24
Fri, Mar
163 New Articles

BAIK dan buruk adalah dua kata yang sering kita gunakan untuk menilai pelbagai perkara. Ringkasnya, sesuatu dikatakan baik jika mempunyai manfaat, dan buruk jika tidak memberi manfaat sama ada untuk diri sendiri mahupun orang lain. Lantas, tahukah anda organ tubuh manusia yang dianggap terbaik dan terburuk?

Suatu hari, majikan dari Luqman Al-Hakim memanggilnya, dia pun berkata, "Wahai Luqman, potonglah seekor kambing dan bawakan kepadaku ia potongan daging terbaik darinya."
 
Luqman menuruti perintah majikannya. Beliau potong seekor kambing kemudian datang dengan membawa hati dan lidah kambing itu.

Kemudian si majikan kembali menyuruhnya untuk menyembelih satu ekor lagi dan membawa dua potong daging yang paling buruk.

Luqman kembali menyembelih kambing dan membawakan dua daging yang sama kepada majikannya, hati dan lidah. Lalu si majikan bertanya tentang keanehan ini, Luqman pun menjawab, "Hati dan lidah adalah organ yang terbaik jika kedua-duanya digunakan dengan baik. Dan kedua-duanya boleh saja menjadi organ yang paling teruk jika digunakan untuk keburukan."
 
Begitu juga dalam banyak riwayat, Rasulullah ﷺ sering menekankan untuk menjaga lisan. Walaupun lidah adalah anggota tubuh yang kecil, namun organ ini adalah penentu keselamatan seseorang.
 
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman, "Dan bertutur katalah yang baik kepada manusia," (QS. Al-Baqarah 83)

Itulah mengapa Allah Subhanahu wa Ta'ala menciptakan dua telinga dan satu lidah. Hal ini agar manusia lebih banyak mendengar daripada berbicara. Oleh itu, Allah Subhanahu wa Ta'ala selalu mengingatkan manusia untuk berhati-hati dalam berbicara. Kita tahu, setiap yang terucap pasti ada pertanggungjawabannya.

"Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatat)," (QS. Qaf: 18).

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-173: KEBENARAN KISAH NABI SAW DAN YAHUDI BUTA
Ditulis oleh Muhammad Mushfique Bin Ahmad Ayoup @ Ayub
Diterbitkan: 17 Mac 2017
 
Soalan: Apakah status kisah Nabi SAW dan Yahudi buta?

Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan di atas, terdapat beberapa kisah yang berlaku antara Rasulullah SAW dan seorang yahudi buta. Antara kisah yang masyhur dan sering kita dengar di meja-meja penceramah adalah:

“Di pasar Madinah terdapat seorang yahudi miskin dan buta. Lelaki ini sentiasa mengingatkan orang yang lalu hampir dengannya dengan berkata kepada mereka Muhammad adalah seorang pendusta dan penyihir. Di samping itu juga, dia sering mengejek dan menghina Nabi SAW. Disebabkan itu, Rasulullah SAW sering menziarahinya pada setiap pagi untuk memberi makan kepada lelaki tersebut tanpa Rasulullah SAW berkata sesuatu atau memberitahu siapa dirinya. Nabi SAW melazimi hal tersebut sehinggalah Baginda SAW wafat lalu tiada lagi yang memberi makan kepada lelaki tersebut. Pada suatu hari, Abu Bakar RA bertanya kepada Aisyah RA: Adakah terdapat sunnah daripada sunnah-sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang tidak aku lakukan?. Aisyah RA menjawab: Sesungguhnya engkau telah mengikuti kesemua sunnahnya melainkan satu perkara. Lalu Aisyah RA menceritakan bahawa Rasulullah sentiasa memberi makan kepada seorang yahudi yang buta pada setiap pagi. Setelah itu, Abu Bakar RA terus mengambil makanan dan pergi ke rumah lelaki tersebut untuk memberinya makan tetapi yahudi tersebut menyedari bahawa orang yang memberinya makan ini bukanlah orang yang sama seperti sebelum ini. Yahudi itu bertanya kepada Abu Bakar siapakah yang memberinya makan sebelum ini, lalu Abu Bakar mengatakan bahawa beliau adalah Rasulullah SAW. Apabila mendengar sahaja penjelasan daripada Abu Bakar RA, yahudi itu menangis dan menyesal dengan perbuatannya yang sering menyakiti Nabi SAW dengan kata-katanya. Akhirnya, yahudi tersebut masuk Islam akibat daripada perbuatan Nabi SAW itu”.

