Sidebar

23
Sat, Sep
17 Artikel Baru

Solat bagi pesakit strok

Blog
Typography

AL-KAFI LI AL-FATAWI #629: SOLAT BAGI PESAKIT STROK

    Ditulis oleh Muhammad Mushfique Bin Ahmad Ayoup @ Ayub    
    Diterbitkan: 31 Mei 2017  

Soalan: Saya ada ibu mertua yang berusia 88 tahun. 2 bulan lepas dia terkena strok dan ingatannya sekejap ok dan sekejap tidak. Adakah wajib ke atasnya solat?

Jawapan: Solat merupakan salah satu daripada rukun Islam dan solat juga merupakan perkara pertama yang akan ditanya di akhirat kelak oleh Allah SWT. Untuk itu, kita tidak boleh mengambil mudah dalam isu solat ini. Antara syarat sah dan wajib solat adalah: [Lihat: al-Muktamad, 199]

    Islam
    Baligh
    Berakal (waras)
    Suci daripada hadas

Berakal merupakan salah satu syarat wajib bagi solat kerana hukum-hukum syara’ berkaitrapat dengan akal. Untuk itu, tidak wajib solat bagi orang yang gila, pengsan, mabuk dan seumpamanya kerana pada waktu itu akal mereka telah hilang. Ini dinyatakan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Telah diangkat pena dari tiga golongan: daripada orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia baligh dan daripada orang gila sehingga dia sedar”. [Riwayat Abu Daud (4403)]

Para ulama’ mengqiyaskan setiap orang yang hilang akal mereka dengan orang yang gila samada dalam tempoh masa yang sekejap atau lama. Jika ia sembuh dan berbaki masa untuknya solat (bertakbir) maka wajib baginya solat. Akan tetapi, tidak wajib dia mengqadha’kan solat dalam tempoh tersebut (hilang akal). [Lihat: al-Muktamad, 155]

Kesimpulannya, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat solat tidak gugur dan wajib ditunaikan ketika ingatannya itu dalam keadaan baik. Namun, jika ingatannya dalam keadaan tidak baik maka solat pada waktu itu tidak wajib ditunaikan dan tidak perlu diqadha’ solat yang ditinggalkan ketika itu.

Untuk itu, suka bagi kami untuk membuat pembahagian bagi orang yang hilang akal kepada dua bahagian:

    Tempoh lama: Jika seseorang itu hilang akalnya dalam tempoh yang lama mengikut uruf maka pada waktu itu tidak wajib baginya untuk solat dan tidak wajib dia mengqadhakan solat yang ditinggalkan dalam tempoh tersebut. Namun, jika dia sedar dan masih berbaki waktu solat maka wajib baginya menunaikan solat pada waktu yang berbaki.

    Tempoh yang sekejap: Jika seseorang itu hilang akalnya dalam tempoh yang sekejap dan tempoh ini diukur dengan uruf. Maka dia wajib solat yang mana waktunya masih berbaki dan sebaik-baiknya dia mengqadhakan solat yang ditinggalkan dalam tempoh tersebut jika hal tersebut tidak menyukarkannya.

Akhirnya, semoga Allah SWT menyembuhkan penyakit pesakit berkenaan serta mengurniakan kita semua kesihatan yang baik agar dapat kita meneruskan amal ibadah seharian dengan sempurna. Amin.

Wallahua’lam