22
Wed, May
34 Artikel Baru

PAS Sabah anjur Konvensyen Pemerkasaan Parti

Komuniti
Typography

SANDAKAN: PAS Negeri Sabah berjaya menganjurkan Konvensyen Pemerkasaan Parti, kelmarin yang menghimpunkan perwakilan seluruh negeri termasuk wakil dewan-dewan.

Sebanyak dua buah kertas kerja yang menjadi bahan asas konvensyen telah dibentangkan dalam program yang berakhir kira-kira jam 9 malam di Dewan Pasir Putih di Tawau itu.

Kertas kerja tersebut ialah Cabaran dan Masa Depan PAS Di Sabah yang telah dibentangkan oleh Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan.

Sementara itu, satu kertas kerja lagi telah dibentangkan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Sabah, Ustaz Mustakim Aling yang menyentuh tentang Fiqh Waqie Sabahi dalam konteks penyertaan politik PAS.

Menurut Pengarah Program, Sahar Abdul Majid, konvensyen itu diadakan sebagai satu medan awal bagi memacu PAS Sabah ke tahap yang lebih tinggi untuk sekurang-kurangnya 10 hingga 30 tahun lagi.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya III PAS negeri berkata, PAS akan terus membawa perjuangan rakyat dengan nilai-nilai sejagat yang boleh diterima semua kaum di negeri ini.

Tambahnya, PAS juga akan terus memperjuangkan hak semua kaum dan agama dalam negeri ini dengan imej bersih, adil dan saksama.

Dalam konvensyen tersebut juga telah dibentangkan Deklarasi Kalabakan yang mengandungi 14 perkara utama yang merupakan dokumen PAS Sabah untuk gerak kerja beberapa tahun lagi.

Hadir sama dalam konvensyen tersebut selaku ialah AJK PAS Pusat, Ustaz Misbahul Munir Masduki dan Mohamad Husain serta Pesuruhjaya PAS negeri, Aminuddin Aling. – HARAKAHDAILY 11/12/2018

perkasa1