Setelah kami meneliti serta cuba untuk mencari sumber dan kesahihan kisah ini, kami tidak menjumpai asal atau sumber kisah ini. Untuk itu, kita tidak dibenarkan untuk menyebarkannya kepada orang lain kerana kisah ini tidak thabit daripada Nabi SAW.

Di sana terdapat sebuah kisah yang sahih di antara Rasulullah SAW dan seorang budak berbangsa yahudi. Kisah ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitabnya Sahih al-Bukhari:

Daripada Anas bin Malik RA berkata:

كَانَ غُلاَمٌ يَهُودِيٌّ يَخْدُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَمَرِضَ، فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُهُ، فَقَعَدَ عِنْدَ رَأْسِهِ، فَقَالَ لَهُ: «أَسْلِمْ»، فَنَظَرَ إِلَى أَبِيهِ وَهُوَ عِنْدَهُ فَقَالَ لَهُ: أَطِعْ أَبَا القَاسِمِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَسْلَمَ، فَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقُولُ: الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنْقَذَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: Terdapat seorang budak yahudi yang membantu Nabi SAW menderita sakit. Maka Nabi SAW datang kepadanya untuk menziarahinya. Lalu Baginda SAW duduk di bahagian kepalanya sambil bersabda: “Masuklah kamu ke dalam Islam”. Budak tersebut melihat ayahnya yang berada di sisinya. Ayahnya berkata kepadanya: “Taatlah kamu kepada Abu al-Qasim (Rasulullah SAW)”. Maka budak tersebut memeluk Islam. Setelah itu, Nabi SAW keluar (daripada rumahnya) sambil bersabda: “Segala puji bagi Allah yang telah membebaskannya dari api neraka”. [Riwayat al-Bukhari (1356)]

Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak kisah-kisah berkaitan Rasulullah SAW yang sering diungkapkan di meja-meja penceramah. Namun begitu, kita perlulah mengenalpasti akan kesahihannya kerana menyandarkan sesuatu yang tidak sahih kepada Nabi SAW adalah termasuk di dalam pendustaan kepada Baginda SAW. Akhirnya, semoga Allah mengurniakan kita akhlak yang terpuji sebagaimana junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW yang sentiasa disenangi oleh bangsa dan agama lain. Amin.

Wallahua’lam

KISAH NYATA YANG BENAR | YA ALLAH, Kagumnya Abe Dengan BUDAK PUNK Ni

KISAH NYATA Yang BENAR | YA ALLAH, Kagumnya Abe Dengan BUDAK PUNK Ni | THIS IS KELANTAN. Ikhlas Abe nak cakap kat sini, Abe sangat kagum dengan 2 orang BUDAK PUNK yang Abe jumpa ni. Subhanallah, berkat rahmatmu YA ALLAH menganugerahkan PEMIMPIN YANG MEMPERAKTIKKAN ISLAM DALAM PENTADBIRANNYA DI KELANTAN NI. Bersyukur padaMu Ya Allah.

Kisahnya macam ni. Ni pengalaman Abe sendiri, Abe alaminya. Abe adalah ke Shopping Complex KB Mall untuk beli barang. Yelah, majlis pun semakin dekat, so, beli barang lah. Masa tu Abe sampai dalam jam 3.30 ptg. Masa tu jgk, Abe belum pekena Zohor lagi, almaklumlah perjalanan jauh dr Putrajaya Ke Kota Bharu. Jadi, 1st step yg Abe buat, Abe carilah Surau. Dekat KB Mall, korang jgn bimbang, suraunya banyak, Alhamdulillah.

