26
Wed, Jun
17 Artikel Baru

Aurat: Antara hak manusia dan perintah syariat

Fikrah
Typography
POLITIK Islam yang dibawa kemas oleh PAS bukanlah perkara politik semata-mata ingin memerintah negara tetapi termasuklah pengukuhan jati diri berbentuk dakwah dan tarbiyah. Dakwah dan tarbiyah sebagai akar tunjang perjuangan ke arah melahirkan sebuah negara yang mengamalkan nilai dan ciri Islam yang baik. Maka tidak akan tercapai hasrat murni itu jika tiada usaha yang jitu untuk mendidik warganegara Malaysia ke arah Islam dan tawaran Islam tawarkan. 
 
Dewasa ini, berlaku polemik keagamaan yang serius melibatkan penghinaan kewajipan untuk mengenakan hijab di kalangan wanita. Hal ini menjadi perhatian dan buah mulut netizen sejak mula tularnya iklan forum ‘Malay Women & Dehijabbing’ dan turut menampilkan Dian Sofia sebagai panel utama program tersebut. Beliau merupakan seorang 'free thinker' yang memperjuangkan LGBT dan tidak segan silu mengaku bahawa hijab itu adalah berupa beban kepada orang Islam khususnya, padahal ia cuma anggapan biadab dan beban itu sebenarnya kepada dirinya sahaja.
 
Pihak dan individu tertentu yang songsang semakin jelas terang-terangan berani berdiri di atas nama perjuangan Hak Asasi Manusia (HAM) perlu segera sedar bahawa perkara diperjuangkan mereka bukanlah hak asasi tetapi hanyalah nafsu semata-mata. Mereka hanyalah memperjuangkan keterbukaan nafsu yang dipenuhi paparan sisi gelap dunia dan jauh dari syariat Allah. Seterusnya akan merugikan masa depan kesihatan, harta dan keturunan kita.
 
Hakikatnya, usaha mereka yang menyokong dan mempromosikan keterbukaan ini lumpuh dan akan sentiasa dilumpuhkan kerana orang ramai telahpun sedar kepentingan menjaga syariat untuk kehidupan sejagat. Hal demikian kerana hari berlalu hari dan kita dapati bukan sahaja orang islam, malah orang bukan Islam juga makin menarik minat terhadap kewajipan Islam anjurkan. Inilah hak manusia secara fitrahnya iaitu untuk hidup bertuhan dan disertakan pantang larangnya juga demi jaminan hidup di dunia akhirat.
 
Naratif dunia Barat hari ini telah pun menonjolkan beberapa kawasan tertentu yang kini sedang berlaku asimilasi antara Islam bersama penduduk bukan Islam dengan baik dan aman. Antaranya selepas peristiwa pembunuhan umat Islam di Christchurch, New Zealand secara kejam dan tidak berhati insan. Sebaliknya, mereka hari ini tidak kira Islam atau bukan, boleh duduk bersama memperingati para mangsa yang terkorban akibat muntahan nafsu durjana seorang anti-Islam.
 
Maka adakah keterbukaan ini yang hendak diperjuangkan? Adakah ini yang dimaksudkan sebagai hak asasi manusia? Adakah ini perjuangan yang layak diperjuangkan? Tidak. Perjuangan keterbukaan nafsu ini amat bertentangan dengan nilai kehidupan seorang manusia kerana hari ini, mereka telah sedar dan yakin serta faham bahawa syariat Allah itu melebihi segala hak yang manusia canangkan.  
 
Di sini penulis mengajak untuk kita sama-sama bermuhasabah, banyak negara dan rakyat di kawasan Barat dunia seperti New Zealand, Australia, Amerika Syarikat, England dan sebagainya telah mula berminat untuk mengenal Islam. Dalam pada itu, program berbentuk street dakwah kerap diadakan dan turut melibatkan warga non-Muslim sebagai tujuan utama melalui aktiviti dakwah santai, bergambar sambil mencuba pakai hijab, mendengar MP3 ayat suci al-Quran dan sebagainya.
 
Usaha ini terbukti melalui beberapa rakaman di media sosial yang berjaya memperlihatkan beberapa wanita bukan Islam minat mencuba hijab dan bergambar mesra wefie bersama kumpulan penganjur. Penulis tidak menafikan ada beberapa antara mereka yang kelihatan menangis dan terharu kerana melihat gambar tersebut dan turut memberi komen bahawa mereka merasa lebih selamat, selesa, cantik dan rapi apabila mengenakan hijab.
 
Maka dengan ini jelas bahawa hukum yang dilaksanakan Islam ini bukanlah suatu bebanan malah kenyataan dangkal yang dikeluarkan tanpa asas ilmu dan pegangan akidah yang kukuh sebenarnya boleh meracuni pemikiran generasi baru yang sentiasa melihat dan mengikut trend semasa. Hal ini sangat membimbangkan kerana ia bukan sahaja merumitkan keselamatan diri generasi kita tetapi juga mencalarkan pegangan Islam kita. Dalam tidak kita sedar, ramai manusia yang telah terjebak dengan virus ini dan dilihat memperlakukan kewajipan menutup aurat ini sebagai satu benda mainan. Nauzubillahi Min Zalik.
 
Allah S.W.T tidak akan pernah dan tidak akan sesekali membebankan kita dengan sesuatu syariat sekiranya ia mengundang mudarat. Sebaliknya sebagai hamba Allah yang beriman, hendaklah kita yakin bahawa kewajipan ini juga membawa kebaikan kepada kita iaitu seorang perempuan itu apabila menutup aurat dengan baik maka maruahnya terjaga, kehormatannya terpelihara serta sedikit sebanyak dapat menghindarkan diri dari dieksploitasi oleh pihak atau individu tertentu yang hanya ingin memenuhi nafsu durjana dengan sewenang-wenangnya. Wallahualam. - HARAKAHDAILY 15/4/2019