayaan bagi Muslim di dunia dan akhirat".
 
Justeru, takwa adalah ibarat buah atau hasil yang diperolehi oleh orang yang berpuasa. Inilah kunci sebenar dan matlamat tertinggi bagi ibadah puasa sepertimana disyariatkan dalam ayat 183 Surah al-Baqarah. 
 
"Islam Memimpin"
 
Disediakan oleh :
Lajnah Penerangan
Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit - HARAKAHDAILY 3/5/2019