Masa Abe OTW menghala ke surau, tetiba Abe terpana bila Abe lihat 2 orang BUDAK PUNK (sorang baju biru & sorang baju kuning) siap dengan pakaian & rambut tercacak juga menghala ke laluan yang sama. Mmg rock abis Abe tengok. Awalnnya Abe pikir, mungkin budak2 ni siap lokasi kot. Xpe, Abe teruskan langkah lagi. Korang nak tahu tak, bila betul2 sampai di depan pintu surau, Abe jadi kaku, tak tahu sebab kenapa Abe terKAKU. Seriously, Abe saksikan budak2 PUNK tu sedang tanggalkan kasut bootnya, pastu dia tanggalkan stoking. Setiap sorang budak PUNK tu menyandang beg galas. Abe perhatikan lagi, dan perhati dan terus perhatikan mereka.

Mungkin dorang terperasan kot Abe sedang tengok mereka, dorang toleh pada Abe dan dorang angkat tangan serta bagi salam. Abe jawab je salam mereka. Lepas tu, dorang terus menghala ke tempat amik air wuduk. Abe ternganga, percaya dalam tak percaya. Pertama sekali, Abe tengok dibasuhnya kepala dan jambul masing2 sampai dah tak tercacak lagi. Bila dah bersih sempurna, dorang mula berwuduk. ABE KAGUM, YA ALLAH! ABE SANGAT KAGUM & HAMPIR TAK PERCAYA.

Abe sampai duk asyik perhatikan dorang saja tanpa berganjak pun dr tempat duduk bangku Abe tanggalkan kasut. Lepas tu, Abe tengok sesuatu YANG MEMBUATKAN Abe ucap ALHAMDULILLAH. Rupanya dalam beg sandang budak tu masing2, ada kain pelikat & kopiah. Ya Allah, tersentuh hati Abe. Dorang kemudiannya Abe lihat sedang salin pakaian dan kenakan kain pelihat serta pakai kopiah. Yang lagi membuatkan Abe terkejut & terus Abe bangun dari tempat duduk Abe bilamana salah seorang dari budak PUNK tu menyapa Abe dan cakap dalam loghat kelate "Abe, marilah semaye skali ngn kami, insyaAllah kami tunggu. Kito semaye samo2". Terus Abe amik wuduk. Bila siap berwuduk, Abe terus masuk surau. YA ALLAH, satu lagi benda yang Abe lihat yang buat Abe macam nak nangis je. Mungkin sb terlalu kagum kot, huhuhuhu.

Abe lihat satu saf lebih kurang 8orang telah dibentuk dan seseorang telah iqamat. Korang nak tahu tak, yang sedang iqamat tu, budak PUNK yang pakai baju kuning manakala yang bersedia untuk jadi Imam pulak budak PUNK yang pakai baju hijau tadi. Kami pun solat sesama. Alhamdulillah, siap solat berjemaah. Lepas masing2 bersalaman, kami pun masing2 keluar. Mata Abe masih asyik lagi pandang budak2 tadi. Dorang perasan Abe sedang tengok dorang, dorang senyum je kat Abe. Abe tengok dorang sedang bersiap semula pakai pakaian masing2 macam tadi. Dikeluarkan WAX rambut dr beg galas, pastu siap cacakkan rambut, dorang mula bercelak semula.

Tetiba tergerak hati Abe nak buka mulut berkata. Kata2 yang keluar dari mulut Abe cuma pertanyaan pada salah sorang budak tu "Adik orang mana? Asal kelate ke? ". Dorang jawab "Ye Bea, kami asal Kubang Kerian (salah satu nama tempat kat sini). Bakpo bea? Dorang pulak tanya Abe?"

Abe jawab "takdop gapo2, Abe cuma banggo je. Tak sangko".

Dorang senyum je dan jawab "THIS IS KELANTAN, Tok Guru bagi ilmu yang cukup InsyaAllah pada semua rakyat kelate"

Kami bersalaman dan dorang terus beredar. Dalam xsedar, airmata Abe terMENGALIR sebab kagum dengan aturanMu Ya Allah. Pengajaran daripada KISAH BENAR PENGALAMAN ABE NI, Don't Judge A Book By Its Cover. Maknanya, jangan cepat menilaikan orang & berperasangka buruk sebelum mengenali seseorang itu.

