24
Tue, Sep
22 Artikel Baru

Lima perkara menarik Himpunan 812

Surat Pembaca
Typography

ALHAMDULILLAH, segala pujian buat Tuhan yang telah menyatukan hati para pejuang bangsa itu atas satu platform yang paling kukuh dan kuat iaitu Islam.

Saya pergi semalam bukan atas tiket mana-mana parti tetapi sekadar bersama dalam perkara-perkara kebaikan dan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim serta menawarkan diri secara peribadi bagi kerja-kerja kebersihan dan mengutip sampah semalam.

Ya, bukankah menjaga kebersihan itu sebahagian daripada Iman?

Saya telah berada di sana seawal jam 11 pagi. Banyak benda yang saya lihat membuatkan hati saya kagum dan bangga dengan majoriti bangsa saya yang hadir di sana semalam.

OKU dan kanak-kanak

Saya sendiri tidak berapa setuju dengan tindakan membawa kanak-kanak ke tempat yang penuh sesak seperti itu. Ya, sebagai kakitangan kesihatan, kita begitu faham risiko-risikonya.

Namun, apa yang saya ingin bawakan di sini ialah sikap orang sekeliling apabila mereka melihat adanya kanak-kanak dan Orang Kelainan Upaya yang berkerusi roda.

Ketika ada ayah atau ibu yang bersesak membawa anak-anak, saya terdengar sang ayah berkata,

"Maaf, ada anak kecil di sini"

Laluan sesak terbuka seperti lorong air sungai yang dihalang oleh empangan sehingga mudah untuk ibu dan ayah lalu bersama anak-anak mereka. Sungguh menakjubkan!

Setelah hampir ke hadapan lori (tempat para penceramah dan wakil jemputan duduk), saya terlihat seorang OKU berkerusi roda sedang bergerak. Tiba-tiba ada orang menjerit,

"Saudara, ada OKU kat sini. Beri laluan, tolong"

Sekali lagi lorong yang luas dibukakan untuk OKU tersebut bergerak. Tidak pernah saya berbangga dilahirkan sebagai bangsa Melayu seperti hari ini. Bangsa yang sangat memuliakan dan membantu mereka yang memerlukan. Inilah hasil asuhan dan didikan Islam.

Solat berjemaah dan azan

Ini juga berjaya menarik perhatian saya. Apabila masuk waktu Zohor, saya lihat sekeliling saya ramai yang mula berwudhuk dan membentuk saf. Saya juga melihat beberapa para wanita menyediakan tempat untuk suami bersolat dan menuangkan air untuk berwudhuk di tepi jalan.

Orang terlalu ramai sehingga solat terpaksa dilakukan secara giliran dan berjemaah. Para wanita juga sangat faham sehingga mereka memberi laluan kepada para suami dan lelaki di sekeliling mereka untuk solat dahulu sambil menjaga barang-barang kepunyaan mereka.

Saya juga terpegun melihat corak dan alunan ombak para jemaah takbir, rukuk dan sujud bersama. Ritma gerakan solat yang beralun ini mampu memecahkan hati-hati yang berkarat dengan dosa ini. Hampir-hampir membuatkan air mata saya menitis.

Saya juga hampir menitiskan air mata ketika azan Asar dikumandangkan oleh Dr Wajdi di atas pentas. Semua orang diam sambil menjawab azan. Kesepian di kawasan Dataran Merdeka yang dihadiri puluhan ribu manusia itu membuatkan saya kagum betapa hati manusia mudah lembut apabila kalimah Tuhan dilaungkan.

Meremang bulu roma saya!

Bersedekah

Ramai yang berniaga. Baguslah, bukankah Islam juga mengajar kita berjuang melalui ekonomi. Namun, di sebalik itu ramai juga yang saya lihat mengambil peluang untuk bersedekah.

Di bawah jejantas menuju ke dataran umpamanya, saya dihulurkan sedekah walaupun kecil tetapi bermakna buat saya seperti ada yang memberi gula-gula, madu, minyak wangi malah ketika habis perhimpunan ada juga yang bersedekah memberi air mineral. Alhamdulillah, dapat juga menghilangkan dahaga sebelum pulang.

Inilah rahmat Allah A.Z.W.J yang telah menyerap masuk ke dalam hati setiap orang Islam.

Reunion berkasih sayang

Sebelum hadir ke sana, ramai rakan-rakan yang berkata,

"Tak payahlah Zam. Nanti ada rusuhan mana kau nak lari. Teruk kau nanti"

Ada juga rakan-rakan dari NGO menasihatkan,

"Zam, kami pun berjuang untuk Islam. Tapi kami tidak setuju dan tidak pergi ke sana pun."

Wallahu'alam. Yang pasti, niat saya jelas. Saya pergi bukan atas tiket mana-mana parti tetapi atas kapasiti peribadi saya sebagai orang Islam dan Sukarelawan Menjaga Kebersihan (mengutip sampah). Walaupun saya tahu ada Unit Amal yang bertugas, tapi saya tidak mahulah nanti ketika ada sampah yang tertinggal di sana dan mereka yang busuk hati berkata,

"Inikah Islam. Pengotor!"

Maka, atas niat membantu sesama Muslim dan menjaga maruah Islam. Saya datang dengan 60 helai plastik sampah dan habis sahaja perhimpunan saya mulakan tugas bersama ratusan orang Islam lain yang berlegar-legar mencari sampah.

Ketika memungut sampah, saya tidak nampak satu rusuhan pun. Abang-abang dan akak-akak polis dengan gembiranya berdiri di tepian jalan sambil membalas senyuman dengan kami. Polis trafik juga tidak terlalu susah mengawal lalu lintas sebab semua orang faham dan mematuhi arahan.

Saya tidak nampak kereta terbalik, kedai terbakar atau pergaduhan. Saya juga lihat ramai sahaja non-Muslim lalu lintas di sana tanpa diganggu, kerana apa?

Kerana Islam itu mendamaikan dan mengajar menghormati hak orang lain.

Satu perkara lagi yang berjaya menyentuh hati ini ialah perhimpunan semalam seperti menyatukan adik-beradik yang lama terpisah atau 'reunion' rakan-rakan yang lama tidak bersua muka. Anda boleh lihat merata orang bersalaman dan berpelukan mengucapkan Assalamualaikum membuatkan anda rasa bahagia seketika.

Inilah Ukhuwah Islamiyyah yang kita inginkan.

Marah dan maki hamun

Saya faham, apabila kita telah ramai dan bersemangat memang ada yang 'terkucil'. Saya sendiri mendengar ada yang menyebut "Bodoh, pergi mampos ICERD" semasa perarakan berlangsung.

Tiba-tiba ada seorang brother di hadapan saya kata,

"Woi sedara, Islam tak ajar macam itulah. Jaga perkataan tu"

Terus individu yang menggunakan perkataan kurang elok itu diam. Dia tidak membalas kembali, sebab apa? Sebab perkataan 'Islam' itu berjaya membuat dia berfikir kembali kesalahannya. Inilah Islam. Mengajar umatnya memprotes, berhimpun dan membantah dengan cara yang berhemah, aman dan mengamalkan akhlak mulia.

Gambar: Saya bersama rakan semasa di kolej dahulu, sudah hampir 11 tahun tidak berjumpa. Di Dataran Merdeka ini kami disatukan kembali atas nama Ukhuwwah Islamiyyah.

Allahuakbar! - HARAKAHDAILY 9/12/2018  

FB IMG 1544337195159 

FB IMG 1544337203249

FB IMG 1544337207419