26
Wed, Jun
17 Artikel Baru

Ibrah Badar mengejar cita dan cinta

Fikrah
Typography

GHAZWAH Badar al-Kubra berlaku pada 17 Ramadhan tahun kedua hijrah. la bermula apabila Nabi Muhammad meminta para Sahabat Baginda untuk menyekat kafilah Quraisy yang pulang dari Syam ke Makkah. Sekatan itu bukanlah dengan niat mencetus peperangan. Walau bagaimanapun rombongan yang diketuai oleh Abu Sufyan tersebut telah terselamat daripada sekatan orang Islam. Abu Sufyan sebelum itu telah mengutuskan utusan kepada Quraisy untuk melindungi kafilahnya.

Dengan permintaan tersebut, Quraisy telah keluar dengan bilangan kira-kira 1000 orang tentera dengan senjata yang lengkap. Mereka dengan angkuh turut mengadakan pesta nyanyian dan tarian pada malam sebelum perang berlaku.

Sementara itu, bilangan Muhajirin dan Ansar pula hanya seramai lebih kurang 313 orang. Kebanyakan mereka daripada golongan Ansar. Mereka hanya membawa 70 ekor unta dan dua atau tiga ekor kuda sahaja. Unta-unta itu ditunggang secara bergilir-gilir sepanjang perjalanan para tentera Islam menuju ke medan perang.

Banyak peristiwa yang berlaku sebelum peperangan ini meletus dan akhirnya perang ini berakhir dengan kemenangan orang Islam. Ramai Musyrikin telah terbunuh termasuk ketua mereka iaitu Abu Jahal. Turut terbunuh sebahagian besar pemimpin mereka. Mereka yang ditawan pula kira-kira 70 orang. Baginda telah memerintahkan agar semua yang terbunuh dikebumikan.

Baginda pulang ke Madinah dan melakukan syura dengan para Sahabat Baginda tentang urusan tentera Musyrikin yang berjaya ditawan. Umar mencadangkan supaya mereka dibunuh. Abu Bakar pula berpendapat mereka boleh menebus diri mereka. Rasulullah S.A.W menerima cadangan Abu Bakar. Oleh itu, orang Musyrikin telah menyerahkan harta mereka sebagai tebusan.

Peperangan Badar ini amat besar ertinya bagi kita. Andai kata tentera Islam kalah dalam peperangan ini maka tamatlah riwayat assabiqunal-awwalun malah agama Islam itu sendiri.  

Kemenangan ini juga mengukuhkan kedudukan Islam di Madinah dan menambahkan keyakinan bahawa mereka adalah pihak yang benar.  Semakin hari, sokongan dan penghormatan kepada Quraisy semakin merosot. Akhirnya, semakin ramai orang Musyrikin yang memeluk Islam secara senyap mahupun secara jelas. Mereka sanggup berkorban jiwa untuk kepentingan Baginda dan agama Islam.

"Islam Memimpin"

Disediakan oleh :
Lajnah Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit - HARAKAHDAILY 26/4/2019