Tulisan di atas dipetik daripada blog www.queachmad.com.

ZAKIR NAIK, seorang ulama berasal dari India yang kini banyak dibicarakan dunia. Melalui ceramah dan tulisannya yang luar biasa. Ia mampu menyeru segala jenis masalah dalam kehidupan di dunia kembali pada asas Al-Quran dan Hadis, sebagai sumber segala petunjuk.

Georgetown University, Amerika pada tahun 2011 hingga 2015 menerbitkan senarai umat Muslim berpengaruh di dunia. Dalam senarai itu, Zakir Naik menduduki tempat ke-70 senarai daripada 500 umat Muslim berpengaruh di seluruh dunia selama berturut turut.
 
Maka tidak hairanlah, Dr. Zakir Naik banyak dikagumi oleh orang-orang di seluruh dunia, terutama ulama di Indonesia seperti Ustadz Yusuf Mansur, Ustadz Arifin Ilham, KH Abdullah Gymnastiar, sehingga Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla.

Selama 20 tahun lebih berdakwah, Zakir Naik mendapatkan berbagai penghargaan dari pelbagai negara atas kecintaannya terhadap Islam dan konsisten mencerdaskan umat.

Penghargaan pertama, Kerajaan Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud pada tahun 2015 menganugerahkan penghargaan 'King Faisal International Prize' kepada Dr. Zakir Naik, semacam hadiah Nobel pada kategori 'Perkhidmatan kepada Islam'.

Hadiah terdiri dari sijil penghargaan, 200 gram pingat emas dengan 24 karat, dan 750 ribu riyal Saudi atau 200 ribu dolar AS. Seluruh hadiah wang diterima Zakir Naik, disumbangkan untuk program Wakaf, Peace TV Network.

Kedua, Shaikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) menganugerahkan 'Islamic Personality of 2013' kepada Dr. Zakir Naik dalam acara penghargaan berprestij Dubai International Al-Quran Award pada 29 Julai 2013.  

Penghargaan tersebut diberikan atas perkhidmatan yang luar biasa Zakir Naik terhadap Islam dan umat Islam pada peringkat global di media, pendidikan dan filantropi.

Hadiah yang diterima dari UAE, 1 juta dirham 272 ribu dolar AS. Ia sumbangkan untuk Wakaf dana pembuatan media Peace TV Network. Dr Zakir ketika itu berusia 47 tahun merupakan penerima anugerah termuda.

Ketiga, Syeikh Dr. Sultan bin Mohammed Al Qasimi, Penguasa di Sharjah, memberikan penghargaan 'Sharjah Award' kepada Dr Zakir Naik pada untuk perkhidmatan sukarela kepada Islam pada skala antarabangsa, 16 Januari 2014.

Keempat, Dr Yahya Jammeh, Presiden Republik Gambia memberi Dr Zakir Naik lencana anugerah kebangsaan tertinggi dari Komander Nasional Republik Gambia di Gambia pada 15 Oktober 2014.

Kelima, Dr. Zakir Naik juga mendapatkan penghargaan dari kerajaan Malaysia. Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah  menganugerahkan penghargaan tertinggi dari Malaysia 'Tokoh Ma'al Hijrah Distinguished International Personality Award for the Year 2013' untuk perkhidmatan dan sumbangan yang signifikan pada perkembangan Islam pada 5 November 2013. Ia menerima sebuah plakat yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Malaysia Mohd Najib Razak. Demikian dilansir Gulalives, Khamis (14/4/2016).

AL-KAFI #587: HUKUM LELAKI MEMAKAI CINCIN DI JARI TENGAH
Ditulis oleh Syed Husaini Syed Hassan
Diterbitkan: 17 Mac 2017

Soalan: Bolehkah seorang lelaki memakai cincin di jari tengahnya?

