26
Fri, Apr
8 Artikel Baru

Masa depan Umno, analisis Subky menarik

Surat Pembaca
Typography

PERKEMBANGAN yang melibatkan ahli-ahli parlimen Umno-BN dalam sehari dua ini agak menarik. Ada yang menganggap apa yang berlaku itu mengejutkan tetapi tidak kurang juga ia sudah diduga.

Tindakan keluar daripada Umno terutama membabitkan ahli-ahli parlimen sama ada dari Sabah mahupun Semenanjung semacam memberi satu isyarat bahawa parti itu bakal menemui jalan sukar untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Namun, apa yang menarik perhatian saya ialah tulisan veteran PAS, Haji Subky Latif dalam akhbar Harakah edisi Jumaat lalu yang bertajuk ‘Duit dan masa depan Umno’.

Pada saya, analisis tokoh wartawan PAS itu bertepatan dengan perkembangan mutakhir ini yang menyaksikan ramai ahli parlimen Umno keluar parti.

Saya cuma memetik beberapa para daripada tulisan beliau itu secara tidak tersusun untuk dikaitkan dengan tindakan ahli parlimen Umno terbabit.

“Ahli akar umbinya memberitahu saya, keadaan umumnya Umno akan habis. Mulai ada dalam kalangan ahli di kebanyakan tempat berminat menubuhkan Bersatu dan yang sedia menyambutnya pun ramai.

Saya tanya apa yang menyebabkan sikap itu?

Jawabnya, ‘duit!’

Orang Umno itu mengaku, kebanyakan orang Umno yang bersama-sama dengannya tidak nampak Umno boleh kembali pulih dan berkuasa. Maka mereka hendak tunggu apa?

Pada amatan penyokong sederhana Umno itu Umno sudah habis.

Tetapi sementara Umno itu belum pupus, Bersatu hilang tonggak utama, dan 50 orang MP Umnonya kekal hingga PRU15 nanti, harapannya tidak pada Pakatan Harapan saja, maka belum tentu ia habis.

Bagi menjamin ia tidak habis, ia mesti beranjak kepada Islam memimpin. Setia kepada Islam memimpin itu mesti jangan kurang daripada kesetiaan PAS kepada Islam memimpin.”

Kesimpulan yang dibuat oleh Haji Subky juga menarik supaya mereka yang berkenaan beranjak kepada Islam memimpin.

Para pembaca boleh mengikuti analisis penuh Haji Subky dalam akhbar Harakah itu. - HARAKAHDAILY 14/12/2018