23
Fri, Jun
17 Artikel Baru

Al-Quran mengajar erti memartabatkan kebenaran dalam kehidupan

Blog
Typography

2x2=4 bukan fakta yang dicipta oleh guru matematik tetapi ia adalah suatu pernyataan matematik yang diambil dari fakta yang bersifat saintifik. Kalau ada orang kata 2x2=6, kita tidak dapat terima fakta ini kerana ia bercanggah dengan fakta sains yang kita yakini kebenarannya.

Kalau ada penjual yang menggunakan  formula  2x2=6 dalam mengira barang jualan, kita tidak menerima cara pengiraan itu, terutamanya apabila dia mengira barang kita. Kesesatan cara mengira itu membawa mudarat bukan sekadar pada dia, tetapi juga pada kita dan orang lain.

Ringkasnya, kebenaran itu bukanlah dicipta oleh guru, tetapi ia adalah fakta yang diterima umum hasil dari sumber ilmu yang betul. Kita juga bertanggungjawab membetulkan kesalahan itu agar tidak menyesatkan masyarakat dan diri sendiri.

Namun, kenapa orang boleh terima fakta dan hakikat kebenaran sains, tetapi tidak boleh terima kebenaran yang dinyatakan oleh al-Quran?


Al-Quran merupakan kitab mukjizat yang berteraskan wahyu dan mendapat kedudukan yang lebih tinggi dari kebenaran fakta sains. Ia bukan sekadar menjelaskan aspek yang dicerap oleh pancaindera dan difikirkan oleh akal tetapi ia juga menjelaskan aspek yang tidak dapat diketahui oleh akal dan pancaindera. Itulah ilmu wahyu yang melebihi ilmu manusia.

Menerima al-Quran sebagai rukun iman yang ketiga dan menyambut Ramadan sebagai bulan al-Quran, bererti kita harus menerima bahawa kebenaran itu datang dari wahyu tuhan. Kita perlu untuk memartabatkannya.

Manusia hidup di dunia ini dengan misi tauhid dan misi membawa kebenaran seperti mana yang dinyatakan dalam al-Quran. Pembangunan bukan misi utama manusia kerana kalaulah pembangunan meruapakan misi utama manusia, nescaya:

1- Nabi Muhamad bercerita berkaitan pembangunan ketika di Mekah.
2- Nabi Musa tidak perlu datang menentang Firaun yg mempunyai kerajaan yang kuat dan membawa pembangunan kepada rakyatnya.

Tetapi, dengan penyelewengan fakta dan nafsu yang tidak terkawal membawa keada kezaliman dan penindasan kepada rakyatnya. Maka, di sinilah peranan amar makruf nahi mungkar, dakwah dan jihad.

Al-Quran merupakan buku panduan yang mengajak manusia beriman kepada Allah dan membetulkan fakta yang salah, amalan yang songsang dan kepercayaan yang sesat. Kita bukan sekadar membaca al-Quran tetapi berusaha untuk memartabatkan fakta dan kebenaran yang terdapat dalam al-Quran yang datang dari Allah.

Selamat Menyambut Nuzul al-Quran.

Dr. Muhamad Faisal