23
Thu, May
35 Artikel Baru

Rantau: Muafakat ummah dan kebesaran Allah

Fikrah
Typography
SARANAN kesatuan ummah, bersatu umat seakidah sesungguhnya adalah saranan Allah S.W.T. Di Malaysia mengikut tafsiran Perlembagaan Persekutuan, 'Melayu' itu adalah Islam.
 
Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu.
 
Bermakna jika kita menyeru kepada kesatuan umat Melayu kita sebenarnya menyeru ke arah penyatuan Islam itu sendiri.
 
Allah S.W.T berfirman dalam al Quran surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud:
 
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara......"
 
Menurut Almarhum Prof Dr Hamka di dalam tafsir Al Azharnya "berpegang teguh" di dalam ayat ini bermaksud berpegang sungguh-sungguh sehingga sampai mati.
 
Bermakna kesatuan ummah yang mahu dijalin dan diperkasakan itu mesti dengan iltizam memegang agama Allah bermati-matian.
 
Allah takdirkan dua buah parti Melayu Islam terbesar dalam negara iaitu Umno dan PAS dapat berta'awun menjalin kerjasama yang sebelum ini sukar diusahakan atas pelbagai sebab.
 
Setelah berbalah sekian lama Allah kurniakan nikmat persaudaraan pada ahli-ahli kedua parti.
 
Menurut Pak Hamka lagi apabila kita bersatu atas keikhlasan berpegang teguh pada tali Allah sebagaimana dikehendaki ketika itu jiwa kita menjadi kebal dan besar.
 
Dengan kesatuan ini kata beliau lagi tidak ada sesiapa dapat mempermain-mainkan kita lagi. Walau satu dunia bersatu sekalipun tambah beliau untuk menentang kita mereka tidak akan berupaya mengalahkan kita.
 
Demikianlah kekuatan kesatuan ummah ini. Percayalah jika kita ikhlas, bukan hanya Cameron Highlands, Semenyih atau terbaru Rantau menjadi ganjarannya, malah insya-Allah lebih besar dari itu.
 
Kerana itu ahli-ahli dan.pimpinan PAS dan Umno perlu yakin pada lorongan Allah S.W.T. Jangan sombong dengan siri-siri kemenangan ini tetapi jadilah resmi padi semakin berisi tunduk ke bumi.
 
Perteguhkan ikatan ini. Musuh akan cuba meleka dan memperdayakan kita.
 
Sentiasa pertegaskan bahawa kita bersatu demi mahu memartabat agama, bangsa dan negara. 
 
Tugas kita tidak berhenti di Rantau malah menjadi semakin besar dan mencabar. Jalannya perlu diteroka dengan sabar, cermat dan bijaksana oleh pimpinan kedua parti.
 
Ingatlah firman Allah S.W.T bahawa penyatuan seumpama ini bukan kerja dan rancangan manusia tetapi kerja-Nya. Bukan boleh dicipta dan dibeli tetapi atas kehendak-Nya.
 
Allah S.W.T berfirman dalam al Quran surah al Anfal ayat 63 yang bermaksud:
 
"Dan (Dia-lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
 
Kerana itu berasa gerunlah pimpinan kami dari Umno dan PAS yang kami sayangi.
 
Berunding dan bermuafakatlah cara terbaik tanpa ada agenda peribadi selain sepakat mendaulatkan kebesaranNya. Ahli-ahli laksanakanlah keputusan parti dengan bijak dan berani.
 
Insyallah umat Melayu dan rakyat Malaysia bersama anda.
 
*Tahniah Tok Mat dan BN. Perjuangan kita belum berakhir malah baru bermula. - 
HARAKAHDAILY 14/4/2019