Jawapan:

Cincin adalah perhiasan bagi lelaki namun bukanlah semua jenis cincin itu boleh dijadikan perhiasan buat lelaki. Dibolehkan bagi lelaki untuk memakai cincin yang diperbuat daripada perak bahkan di dalam mazhab al-Syafi’e ianya disunatkan. Begitu juga dibolehkan untuk lelaki memakai cincin daripada batu permata, zamrud, zabarjad dan `aqiq. Adapun memakai cincin emas bagi lelaki, ianya adalah haram dan ini berdasarkan hadis Nabi SAW. Daripada Abu Hurairah RA:

أنَّهُ نَهَى عَنْ خَاتَمِ الذَّهَبِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melarang (lelaki) dari memakai cincin emas.
Riwayat Muslim (2089)

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan bahawa telah berijma` sekalian muslim akan keharusan perempuan untuk memaikai cincin emas dan telah berijma` juga akan pengharaman buat lelaki bagi memakai cincin emas.[1]

Memakai Cincin di Jari Tengah

Di dalam sebuah hadis riwayat Muslim, `Ali bin Abi Talib RA telah berkata:

نَهَانِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ أَتَخَتَّمَ فِي إِصْبَعِي هَذِهِ أَوْ هَذِهِ‏.‏ قَالَ فَأَوْمَأَ إِلَى الْوُسْطَى وَالَّتِي تَلِيهَا

Maksudnya: Rasulullah SAW menegahku dari memakai cincin pada jari ini dan ini (sambil menunjukkan kepada jari tengah dan selepasnya iaitu jari telunjuk[2])
Riwayat Muslim (2078)

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah mengatakan bahawa telah ijma` sekalian muslimin akan sunnah memakai cincin pada jari kelinking bagi lelaki dan bagi wanita pula, boleh dikenakan pada mana-mana sahaja dari jarinya. Adapun tegahan Nabi SAW pada hadis di atas membawa hukum makruh tanzih dan dibolehkan untuk mengenakan cincin pada tangan kanan ataupun kiri kerana pada keduanya itu terdapat hadis yang sahih.[3]

Begitu juga di sisi mazhab Hanbali, makruh hukumnya memakai cincin di jari tengah dan juga jari telunjuk berdasarkan tegahan Nabi SAW melalui hadis di atas. Adapun yang zahir dari mazhab Hanbali, tidak dimakruhkan untuk memakai cincin pada ibu jari dan juga jari manis. Ini seperti mana yang disebutkan di dalam kitab Kashaf al-Qina` dan Matalib Uli al-Nuha

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, maka hukum bagi lelaki memakai cincin pada jari tengah (hantu) dan juga telunjuk adalah makruh tanzih dan yang sunnahnya adalah dengan memakai pada jari kelinking dan menurut mazhab Syafi’e tidak kisah sama ada memakainya pada tangan kiri ataupun kanan[4].

Sebaiknya pemakaian cincin pada jari tengah dan telunjuk harus dielakkan dan bagi lelaki di luar sana yang ingin memakai cincin, maka bolehlah memakainya pada jari kelinking ataupun jari manis.

Jika ditanyakan bagaimana caranya Nabi SAW memakai cincinnya? Maka jawapannya seperti mana di dalam sebuah hadis riwayat Anas bin Malik RA, beliau menyebutkan:

كَانَ خَاتِمُ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فِى هَذِهِ. وَأَشَارَ إِلَى الْخِنْصَرِ مِنْ يَدِهِ الْيُسْرَى

Maksudnya: Adalah Nabi SAW memakai cincin pada jari ini (sambil menunjukkan ke arah jari kelinking pada tangan kirinya)
Riwayat Muslim (2095)

Wallahu a`lam.

[1] Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath al-Islami, (14/65)
[2] Diketahui bahawa jari yang ditunjukkan oleh `Ali RA selepas jari tengah itu adalah jari telunjuk adalah berdasarkan riwayat hadis yang lain, iaitu hadis riwayat selain dari Muslim. Ini seperti mana yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Minhaj Syarh Sahih Muslim.
[3] Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath al-Islami, (14/71) & Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr, (4/463).
[4] Diriwayatkan bahawa Ibn Umar R.Anhuma memakai cincin pada tangan kirinya manakala Ibn Abbas R.Anhuma pula di tangan kanannya. Al-Imam Malik Rahimahullah memilih dengan mengatakan sunat memakai cincin di tangan kiri dan diriwayatkan juga bahawa beliau memakainya pada tangan kiri.